skip to main  |
      skip to sidebar

 Perkongsian dari seorang warga Kelantan, Wan Norhaziki Wan Halim:
Suatu hari ketika saya di tingkatan tiga, saya ke Masjid Muhammadi, Kota Bharu untuk mendirikan solat Jumaat.
Di dalam masjid, saya berasa hairan kerana para jemaah tidak berani  menduduki beberapa helai sejadah kuning yang dihamparkan di belakang  sejadah imam.
Tanpa mempedulikan orang lain, saya terus  bersolat tahiyyatul masjid di atas sehelai sejadah kuning bersebelahan  sehelai sejadah kuning empuk yang paling istimewa.
Ketika beri'tikaf, saya mula menyedari bahawa diri saya sedang diperhatikan oleh orang ramai termasuk tuan imam.
Tidak lama kemudian, beberapa individu berbaju Melayu kuning bersamping  datang ke arah saya lalu duduk di atas sejadah-sejadah kuning  berkenaan.
Baru saya menyedari bahawa Sultan Kelantan (Sultan  Ismail Petra) duduk betul-betul di sebelah kiri saya di atas sejadah  empuk tadi.
Ketika itu, saya mula rasa bersalah dan bertekad  hendak mundur ke saf belakang kerana menyedari bahawa sejadah yang saya  duduki di sebelah baginda sultan itu telah dikhaskan untuk seorang  individu.
Ketika saya cuba berundur ke belakang, seorang pemuda  yang saya yakini merupakan pemilik sejadah tersebut menghalang saya  dari berundur dan beliau duduk bersebelahan saya.
Ketika  bersalaman dengannya, beliau menghadiahkan senyuman manisnya kepada  saya. Hari ini pemuda tersebut telah bergelar 'Sultan' bagi Negeri  Serambi Mekah.
Jika dahulu semasa bergelar 'Raja Muda' baginda  pernah membenarkan sejadahnya dipijak oleh saya, hari ini pula setelah  bergelar 'Sultan' baginda telah membenarkan mahligainya diinapi oleh  ribuan rakyatnya untuk berqiyamullail.
"Allahuakbar" 
 
 
 

 MEMALI - 19 NOV 1985
DARIPADA HIDUP BERCERMINKAN BANGKAI - IBRAHIM LIBYA
بسم الله الرحمن الرحيم
Ibrahim Libya: "Daripada hidup bercerminkan bangkai ...". Ikuti cebisan kisah peristiwa bersejarah Memali
Asap putih menyusur di celah dedaun pokok nan rimbun itu. Kepulan yang  naik menjulang langit, menutupi sebahagian hadapan rumah papan. Kiri  kanan tingkap terbuka lebar, memuntahkan haba panas yang mencengkam  rasa. Pedih mata, tak terkata hingga nafas tercungap-cungap dada.
Asakan gas bertubi-tubi terus dilemparkan dan dihalakan ke arah  susuk-susuk tubuh yang sudah tidak keruan. Asalnya, mereka sekadar  terpacak di balik pagar buluh, di ruang laman. Sebuah kereta perisai,  gah berada sejengkal dari mereka sambil menghalakan muncungnya tepat  kepada mangsa.
Keributan dan kekalutan dasyat pagi itu,  disaksikan fajar yang baru terbit di alis awan dengan iringan sejumlah  ketumbukan lebih 3,000 anggota keselamatan yang mengepung kawasan. Orang  kampung, hanya mampu mengetap bibir sambil melihat dengan pandangan  yang berkaca.
Tidak lama kemudian, tragedi menghayat hati pun  memulakan kisah lukanya. Saat itu, sebiji kelongsong peluru gas pemedih  mata menghentak buju dahi gadis comel Naziah Hassan, 12 yang berada di  situ. Memercik darah merah menyala dan dia akhirnya rebah serta-merta.
Shafie, seorang guru yang melihat kelibat Naziah yang jatuh ke tanah,  sudah tidak dapat menahan pilu, lalu membungkam rasa geram yang sudah  membuak-buak akibat kecelakaan itu. Dia langsung melompat pagar lalu  meluru ke arah pasukan yang sudah siap siaga.
Dia berhenti lalu  melaungkan takbir, sambil menghunus pedang. Belum sempat, nafas dihidu,  dua das tembakan tepat mengena tubuhnya, yang kemudiannya longlai  menyembah bumi Memali. Tubuhnya, syahid pertama dipanggil Illahi.
Kemudian, di ruang tingkat atas rumah yang masih bermain dengan asap dan  bau busuk gas puaka, Abdullah Che Soh sedang bertahan, cuba mengangkat  tangan untuk meleraikan keadaan dan minta tidak diapa-apakan. Beliau  mengepung dua anggota keselamatan supaya menghentikan tembakan.
Tersalah atur, Abdullah yang dikenali sebagai Pak Tam dihujani peluru  tak bermata. Bukan satu tetapi tujuh. Dua tembakan di dada, dua di  lengan dan dua di telapak tangan. Yang terakhir tertusuk di kiri  pinggangnya, yang membuatkan Pak teh mula berpinar-pinar dan tersungkur.  Darahnya basah di seluruh badan.
Ketika sekujur tubuhnya  berada di laman, Pak Tam tak mampu membuka kelopak matanya yang sudah  mula direnjis renyai-renyai hujan, yang berkabung mendung.Darahnya  mengalir laju, disirami gerimis pagi itu.
Abdul Rahim Waboh  yang berada di belakang rumah terpaksa meniarap, lantaran tembakan  bersimpang-siur mencari nyawa. Dia asalnya mahu ke kebun getah sejurus  mendengar kuliah subuh Ustaz Ibrahim Libya, terpinga-pinga sambil  menyelamatkan diri.
Lain pula dengan Azmi Haji Salim dan Mat  Ramli Che Mit, masing-masing berhati kental berhadapan dengan pasukan  keselamatan di batas sawah.
Azmi dengan hanya berbekalkan  buah-buah guli sekarung yang tersisip di pinggangnya tidak teragak-agak  melastik anggota yang melepaskan tembakan. Kena ataupun tidak, dia tidak  peduli sehinggalah muncung senapang rapat ke mukanya, tanda perlu  menyerah diri serta-merta.
Manakala Mat Ramli yang pada mulanya  cuba menghalang anggota keselamatan daripada mara ke hujung jalan rumah  Ustaz Ibrahim, terpaksa meredah hutan berundur diri.
Kemudian  anak Azmi dikenali Mohd Zahir,13 yang menyusup dengan guni basah  bergerak seiring dengan anggota keselamatan, akhirnya ditangkap sambil  dihayun penumbuk ke mukanya sehingga berdarah. Kemudian ceritanya, dia  dihumban ke dalam trak.
Di celah semak dan timbunan kayu,  seorang anak muda Muhammad Ahoiri memerhati dari jauh. Dia sudah tidak  dapat menahan sebak, mengalir air mata semahunya. Di pandanganya  terlihat ayah dan adiknya diseret ke penjuru jalan.
Kemudian dia  melihat beberapa sahabatnya seorang demi seorang sujud tak bernyawa  lagi. Antara yang jelas ialah Razki dan Ghazali yang sebentar tadi baru  sahaja mengunyah sarapan pagi dengannya di perdu pisang berhampiran  rumah Ibrahim.
Masing-masing menjamah nasi goreng, sambil  menitip nasihat akidah dan tauhid kepada Ahoiri. "Niat dan buatlah  bersungguh-sungguh kerana Allah, dan jika mati kita tidak  sia-sia...insya-allah syahid hendaknya."
Kata-kata mereka berdua,  terakam kemas diingatan dan kini, mereka mendahuluinya menemui tuhan.  Ahoiri, tidak mampu lagi mengesat air matanya yang sudah menumpah.
Di anjung rumah, mula kedengaran esakan tangisan yang memilukan.  Anak-anak kecil sedang meratapi dan memeluk tubuh ayah mereka nan kaku.  Si-ibu sudah tak terkata apa-apa, lantas mengucup dahi insan yang  dicintai, merelakan pergi dengan air mata basah di pipi.
Babak  sayu itu tidak terhenti di situ. Selagi batang tubuh Ustaz Ibrahim Libya  tidak menyerahkan diri, selagi itulah muntahan senjata dan rempuhan  demi rempuhan terus berlaku.
Ibrahim yang ketika itu berada di  sebalik tiang berhampiran dinding rumah, tidak berganjak dengan nawaitu  pendiriannya yang kejap dan tegas. Tak akan menawar dan menggadaikan  diri untuk Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
"Daripada hidup bercermin bangkai, lebih baik bergalang tanah," kata-kata hikmat yang dingati sebilangan besar anak muridnya.
Ibrahim makin tidak dapat menerima alasan, beliau dianggap penjenayah,  pengganas dan guru ajaran sesat. Selama ini, kerjanya dan amalnya  semata-mata mentauhidkan Allah. Dan subuh tadi sebelum tragedi ini,  selesai solat beliau menyampaikan kuliah akidah.
Serangan  seterusnya menyasarkan Ibrahim tanpa amaran. Dua peluru daripada anggota  keselamatan pantas meluru memamah dada dan perut Ibrahim. Percikan  darah mula menyimbah. Di tengah ruang itu, anak bongsu Ibrahim,  Norsyuhada sudah lama rebah dek kerana pengsan terhidu gas pemedih mata.
Kemudian tubuh Ibrahim diusung ke penjuru dapur rumah. Di pangkuan  isterinya Solehah, beliau tidak henti-henti menyebut kalimah Allah dan  akhinya doanya diserap langit nan tinggi, gugur syahid mengadap Illahi.
Beliau kembali menemui tuhannya bersama 13 sahabatnya yang lain, yang  turut menyembah bumi. Dan hari itu, tanggal 19 November 1985, maka  sejarah hitam penuh nanah terpahat dalam lipatan penuh kelam. Awan  dingin memayungi kampung Memali dengan rembesan air yang senada tangisan  makhluk di bawahnya.
Kemudian kisah seharian itu melabuhkan tirainya pada petang itu.
Gelimpangan jenazah kemudiannya diangkat. Ramai digari dan disusun rapi  berarak ke atas trak. Kemudian disumbat ke penjara di serata tempat.  Yang cedera dan darah masih merah pekat, diikat dan dibawa ke hospital  untuk dirawat. Kampung itu masih dikepung dan di bawah perintah darurat.
Dua hari kemudian, Almarhum Ustaz Fadzil Noor Presiden PAS ketika itu  bersama pendokong perjuangan Islam yang lain sudah bersiap sedia  menguruskan jenazah yang berada di rumah mayat sejak peristiwa pedih  itu. Tatkala mengangkat satu persatu jenazah itu,daripada bilik simpanan  beku, terasa hangatnya lagi darah yang mengalir.
Dengan van  buruk, mereka membawa jenazah syuhada itu ke Masjid Parit Panjang, yang  jauhnya 15 kilometer daripada tempat kejadian yang sudah disekat masuk  dan dihalang untuk sebarang pengebumian dilakukan.
Dan 13  syuhada itu kemudiannya dilayan selayaknya seorang syuhada, disimpan dan  dikebumikan dalam keadaan darah masih merah mengalir di tubuh, menjadi  saksi kepada Pencipta Langit dan Bumi. Salah seorang syuhada pula  dikebumikan di kaki gunung di Alor Melintang.
Tanah kubur Pasir  Panjang kemudian memeluk erat pejuang Memali itu yang antaranya terdiri  daripada seorang guru, ustaz, enam penoreh getah, pegawai agensi  kerajaan, pemandu teksi, penjual buah, pekebun dan bekerja sendiri.  Lalu, hari-hari kemudiannya menjadi sepi dan menyiat hati sanubari.
Maka lengkaplah misi. Biar apapun alasan, yang penting operasi mereka  selesai. Sebenarnya kisah tragis mengorbankan banyak nyawa tak berdosa,  lantaran arahan caca marba dalam Operasi Hapus yang dipanggil mereka.
Kata pihak atasan, menggempur kubu pengganas komunis. Kemudian berlaku  sebaliknya. Yang di kepung, rumah orang kampung. Kemudian cerita ditukar  lagi. Kata mereka menangkap penjenayah berbahaya, pengganas dan guru  ajaran sesat bernama Ibrahim Libya.
Hasil daripada kecelaruan,  kebuasan dan kecuaian pemerintah ketika itu, kampung itu dilanggar  musibah. Ibrahim terbunuh bersama 13 lagi pejuang Memali. Manakala empat  anggota keselamatan juga turut terkorban. Beberapa orang terkena  tusukan guli dan libasan pedang. Empat pejuang cedera parah. Lebih 100  disumbat kedalam penjara. 36 lagi disimpan di Kem Tahanan Kamunting,  Taiping.
Tidak cukup dengan itu, seoarang saksi kejadian Idris  Husin sudah tidak boleh menjalani kehidupannya seperti biasa. Dia hilang  ingatan dan trauma tragedi masih terbayang. Idris tidak boleh mendengar  riuh rendah orang ramai, bunyi siren kereta peronda dan apa jua letupan  mahupun bunyian bising. Dia akan menggigil. Dia semakin menyendiri dan  beberapa tahun lalu, Idris pula menemui Illahi dalam keadaan menderita  sepi.
Lebih pilu dan sayu sepanjang hayat, peristiwa sedih itu  meninggalkan puluhan anak-anak yatim beserta balu-balu yang tidak sempat  meraih kasih mesra insan tersayang dan tercinta. Setiap hari bersulam  duka dan mendodoi anak-anak kecil, dengan zikir dan doa bertemu ayah di  syurga.
Tidak lama kemudian, Sultan Kedah Tuanku Abdul Halim  sudi mencemar duli, menyumbang 13 batu nisan secara peribadi dan  menyirami kubur yang penghuninya adalah rakyat jelatanya sendiri.
Di kaca TV, satu rakaman ditayangkan di seluruh negara tentang kejadian  itu. Seorang bekas Menteri sedang menceritakan sesuatu yang tidak  difahami oleh seoarang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun ketika itu.
Dia sedang menonton bersama ayah, ibu dan adiknya yang sedang merengek  manja. Babak anggota keselamatan menembak seorang lelaki yang berdiri  tegak sambil menjulang senjata parang, terus mengejutkan budak itu  lantas bersuara.
"Ayah, kenapa pakcik tu kena tembak?" Lantas  ayahnya bingkas bangun masuk ke bilik tanpa sebarang kata. Dia melihat  ibunya pula, yang juga tidak bernada kecuali air mata yang berjurai  banyaknya.
Saya ketika itu tertanya-tanya dan 25 tahun kemudian  saya sudah berada di bumi Memali, mencari satu jawapan yang pasti.  Bersama rakan, Muhammad Zaki, kami berdua menjejaki pejuang Memali di  suatu pagi yang bening.
Sebenarnya, setelah diperkenalkan orang  kampung, kami menemui ramai pejuang Memali namun enggan ditemubual. Ada  yang cukup malu dan ada yang tidak mahu membuka luka lama. Sukar  asalnya hajat kami berdua untuk menyingkap kisah sejarah perjuangan  orang terdahulu. Bermula pagi, sehinggalah tengahari, barulah kami  berdua berjaya memujuk seorang pejuang Memali.
Beliau ialah  Abdullah Che Soh, yang terkena 7 das tembakan peluru hidup namun dizin  Allah masih bernyawa. Kini, Abdullah yang dikenali Pak Tam, 60 tunduk  merenung lantai, sambil mengamati semula satu persatu kisah sayu itu.
"Allah telah mentakdirkan saya hidup untuk menceritakan semula kisah  sedih ini "Setelah cedera , saya di bawa ke hospital untuk dibedah.  Tangan saya masih bergari walaupun parah. Setelah dibedah, saya disumbat  ke dalam penjara selama lima bulan.
Kemudian, sambil tersenyum  memandang saya, sambil berkata tenang:"Saya tidak menyesal apa yang  berlaku malah bersyukur terpilih untuk terlibat dalam perjuangan  ini,"katanya sambil menunjukkan parut-parut di badan kesan tujuh  tembakan peluru.
Itu kisah Pak Tam. Dan banyak lagi cerita yang  tak terungkap. Kajang kertas ini tidak cukup menampungnya. Dari kisah  semangat api yang tinggi, sehinggalah cerita pedih di hati. Ada yang  boleh dicebis tetapi banyak yang terpaksa disisip rapat, agar fitnah  yang sedang tidur tidak terus bangkit. Namun bagi yang ingin menyusuri,  datanglah ke bumi ini, Pastinya tidak menghampakan. Hadirlah ke sini 18  November akan datang, untuk lebih mengenali pejuang-pejuang dan kisah  sejati di sini.
Kami kemudian bersua dengan Timbalan Mudir  Madrasah Islahiah Diniah Ustaz Yusof Che Mit, antara yang begitu  dikehendaki bersama Ustaz Ibrahim dan. dia sebenarnya pada hari  kejadian, berada di Kelantan.
Beliau agak hairan mengapa  Ibrahim ingin ditahan. Katanya dia seoarang yang cukup dekat di hati  masyarakat setempat. Sentiasa mengajar masyarakat agar tauhid dan  bertakwa kepada Allah melalui kuliahnya.
Boleh bermain guli  dengan sicomel kanak-kanak kampung atau sepak takraw bersama para pemuda  di Memali. Pengaruhnya yang besar telah melonjak namanya dan juga PAS  yang perjuangannya berlandaskan Islam.
Akibat itu, cemburu  membungkam mata, menutup kebenaran kata dan gerak gaya lantas fitnah  bermaharajalela menuduh As-syahid Ibrahim Libya pengganas, penjenayah  dan guru ajaran sesat yang perlu ditangkap. Dan ISA sentiasa mengintai  untuk menahannya dari sehari ke sehari.
Melihatkan kepada latar  belakangnya, agak aneh tuduhan yang dilemparkan. Bermula dari  pendidikan Islam asuhan ayahandanya Tuan Haji Mahmood seorang guru agama  yang disegani dan kemudiannya ke Madrasah Khairiah Pokok Sena.
Assyahid meneruskan pengajian di Pusat Pengajian Tinggi di Nilam Puri  untuk beberapa tahun sebelum belayar ke Lucknow dan Durban, India  mendalami hadis. Beliau sempat berguru dengan tokoh ulama Islam tersohor  di abad ini iaitu Maulana Sayyid Abul Hassan Ali Nadwi. Assyahid berada  selama lebih kurang empat tahun di India sebelum melanjutkan pengajian  ke Azhar, Mesir kemudian menamatkan pengajiannya di Libya..As-syahid  kembali ke tanahair awal tahun 1970an, beliau berkhidmat di Jabatan  Perdana Menteri sebagai Timbalan Pengarah di Institut Dakwah Islamiah  Malaysia. Sebagaimana telah dijangka bahawa assyahid tidak sanggup  berada lama di bawah ikatan pemerintah yang tidak berpaksi kepada  tuntutan agama, lalu meninggalkan segala kedudukannya untuk balik ke  kampung halaman mencurahkan bakti sebagai pendakwah, pendidik dan  bergerak aktif dalam politik Islam.
Dan selepas itu, sejarah  hitam membaluti Kampung Memali. Dan terkenang dan meninggalkan kesan  sehingga kini. Ibrahim syahid ketika mempertahan agama Allah.
Setelah menemubual beberapa orang pejuang, saya dan Zaki melepaskan  lelah di sebuah warung di hujung kampung. Rupanya pemilik warung minuman  yang bersih itu, seorang wartawan sambilan Harakah era Memali dikenali  sebagai Tarmizi.
Beliau sempat bercerita tentang serban milik  Azmi yang pernah membalut tubuh Ustaz Ibrahim yang berlumuran darah  akibat tembakan peluru. Katanya lima bulan selepas kejadian, serban yang  itu mencebiskan bau yang cukup harum selama dua minggu sehingga ramai  yang datang melawat melihat kejadian aneh itu.
"Pergilah balik  ke rumah Azmi untuk lihat tinggalan sejarah....serban tu," katanya  kepada kami berdua yang kemudiannya tanpa lengah menuju semula ke rumah  pemilik serban itu.
Dan kira-kira jam 1.00 pagi, barulah Azmi  mengeluarkan serban yang sudah 25 tahun disimpan kemas tanpa dibasuh  darahnya yang kini masih jelas kelihatan. Setelah menemuduga tujuh saksi  sehingga jam 3.00 pagi, kami kemudian melabuhkan badan dan melelapkan  mata di bilik Madrasah tersebut, sambil diselimut sejuk malam.
Keesokan paginya kami bertemu dengan Abdul Rahim yang membawa kami  melihat kesan-kesan lubang peluru yang menghujani sebuah pondok kecil  yang terletak dalam laman rumah arwah Ibrahim Libya.
Ketika itu  balu almarhum Hajjah Solehah tiada hanya tinggal anak lelaki as-syahid  yang membawa kami meninjau ke dalam rumah yang sudah diubah suai. Hanya  bahagian atas rumah, masih kekal seperti sedia kala, dan bayangan  huru-hara tembakan tak bermata dan laungan kalimah Allah, menerpa ke  fikiran tatkala saya memandangnya.
Pagi nan hening itu, kami  menyedut sedalam-dalamnya udara bersih laman, tempat berlakunya  bertempuran dan merenung sejenak, peristiwa tumpah darah yang tak  berjiwa itu. Sebak, tragedi 25 tahun ini masih membekas.
Ya, tidak  lama lagi, bermula 19 November akan datang, kawasan sekitar medan tempur  dan Kampung Memali ini akan kembali hiruk pikuk dengan sambutan umat  manusia.
Bukan lagi untuk mengadap atau mengharung hujan peluru  dan kepulan asap putih yang kemudiannya meragut nyawa, tetapi riuh  dengan kehadiran gelombang limpahan para pejuang taat setia kepada  perjuangan Islam.
Hadir dan datangnya mereka untuk mengutip kembali semangat yang bertebaran di bumi Memali untuk selama-lamanya.
Jangan lupa untuk menjengah perkampungan sejarah ini pada 19 November  ini sempena Sambutan 25 tahun peristiwa Memali. Salam perjuangan!
Oleh : AZAMIN AMIN
- detikdaily —
 
 
 
 

 Ketika  kami sedang bersama Rasulullah SAW di kediaman seorang sahabat Anshar,  tiba - tiba terdengar panggilan seseorang dari luar rumah:
"Wahai penghuni rumah, bolehkah aku masuk? Sebab kalian akan memerlukanku. "
Rasulullah bersabda : "Tahukah kalian siapa yang memanggil?"
Kami menjawab : "Allah dan rasulNya yang lebih tahu."
Beliau melanjutkan, "Itu iblis, laknat Allah bersamanya."
Umar bin Khattab berkata: "Izinkan aku membunuhnya wahai Rasulullah"
Nabi menahannya :" Sabar wahai Umar, bukankah kamu tahu bahwa Allah  memberinya kesempatan hingga hari kiamat? Lebih baik bukakan pintu  untuknya, sebab dia telah diperintahkan untuk ini, fahamilah apa yang  hendak ia katakan dan dengarkan dengan baik."
Ibnu Abbas RA  berkata: Pintu lalu dibuka, ternyata dia seperti seorang tua yang cacat  satu matanya. Di janggutnya terdapat 7 helai rambut seperti rambut kuda,  taringnya terlihat seperti taring babi, bibirnya seperti bibir sapi..
Iblis berkata: "Salam untukmu Muhammad.... Salam untukmu para hadirin..."
Rasulullah SAW lalu menjawab : "Salam hanya milik Allah SWT, sebagai mahluk terlaknat, apa keperluanmu? "
Iblis menjawab : "Wahai Muhammad, aku datang ke sini bukan atas kemahuanku, namun kerana terpaksa."
"Siapa yang memaksamu? "
"Seorang malaikat utusan Allah mendatangiku dan berkata:
"Allah SWT memerintahkanmu untuk mendatangi Muhammad sambil menundukkan  diri. Beritahu Muhammad tentang caramu dalam menggoda manusia. Jawablah  dengan jujur semua pertanyaannya. Demi kebesaran Allah, andai kau  berdusta satu kali saja, maka Allah akan jadikan dirimu debu yang ditiup  angin."
"Oleh kerana itu aku sekarang mendatangimu. Tanyalah  apa yang hendak kau tanyakan. Jika aku berdusta, aku akan dicaci oleh  setiap musuhku. Tidak ada sesuatu pun yang paling besar menimpaku  daripada cacian musuh."
ORANG YANG DIBENCI IBLIS
Rasulullah SAW lalu bertanya kepada Iblis: "Kalau kau benar jujur, siapakah manusia yang paling kau benci?"
Iblis segera menjawab: " Kamu, kamu dan orang sepertimu adalah mahkluk Allah yang paling aku benci."
"Siapa selanjutnya? "
"Pemuda yang bertakwa yang memberikan dirinya mengabdi kepada Allah SWT." 
"Lalu siapa lagi?"
"Orang Alim dan wara'"
" Lalu siapa lagi?"
"Orang yang selalu bersuci."
"Siapa lagi?"
"Seorang fakir yang sabar dan tak pernah mengeluhkan kesulitannnya kepada orang lain."
"Apa tanda kesabarannya? "
" Wahai Muhammad, jika ia tidak mengeluhkan kesulitannya kepada orang  lain selama 3 hari, Allah akan memberi pahala orang - orang yang sabar."
"Selanjutnya apa?"
"Orang kaya yang bersyukur."
"Apa tanda kesyukurannya ?"
"Ia mengambil kekayaannya dari tempatnya, dan mengeluarkannya juga dari tempatnya ."
"Orang seperti apa Abu Bakar menurutmu?"
"Ia tidak pernah menurutiku di masa jahiliyah, apalagi dalam Islam."
"Umar bin Khattab?"
"Demi Allah setiap berjumpa dengannya aku pasti kabur. "
"Usman bin Affan?"
"Aku malu kepada orang yang malaikat pun malu kepadanya ."
"Ali bin Abi Thalib?"
" Aku berharap darinya agar kepalaku selamat, dan berharap ia  melepaskanku dan aku melepaskannya. Tetapi ia tak akan mahu melakukan  itu." (Ali bin Abi Thalib selau berdzikir terhadap Allah SWT)
AMALAN YANG DAPAT MENYAKITI HATI IBLIS
"Apa yang kau rasakan jika melihat seseorang dari umatku yang hendak solat?"
"Aku merasa panas dingin dan gementar. "
"Kenapa?"
"Sebab, setiap seorang hamba bersujud 1x kepada Allah, Allah mengangkatnya 1 darjat."
"Jika seorang umatku berpuasa?"
"Tubuhku terasa terikat hingga ia berbuka ."
"Jika ia berhaji?"
"Aku seperti orang gila. "
"Jika ia membaca al-Quran?"
"Aku merasa meleleh laksana timah di atas api."
"Jika ia bersedekah?"
"Itu sama saja orang tersebut membelah tubuhku dengan gergaji."
"Mengapa jadi begitu? "
"Sebab dalam sedekah ada 4 keuntungan baginya... Iaitu keberkahan dalam  hartanya, hidupnya disukai, sedekah itu kelak akan menjadi hijab antara  dirinya dengan api neraka dan segala macam musibah akan terhalau dari  dirinya."
"Apa yang dapat mematahkan pinggangmu?"
"Suara kuda perang di jalan Allah."
"Apa yang dapat melelehkan tubuhmu?"
"Taubat orang yang bertaubat."
"Apa yang dapat membakar hatimu?"
"Istighfar di waktu siang dan malam."
"Apa yang dapat mencoreng wajahmu?"
"Sedekah yang diam - diam. "
"Apa yang dapat menusuk matamu?"
"Solat fajar(subuh)."
"Apa yang dapat memukul kepalamu? "
"Solat berjamaah."
"Apa yang paling mengganggumu? "
"Majlis para ulama."
"Bagaimana cara makanmu?"
"Dengan tangan kiri dan jariku."
"Dimanakah kau menaungi anak - anakmu di musim panas?"
"Di bawah kuku manusia."
MANUSIA YANG MENJADI TEMAN IBLIS
Nabi lalu bertanya : "Siapa temanmu wahai Iblis?"
"Pemakan riba."
"Siapa sahabatmu?"
"Penzina."
"Siapa teman tidurmu?"
"Pemabuk.."
"Siapa tetamumu? "
"Pencuri."
"Siapa utusanmu?"
"Tukang sihir."
"Apa yang membuatmu gembira?"
"Bersumpah dengan cerai."
"Siapa kekasihmu? "
"Orang yang meninggalkan solat jumaat"
"Siapa manusia yang paling membahagiakanmu? "
"Orang yang meninggalkan solatnya dengan sengaja."
Iblis Tidak Berdaya Di hadapan Orang Yang Ikhlas
Rasulullah SAW lalu bersabda : "Segala puji bagi Allah yang telah membahagiakan umatku dan menyengsarakanmu. "
Iblis segera menimpali :" Tidak , tidak.. Tak akan ada kebahagiaan  selama aku hidup hingga hari akhir. Bagaimana kau boleh berbahagia  dengan umatmu, sementara aku boleh masuk ke dalam aliran darah mereka  dan mereka tak boleh melihatku.
Demi yang menciptakan diriku  dan memberikan ku kesempatan hingga hari akhir, aku akan menyesatkan  mereka semua. Baik yang bodoh, atau yang pintar, yang boleh membaca dan  tidak boleh membaca, yang durjana dan yang soleh, kecuali hamba Allah  yang ikhlas." 
"Siapa orang yang ikhlas menurutmu ?"
"Tidakkah kau tahu wahai Muhammad, bahawa barang siapa yang menyukai  emas dan perak, ia bukan orang yang ikhlas. Jika kau lihat seseorang  yang tidak menyukai dinar dan dirham, tidak suka pujian dan sanjungan,  aku boleh pastikan bahawa ia orang yang ikhlas, maka aku  meninggalkannya. Selama seorang hamba masih menyukai harta dan sanjungan  dan hatinya selalu terikat dengan kesenangan dunia, ia sangat patuh  padaku."
IBLIS DIBANTU OLEH 70000 ANAK-ANAKNYA
Tahukah kamu Muhammad, bahawa aku mempunyai 70000 anak.. Dan setiap anak memiliki 70000 syaitan.
Sebahagian ada yang aku tugaskan untuk mengganggu ulama. Sebahagian  untuk menggangu anak - anak muda, sebahagian untuk menganggu orang -  orang tua, sebahagian untuk menggangu wanita - wanita tua, sebahagian  anak -anakku juga aku tugaskan kepada para Zahid.
Aku punya  anak yang suka mengencingi telinga manusia sehingga ia tidur pada solat  berjamaah. Tanpanya, manusia tidak akan mengantuk pada waktu solat  berjamaah.
Aku punya anak yang suka menaburkan sesuatu di mata  orang yang sedang mendengarkan ceramah ulama hingga mereka tertidur dan  pahalanya terhapus.
Aku punya anak yang senang berada di lidah  manusia, jika seseorang melakukan kebajikan lalu ia khabarkan kepada  manusia, maka 99% pahalanya akan terhapus.
Pada setiap seorang  wanita yang berjalan, anakku dan syaitan duduk di pinggul dan pahanya,  lalu menghiasinya agar setiap orang memandanginya.
Syaitan juga berkata, "Keluarkan tanganmu", lalu ia mengeluarkan tangannya lalu syaitan pun menghiasi kukunya.
Mereka, anak - anakku selalu meyusup dan berubah dari satu tempat ke  tempat lainnya, dari satu pintu ke pintu yang lainnya untuk menggoda  manusia hingga mereka terhempas dari keikhlasan mereka.
Akhirnya mereka menyembah Allah tanpa ikhlas, namun mereka tidak merasa.
Tahukah kamu, Muhammad? Bahawa ada rahib yang telah beribadat kepada  Allah selama 70 tahun. Setiap orang sakit yang didoakan olehnya, sembuh  seketika. Aku terus menggodanya hingga ia berzina, membunuh dan kufur.
Cara Iblis Menggoda
Tahukah kau Muhammad, dusta berasal dari diriku?
Akulah makhluk pertama yang berdusta.
Pendusta adalah sahabatku. Barangsiapa bersumpah dengan berdusta, ia kekasihku.
Tahukah kau Muhammad?
Aku bersumpah kepada Adam dan Hawa dengan nama Allah bahawa aku benar-benar menasihatinya.
Sumpah dusta adalah kegemaranku.
Ghibah (gosip) dan Namimah (adu domba) kesenanganku.
Kesaksian palsu kegembiraanku.
Orang yang bersumpah untuk menceraikan isterinya ia berada di pinggir  dosa walau hanya sekali dan walaupun ia benar. Sebab barang siapa  membiasakan dengan kata - kata cerai, isterinya menjadi haram baginya.  Kemudian ia akan beranak cucu hingga hari kiamat. Jadi semua anak - anak  zina dan ia masuk neraka hanya kerana satu kalimat, CERAI.
Wahai Muhammad, umatmu ada yang suka lalai semasa solat. Setiap ia  hendak berdiri untuk solat, aku bisikan padanya waktu masih lama, kamu  masih sibuk, lalu ia manundanya hingga ia melaksanakan solat di luar  waktu, maka solat itu dipukulkannya kemukanya.
Jika ia berhasil mengalahkanku, aku biarkan ia solat. Namun aku bisikkan ke telinganya 'lihat kiri dan kananmu',
Dia pun menoleh. Pada masa itu aku usap dengan tanganku dan kucium keningnya serta aku katakan 'solatmu tidak sah'.
Bukankah kamu tahu Muhammad, orang yang banyak menoleh dalam solatnya akan dipukul.
Jika ia solat sendirian, aku suruh dia untuk bergegas. Dia pun solat seperti ayam yang mematuk beras.
Jika dia berhasil mengalahkanku dan dia solat berjamaah, aku ikat  lehernya dengan tali, hingga dia mengangkat kepalanya sebelum imam, atau  meletakkannya sebelum imam.
Kamu tahu bahawa melakukan itu batal shalatnya dan wajahnya akan dirubah menjadi wajah keldai.
Jika dia berhasil mengalahkanku, aku tiup hidungnya hingga dia menguap  dalam solat. Jika ia tidak menutup mulutnya ketika menguap, syaitan akan  masuk ke dalam dirinya, dan membuatnya menjadi bertambah serakah dan  gila dunia.
Dan diapun semakin taat padaku.
Kebahagiaan apa untukmu, sedang aku memerintahkan orang miskin agar  meninggalkan solat. Aku katakan padanya, 'kamu tidak wajib solat, solat  hanya wajib untuk orang yang berkemampuan dan sihat. Orang sakit dan  miskin tidak, jika kehidupanmu telah berubah baru kau solat.'
Dia pun mati dalam kekafiran. Jika dia mati sambil meninggalkan solat maka Allah akan menemuinya dalam kemurkaan.
Wahai Muhammad, jika aku berdusta Allah akan menjadikanku debu.
Wahai Muhammad, apakah kau akan bergembira dengan umatmu padahal aku mengeluarkan seperenam mereka dari islam?
10 PERMINTAAN IBLIS KEPADA ALLAH
"Berapa yang kau pinta dari Tuhanmu?"
"10 macam"
"Apa saja?"
Aku minta agar Allah membiarkanku berbagi dalam harta dan anak manusia, Allah mengizinkan. 
Allah berfirman, "Berbagilah dengan manusia dalam harta dan anak. Dan  janjikanlah mereka, tidaklah janji syaitan kecuali tipuan." (QS Al-Isra  :64)
Harta yang tidak dizakatkan, aku makan darinya. Aku juga  makan dari makanan haram dan yang bercampur dengan riba, aku juga makan  dari makanan yang tidak dibacakan nama Allah.
Aku minta agar  Allah membiarkanku ikut bersama dengan orang yang berhubungan dengan  isterinya tanpa berlindung dengan Allah, maka syaitan ikut bersamanya  dan anak yang dilahirkan akan sangat patuh kepada syaitan.
Aku minta agar boleh ikut bersama dengan orang yang menaiki kenderaan bukan untuk tujuan yang halal.
Aku minta agar Allah menjadikan bilik mandi sebagai rumahku.
Aku minta agar Allah menjadikan pasar sebagai masjidku.
Aku minta agar Allah menjadikan syair sebagai Quranku.
Aku minta agar Allah menjadikan pemabuk sebagai teman tidurku.
Aku minta agar Allah memberikanku saudara , maka Ia jadikan orang yang membelanjakan hartanya untuk maksiat sebagai saudaraku.
Allah berfirman, "Orang - orang boros adalah saudara - saudara syaitan. " (QS Al-Isra : 27)
Wahai Muhammad, aku minta agar Allah membuatku boleh melihat manusia sementara mereka tidak boleh melihatku.
Dan aku minta agar Allah memberiku kemampuan untuk mengalir dalam aliran darah manusia.
Allah menjawab, "Silakan", aku bangga dengan hal itu hingga hari kiamat. Sebahagian besar manusia bersamaku di hari kiamat.
Iblis berkata : "Wahai muhammad, aku tak bolej menyesatkan orang sedikitpun, aku hanya boleh membisikan dan menggoda."
Jika aku boleh menyesatkan, tak akan tersisa seorangpun.
Sebagaimana dirimu, kamu tidak boleh memberi hidayah sedikitpun, engkau hanya rasul yang menyampaikan amanah.
Jika kau boleh memberi hidayah, tak akan ada seorang kafir pun di muka bumi ini.
Kau hanya boleh menjadi penyebab untuk orang yang telah ditentukan sengsara.
Orang yang bahagia adalah orang yang telah ditulis bahagia sejak di  perut ibunya. dan orang yang sengsara adalah orang yang telah ditulis  sengsara semenjak dalam kandungan ibunya.
Rasulullah SAW lalu  membaca ayat : "Mereka akan terus berselisih kecuali orang yang  dirahmati oleh Allah SWT " (QS Hud :118 - 119)
Juga membaca, " Sesungguhnya ketentuan Allah pasti berlaku" (QS Al-Ahzab : 38)
Iblis lalu berkata : " Wahai Rasul Allah takdir telah ditentukan dan  pena takdir telah kering. Maha Suci Allah yang menjadikanmu pemimpin  para nabi dan rasul, pemimpin penduduk surga, dan yang telah menjadikan  aku pemimpin makhluk-makhluk celaka dan pemimpin penduduk neraka. aku si  celaka yang terusir, ini akhir yang ingin aku sampaikan kepadamu. Dan  aku tak berbohong."
Artikel Berkaitan : Kisah Syaitan dengan Nabi Muhammad s.a.w
#DIKUTIP DARI SYAJARATUL KAUN, DOKTRIN TENTANG PRIBADI MANUSIA PILIHAN,  MUHAMMAD SAW, YANG DITULIS OLEH ASY-SYAIKH AL-AKBAR MUHYIDIN IBNU ARABI  ABDULLAH MUHAMMAD BIN ALI BIN MUHAMMAD BIN AHMAD BIN ALI AL-HATIMI  ATH-THA'I AL-ANDALUSIA), 17 RAMADHAN 560 H - 22 RABI'UTS-TSANI 63
I&Partners Solutions.
www.inpsolutions.com