  | 
Sayang.. moga bahagia yg dikecapi,  kekal hingga ke Syurga.. Ameen | 
Sepasang suami isteri sedang menaiki  basikal pada suatu petang. Suami di hadapan, manakala isterinya  membonceng di belakang. Mereka melalui jalan berhadapan sebuah vila.  Kebetulan di halaman vila tersebut sedang duduk pemilik dan isterinya  sambil santai-santai minum petang.
Tiba-tiba pandangan kedua-dua pasangan  suami isteri itu bertembung. Pasangan suami isteri yang sedang bersantai  di halaman vila merenung pasangan suami isteri yang sedang berbasikal  melalui hadapan vilanya.
Walaupun hanya seketika berpandangan tetapi hati mereka sempat berbicara…
“Alangkah bahagianya mereka,” bicara hati  suami yang sedang menunggang basikal. “Rumah besar, duduk bersantai  pula dengan menikmati makanan yang enak-enak. Isterinya cantik, kereta  besar…”
Apa pula bicara hati suami yang sedang duduk bersantai di halaman vilanya? 
“Oh, romantik sungguh kedua-dua suami  isteri itu. Isterinya memeluk erat di belakang. Alangkah bertuahnya  mendapat seorang isteri yang disayangi. Tidak seperti aku, sekalipun  mempunyai harta yang melimpah ruah tetapi aku tidak bahagia seperti  mereka…” begitulah bisik hati si suami kaya itu.
Justeru, siapakah antara kedua-dua mereka  yang bahagia apabila masing-masing merasakan orang lain yang lebih  bahagia? Apa ukuran sebuah rumah tangga yang bahagia? Mempunyai segala  kekayaan dan kemewahan hidup? Rumah besar, perabot mahal dan kereta  berjenama, itukah petanda rumah tangga yang bahagia?
Jika itulah petanda bahagia, tentu sahaja  rumah tangga Rasulullah dan isteri-isterinya tidak bahagia. Betapa  sejarah telah menukilkan sering kali dapur rumah Rasulullah tidak  berasap kerana tidak ada makanan untuk dimasak. Alas tempat tidur  Rasulullah sangat kasar sehingga berbekas di belakang Baginda apabila  tidur di atasnya. Namun, rumah tangga Rasulullah s.a.w. itulah yang  paling bahagia dan hingga kini menjadi contoh teladan untuk kita ikuti.
Apa sebenarnya bahagia itu? Hakikatnya  ramai manusia masih tertanya-tanya dan teraba-raba tentangnya. Yang  miskin berasa bahagia itu pada kekayaan. Namun apabila dia mencapai  kekayaan, ada yang lain pula disangkanya bahagia, lalu itulah pula yang  diburunya untuk mendapat bahagia.
Bagi orang yang sakit, sihat itu bahagia.  Sebaliknya pada yang sihat, itu bukan bahagia. Buktinya betapa ramai  orang yang sihat tubuh badan tetapi muram jiwanya.
Bagi orang biasa, ternama dan termasyhur  itu bahagia. Anehnya ramai pula orang ternama yang menyamar dan ingin  lari daripada paparazi kerana benci akan publisiti.
Bahagia Itu dari Hati yang Tenang
Jadi apa bahagia sebenarnya? Bahagia itu  bukan dari luar ke dalam, sebaliknya dari dalam ke luar. Maksudnya,  harta, nama dan lain-lain perkara berbentuk kebendaan dan luaran bukan  penyumbang kepada kebahagiaan seorang manusia. Bahagia itu datang dari  dalam diri dan sesuatu yang maknawi sifatnya.
Untuk menangani sesuatu yang berasal atau  berpunca dari dalam diri, manusia tidak boleh bergantung kepada dirinya  semata-mata. Manusia harus bergantung kepada Allah, Penciptanya Yang  Maha Mengetahui. Soal dalaman ialah soal hati atau roh. Itu sangat  sedikit diketahui oleh manusia. Untuk mengetahui rahsia bahagia, manusia  perlu kembali kepada Penciptanya (Allah).
Bahagia itu datang dari hati yang tenang.  Hati yang tenang terhasil daripada sering mengingati Allah. Dalam  al-Quran Allah mengingatkan hanya dengan mengingati-Nya hati akan  menjadi tenang. Firman Allah yang bermaksud: “Ketahuilah dengan  mengingati Allah hati akan menjadi tenang.” (Surah al-Ra’d 13: 28)
Dengan berzikir hati menjadi tenang dan  dengan ketenangan hati itulah terciptanya kebahagiaan pada diri  seseorang. Itulah resipi kebahagiaan dari segi ilmiahnya. Namun  bagaimana pelaksanaannya?
Saya pernah mendengar kisah benar  yang diceritakan oleh seorang bekas mufti tentang pengaduan seorang suri  rumah tentang kebengisan suaminya. Bayangkan, suaminya “kaki masjid”,  kuat berzikir dan memakai serban serta jubah. Namun anehnya, suami itu  sangat garang dan ganas. Pantang salah sedikit, isterinya akan diherdik,  ditampar malah ditendangnya. Lalu kita tertanya-tanya, mengapa suami  yang kuat berzikir itu jadi begitu? Mengapa zikir yang ditegaskan  sebagai sumber ketenangan itu gagal memberikan ketenangan kepada suami  yang pemarah itu?
Lalu kita bertanya, bagaimana faktor  zikrullah (mengingati Allah) ini dapat dipraktikkan dalam rumah tangga  agar rumah tangga itu benar-benar mendapat ketenangan dan seterusnya  kebahagiaan? Apakah suami, isteri dan seluruh anggota keluarga perlu  berzikir sahaja sepanjang masa? Atau mengapa setelah zikir dipraktikkan,  rumah tangga masih tidak tenang-tenang juga? Di mana salahnya?
Ada sepasang suami isteri yang  menghadapi masalah dalam rumah tangga. Isteri keletihan menguruskan  anak-anak yang masih kecil manakala suaminya pula keletihan bekerja  untuk menyara ekonomi keluarga. Mereka sama-sama letih. Setelah  mendengar cerita bagaimana Siti Fatimah dan Sayidina Ali mendapat  kekuatan daripada berzikir dengan kalimah Subhanallah, Alhamdulillah dan  Allahuakbar, mereka pun terus mengamalkannya. Sayangnya, mereka tidak  mendapat ketenangan seperti yang dialami oleh Siti Fatimah dan Sayidina  Ali.
Zikir sudah sama tetapi kenapa kesan pada hati berbeza? Sekali lagi, di mana salahnya?
Zikir itu bukanlah sekadar  menyebut-nyebut kalimah zikir tetapi yang lebih penting menghayatinya  dengan hati dan mempraktikkannya dengan perbuatan. Oleh sebab itu, zikir  itu terbahagi kepada tiga dimensi – lidah (qauli), hati (qalbi) dan perbuatan (fi’li). Inilah yang hendak dipraktikkan oleh suami isteri agar rumah tangga bahagia.
Zikir pada lidah, ramai yang sudah tahu.  Yakni lidah menyebut-nyebut kalimah zikir sama ada semasa solat, selepas  solat, membaca al-Quran dan sebagainya. Dalam sebuah rumah tangga,  perlu ada program zikir secara rasmi dan tidak rasmi agar seluruh  anggota keluarga berzikir sama ada secara berjemaah ataupun individu.  Seelok-eloknya setiap keluarga ada amalan-amalan zikir yang khusus dan  diamalkan secara istiqamah. Pilih sahaja sama ada al-Ma’thurat, Manzil  atau zikir-zikir warisan keluarga yang berasal daripada tarekat-tarekat  yang muktabar. Atau ambil sahaja daripada zikir-zikir yang telah  terbukti autentik daripada petikan ayat al-Quran dan hadis-hadis yang  sahih.
Tidak cukup sekadar “membaca” atau  “menyebut” kalimah zikir, tetapi paling utama mesti dihayati maknanya.  Jika Subhanallah, ertinya Maha Suci Allah. Apa maksud Maha Suci Allah  itu? Allah suci daripada segala kekurangan, kelemahan dan lain-lain  sifat negatif sama ada dari segi zat, sifat, perbuatan dan  nama-nama-Nya. Allah itu juga suci daripada segala sifat buruk, hodoh  dan seumpamanya. Berlawanan dengan makhluk-Nya yang serba-serbi lemah,  kurang dan hina.
Untuk menghayati zikir Subhanallah,  seseorang mesti memahami makna dan pengertiannya. Untuk mengetahui dan  memahami, seseorang mesti belajar. Setelah itu barulah erti Subhanallah  itu dibawa dalam kehidupan dalam bentuk penghayatan apabila bertemu  dengan pelbagai insiden dalam rumah tangga. Katakan “Subhanallah”  apabila Allah disifatkan dengan sesuatu yang negatif atau apabila  berlaku sesuatu yang di luar dugaan sama ada buruk atau baik, suka atau  duka, untung atau rugi dalam rumah tangga kita.
Tidak cukup dihayati sahaja, tetapi  praktik “Subhanallah” itu hendaklah diterjemahkan dalam bentuk  perbuatan. Segala tindakan sama ada oleh suami atau isteri mestilah  mencerminkan mereka benar-benar menyucikan Allah. Orang yang benar-benar  menyucikan Allah tidak akan marah-marah, mengherdik apalagi memukul  pasangannya. Adakah mereka berani berbuat demikian jika mereka merasakan  yang suci, yang hebat dan kuat hanya Allah? Orang yang marah-marah,  bengis dan mudah naik angin boleh dianggap tidak menyucikan Allah dalam  kehidupannya sebaliknya dia “menyucikan” dirinya sendiri.
Ya, kebahagiaan itu datang daripada  ketenangan. Ketenangan itu pula datang daripada zikir. Namun bukan semua  zikir menghasilkan ketenangan. Zikir yang menghasilkan ketenangan  hanyalah zikir yang diamalkan secara bersepadu antara lidah, hati dan  anggota. Hanya zikir yang bersepadu itu yang memberi ketenangan pada  hati untuk menghadapi pelbagai pancaroba dalam hidup.
Hati yang tenang akan bersyukur apabila  menerima nikmat, sabar apabila ditimpa musibah, rela memberi maaf  apabila dipinta, mudah meminta maaf apabila bersalah, qanaah dengan  rezeki yang ada, tawakal apabila berusaha dan sentiasa bersangka baik  dengan Allah dan manusia.
Mengapa dengan berzikir hati akan memiliki sifat-sifat baik ini?
(Insya Allah, kita sambung nanti)
Sebelum ini ikutilah dialog ini:
 Malam dingin dengan sapaan  angin membelai sekali-sekala. Saya renung wajahnya. Jelas sudah  retak-retak pada pelipis matanya. Pipinya, walaupun masih merah seperti  dulu, tapi sudah ada riak-riak kedutan yang mula bertamu.
”Bang, bahagiakah kita?”
Masih terngiang-ngiang pertanyaannya lewat bual kami menjelang tidur.
”Bahagia itu di mana?” tanya saya semula.
Dia diam. Matanya redup bagai kerlipan lampu kamar tidur kami.
“Terlalu banyak yang kita telah lalui bersama. Tak sedar dah lebih 20 tahun kita bersama,” kata saya.
Pertanyaannya terus ternganga. Saya pasti dia tidak memerlukan jawapan. Kekadang, soalan dan luahan… sukar dibezakan.
Dalam suram wajahnya saya  renung. Matakami bertembung. Tidak ada bicara, namun rasa dalam  rentetan pelbagai peristiwa begitu laju menerpa. Satu demi satu. Masih  harum rasanya kenangan malam itu. Waktu kali pertama tangan kami  bersatu. Jari-jarinya berinai merah. Seri wajahnya seakan purnama  menghiasi kamar pengantin. Tapi sekarang… jari-jari itu tidak sehalus  dan semulus dulu. Telah banyak diguris kesusahan, sudah sering diguris  keperitan. Pun seri wajahnya, retak juga dipagut usia.
Masih saya ingat kata-kata malam pertama kami…
”Apa perasaan mu?”
Dia senyum.
”Saya bahagia.”
”Hari ni boleh jadi bahagia…  tapi insya-Allah kita masih ada ribuan hari lagi yang akan dilalui  bersama. Berdoalah, seperti mana muqaddimahnya, begitulah nanti  natijahnya….” kata saya seakan berbisik. Senyum kami menguntum. Oh,  alangkah indahnya ketenangan yang dia berikan. Tetapi akhirnya ’mentari’  kehidupan pun menyala petanda ’bulan’ bermadu telah berakhir. Hidup  tidak selalu indah kerana di situlah keindahan hidup.  
Dan hari demi hari terus  berlalu. Musim pantas mencantas waktu bagai embun dijilat surya. Putera  dan puteri kami menyusul seorang demi seorang. Tribulasi datang dan  pergi. Berpindah dari satu daerah ke satu daerah. Roda kehidupan  berputar laju. Kekadang di atas, sering juga di bawah. Ada ketikanya,  senyum, suka dan ceria. Acapkali juga ada muram, duka dan air mata.  Anehnya, dia terus bersama saya. Kadang tegurannya tajam, menikam… saya  pedih. Namun, jauh di sudut hati, terbujuk juga – itu kerana sayang.  Pernah juga belaian dan manjanya melekakan… mujur hati sering diingatkan  – dia adalah ’hadiah’ Tuhan untuk saya. Masakan hadiah lebih besar  daripada Pemberinya?  
Kekadang kolek rumah-tangga gegar dipukul gelombang. Untunglah, kesabaran masih mampu bertahan… pelayaranpun diteruskan.
”Bahagiakah kita?”
Soalan itu kembali mengusik rasa.
”Di mana bahagia itu?”
”Di hujung atau di pangkalnya?”
Lalu saya temukan jawapannya…
”Bahagia itu bukan di pangkal jalan, bukan juga di hujung jalan… tetapi ia ada di sepanjang jalan.”
”Bahagia itu apa?”
Sekali lagi saya terhenyak ke penjuru jiwa. Mencari kata untuk menggambarkan  rasa. Mampukah?
”Bahagia itu ketenangan!” kata ulama yang arif tentang wahyu dan sabda.
”Ketenangan itu apa?”
”Hati yang tenteram dalam  semua keadaan dan suasana. Susah mahupun senang, miskin ataupun kaya,  sihat mahupun sakit, pujian dan kejian… sama sahaja.”
”Bagaimana hendak memiliki hati semacam itu?”
”Ingat Allah… hati akan menjadi tenang.”
Bertalu-talu monolog diri itu  menerjah kamar hati. Apa yang diketahui, apa yang dirasa, apa yang  dilihat, apa yang dibaca sekian lama… terburai semuanya di malam ini –  ditusuk sebuah pertanyaan: ’Bang, bahagiakah kita?”
”Tanpa Tuhan, tiada ketenangan. Tanpa ketenangan, tiada kebahagiaan.”
”Isteriku, kebahagiaan itu  terlalu maknawi. Tapi ketenangan itu dapat dirasai. Jika kau tanyakan,  bahagiakah kita? Ertinya, kau tanyakan tentang ketenangan kita. Dan jika  kau tanyakan tentang ketenangan kita… kau sebenarnya bertanyakan sejauh  mana kita ingatkan DIA – Tuhan kita!”
”Bang apakah aku telah dapat memberikanmu satu ketenangan?”
”Jangan tanyakan itu, sebaliknya tepuk dada tanya dirimu… apakah aku telah tenang?”
”Kenapa?”
”Hanya orang yang tenang sahaja dapat memberi ketenangan…”
”Ah, semakin sukar pula mencari jawapan… semakin diselam, semakin dalam.”
Malam kian larut di kolam  buana. Mata saya kembali merenung wajah isteri. Dia yang tidak pernah  meninggalkan saya ketika apapun jua. Ketika orang memuji, dia  mengingatkan. Ketika orang mengeji, dia menggiatkan. Bagi saya itulah  ketenangan yang dihadiahkannya… Walaupun mungkin itu hanya serpihan dari  hakikat ketenangan yang hakiki. Namun itupun sudah memadai. Monolog  hati saya terus bergema:
”Isteriku, apakah perjalanan  kita ini masih panjang ataupun pendek… entahlah, aku tidak pasti. Namun,  selagi antara kau dan aku masih ada DIA – Tuhan kita. Selama itulah  kita akan tenang. Jika kau ingat, kaulah sumber ketenanganku. Jika aku  ingat, akulah sumber ketenanganmu. Jika kita sama-sama mengingati-Nya,  maka bahagialah kita. Sebaliknya, jika kita sama-sama lupa… musnahlah  kita.”
Lalu dalam suram kamar yang  sederhana… saya sentuh tangannya. Walaupun tidak halus dan mulus seperti  dulu, tapi sentuhan itu membelai hati saya. Kali ini bukan rasa tahap  rendah yang membara. Tapi rasa tahap tinggi yang menyala-nyala.  Isteriku… kita bahagia!
Perlahan-lahan, saya  bangun, bergerak ke meja tulis. Sebuah sajak yang saya hasilkan sewaktu  berjauhan dahulu saya keluarkan dari lipatan buku catatan peribadi.  Terasa kesal juga tidak kirimkan kepadanya. Akibatnya, sajak ”Jauh itu  dekat” tidak pernah dibacanya. Saya baca kembali baitnya satu persatu:   
Kembali kita berjauhan…
salam terpisah, senyum tertahan 
rindu berbuah, sayang merendang 
jauh-jauh begini… 
menguji percintaan
Suaramu telus di langit kelabu 
setiamu selimut dingin hujanku 
arca bayang-bayang malam 
sinar remang-remang siang 
melukis setiamu di awan gemawan 
Terpisah semakin indah 
kian terlarut keruhan rasa 
terimbau semula nostalgia lama  
jari-jari merahmu… 
di malam pertama 
Sayang… Jauh itu DEKAT!
Sumber : 
Gentarasa