Wednesday, 3 October 2012

CERITA-CERITA TENTANG SEJARAH




Sumber Foto


Saya adalah di antara mereka yang tidak meminati matapelajaran sejarah, semenjak berada di bangku sekolah rendah.





Saya adalah generasi yang pernah menduduki Peperiksaan Penilaian Darjah Lima. Ketika itu kami belajar subjek Sejarah dan Geografi.









Saya pun terlelap semasa menjalani peperiksaan Sejarah di peringkat SRP. Meskipun mendapat A, ia tiada erti yang besar kepada saya sebab belum mampu menghayatinya. Saya tidak faham apa pentingnya mengingati tarikh, dan mengapa cerita-cerita bagaikan tiada kesinambungan. Apatah lagi pada zaman saya itu, semua soalannya dalam bentuk objektif. 



Meminjam semula istilah kami pada zaman pesekolahan, "Boleh cuba-cuba tembak jawapannya."
















Sepanjang pengalaman saya mengajar dalam kelas-kelas formal, saya dapati memang ramai pelajar yang mengaku tidak meminati pelajaran sejarah.



Saya tidak pula mengkaji, ketidaksukaan terhadap matapelajaran itu, apakah ia ada kaitan dengan gender, ataupun ada kaitan dengan dengan psikologi pembelajaran.




Apabila dipertanggungjawabkan mengajar subjek Tamadun Islam, saya berhempas pulas mencari jalan supaya pelajar belajar menghayati, tidak jemu dan tidak mengantuk, tidak seperti saya dalam kelas sejarah dahulu.





Cuma apabila mempelajari sejarah, ramai orang menyimpan seribu satu soalan dalam fikiran masing-masing. Fakta, tidak enak jikalau ditelan begitu sahaja. Rasa dahulu pahit manisnya. Buang dulu duri dan tulangnya. Kerana sejarah tetap sejarah. Sejarah adalah peristiwa yang benar-benar berlaku pada masa itu,  dengan sebabnya yang asal, bukan kisah yang direka ataupun diubahsuai mengikut kepentingan.









SITI




Saya dahulu, selalu tertanya-tanya tentang banyak perkara yang berkaitan dengan sejarah dan asal-usul. 




Antaranya soalan yang bersarang lama dalam benak saya semasa remaja dahulu ialah, mengapa orang perempuan diberi nama 'Siti.' 








Sumber Foto

Apa maksud 'Siti'? 



Mengapa apabila diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu, dinamakan Siti Aisyah r.a., Siti Khadijah r.a,  sedangkan dalam kitab teks Arab tiada pun kalimah 'Siti?' 




Mengapa pula nama saya tiada kalimah 'Siti' di hadapannya? Sedangkan ada pula orang yang bernama Siti Nabilah?





Akhirnya setelah dewasa, barulah saya tahu, bahawa Siti itu gelaran bermaksud 'Puan'. Puan yang mulia. 



Jadi, seeloknya usah diletakkan nama Siti kepada anak perempuan semasa mereka masih bayi. 



Biarlah mereka dewasa dahulu. 



Setelah berkahwin dan menjadi puan kelak, barulah mereka dengan sendirinya bergelar 'Siti.'



Sama ada kita letakkan pada nama anak itu awalan 'Siti', ataupun tidak.



SEJARAH MANUSIA AWAL





Semasa mengajar subjek TITAS di sebuah kolej beberapa tahun yang lalu, selepas berbincang tentang sejarah manusia awal dan sejarah Islam, seorang pelajar tiba-tiba bertanya, "Bagaimana dengan mereka yang tinggal di dalam gua?"





Terdiam kami semua sejenak. Gua mana?





Rupa-rupanya yang beliau maksudkan ialah gambaran orang-orang yang hidup pada zaman Paleotitik. Beliau mungkin 'tidak selesa' hendak mengaitkan kehidupan orang-orang yang digambarkan sebagai jakun itu dengan kehidupan Nabi Adam a.s., seorang nabi.









JASA



Di
peringkat SMU (Sijil Menengah Agama), saya masih tidak berupaya menghayati dan meminati
sejarah. Saya ingat-ingat lupa tentang kisah al-Hajjaj bin Yusuf
al-Thaqafi. Begitu juga dengan kisah Yazid bin Mu'awiyah ra.






Setelah dewasa, barulah saya tahu, sebenarnya mereka berdua adalah tokoh penting dalam sejarah perkembangan Islam. Banyak jasa mereka kepada agama. Tuduhan-tuduhan buruk yang dilemparkan kepada mereka sepatutnya disemak semula sebelum terus disebarkan kepada umum.









Al-Hajjaj yang terpalit dengan pelbagai keburukan kisah sejarah itu, rupa-rupanya meninggal dunia pada hari-hari 10 terakhir Ramadan, pada tahun 95 H. Masih dalam tempoh antara kurun terbaik yang pernah disebutkan oleh Nabi Muhammad saw.



Apa kurangnya Syeikh Muhammad Abdul Wahhab, yang dituduh dengan pelbagai tuduhan berat itu. Sebesar-besar perkara, sehingga sekecil-kecil perkara, yang dirasakan tidak sesuai dengan kebiasaan, dinisbahkan hanya kepadanya, tanpa dalil dan tanpa rujukan.



(Jadi, apa hairannya pada zaman ini ulama' yang baik-baik dan banyak jasa dituduh dengan pelbagai fitnah?) 



Saya juga pernah ditanya beberapa kali, bagaimana caranya hendak mengenal ulama baik dan ulama tidak baik. Untuk kali terakhir, sesuai dengan keadaan orang bertanya, saya terpaksa katakan dengan kesimpulan, "Hanya jauhari mengenal manikam."



Mahu tidak mahu, kita terpaksa merujuk kepada orang yang lebih tahu. 





Semasa SPM pun begitu juga. Tiada keseronokan mempelajari sejarah. Saya ketinggalan berbanding kawan-kawan. Saya tidak begitu bersungguh-sungguh membacanya. Saya menatap buku sejarah kerana peperiksaan semata-mata, bukan kerana lain.








MENCARI KEBENARAN DALAM CERITA









Sumber Foto







Namun pastinya kita semua semenjak kecil meminati cerita-cerita sejarah, yang tidak dijadikan matapelajaran. Saya meminati kisah benar tentang sesuatu ataupun seseorang yang sudah pun menjadi sejarah. Setelah (masih, dan akan terus) mengaji pengajian hadith, saya menyedari, dalam mempelajari sejarah apapun, baik sejarah Islam, mahupun sejarah lain, yang paling penting dalam sejarah ialah sumber sejarah itu, dan siapakah yang melaporkannya. 



Jujur dan jernihkah orang itu. Jujur dan jernihkan mediumnya?




Tidak cukup sekadar menguasai peta. Sebab, sempadan peta sama seperti (yang dikatakan fakta) sejarah, boleh diubah oleh tangan-tangan yang tidak bertanggungjawab. 









Sejarah akan banyak versi, atas sebab kepelbagaian orang yang melaporkan, atas pelbagai jenis kepentingan. 



Seperti sejarah hari Sabtu, 28 April 2012. 




Bukan begitu?




NILAI PENGKARYA DALAM SEJARAH



Pernah seseorang menceritakan tentang karya Ibn al-Jauzi, 'Akhbar al-Nisa'."



Saya spontan bertanya seperti orang baru belajar, "Cerita benarkah?"



Soalan yang tidak patut ditanya, jika untuk sebuah karya seorang tokoh seperti Ibn al-Jauzi. 



"Berdasarkan kisah benar, wanita-wanita yang setia di pelusuk tanah Arab." Tegas beliau.



Wah. Rugi saya tidak membacanya awal-awal. Mujur ada orang yang mengusulkan.


Rupa-rupanya ada 2 karya dalam kategori itu yang dikatakan karya Ibn al-Jauzi. 




Pertama,  Ahkam al-Nisa'



Kedua, Akhbar al-Nisa'. 



Buku Ahkam al-Nisa' elok dibaca. Adapun Akhbar al-Nisa', perlu dipastikan dahulu adakah ia benar-benar dikarang oleh Ibn al-Jauzi yang terkenal peribadinya itu.





SEJARAH YANG ANEH











Sejarah adakalanya aneh. Bukan semua detik yang berlalu itu terakam menjadi sejarah. Bagi peristiwa penting, biar sebanyak manapun usaha untuk menyembunyikannya,  ia sudah menjadi sejarah, yang sudah dirakam, lalu akan dikenang dan dipelajari oleh orang yang akan datang. 



Ada banyak pula yang digelar sebagai 'fakta' sejarah, tetapi ia bertentangan antara satu sama lain. Kebenaran adakalanya terselit dalam lipatan-lipatan yang digelar sebagai 'fakta' itu. 




Malah ada yang cuba dihilangkan terus dari lipatan, seperti yang berlaku kepada karya Ibnu Khaldun. Rupa-rupanya dalam kitab Tarikh beliau ada mukasurat yang hilang (dihilangkan), dinamakan sebagai al-Safhah al-Mubayyadah. 




Namun akan ada sahaja manusia yang ditakdirkan menggilap semula fakta dan tokoh yang dicemarkan dalam sejarah yang digelapkan. Antaranya, jikalau berkelapangan, boleh baca artikel dalam bahasa kita di sini.














SEJARAH TANAHAIR




Sejarah Malaysia tidaklah sesuci sejarah hidup nabi-nabi. Sejarah nabi-nabi tidak didapati daripada kerangka ilmu sejarah yang biasa-biasa, sebab asas sejarah mereka berada dalam kerangka wahyu, dibawa dan sampai kepada kita dalam bentuk wahyu, melalui Nabi Muhammad saw. Maka dengan sebab itu, sejarah mereka akan tetap terpelihara kebenarannya, sebab wahyu itu tetap terpelihara sampai bila-bila. 








Sejarah Malaysia yang sampai kepada kita tentu sekali tiada sanad, tetapi penting kita meneliti dan membuat perbandingan terhadap versi-versi yang ada. Memilih yang paling jujur dan jernih daripada sekalian yang ada. Kemudian daripada yang jernih-jernih itu, kita pilih yang terbaik pula.




Sejarah Malaysia itu bukan sahaja peristiwa yang sudah berlalu. 




Peristiwa penting hari ini, suatu hari kelak akan menjadi sejarah juga.



SEJARAH AKAN DIBONGKAR




Ada satu lagi perkara yang aneh.




Dan menggerunkan.




Walaupun kita sudah mati nanti, bersama rahsia-rahsia sejarah yang pernah kita sembunyikan, sejarah tidak akan terhenti setakat itu.









Sumber Foto




Kita akan hidup semula. Dibangkitkan dan dihisab.




Ketika itu, semua sejarah hidup kita akan terbongkar. Jika tidak diketahui oleh penghuni-penghuni 'alam bawah' semasa di dunia, ia tidak bermakna hal itu tidak diketahui sesiapa. Jika tidak mendapat pembalasan di dunia, itu tidak bermakna kita selamat selamanya.



Amalan kita direkod lengkap. Kitab marqum. Terakam segalanya. Tiada amalan yang tertinggal untuk dihisab.




Kecuali dosa yang sudah diampunkan, ia hilang, bagaikan di 'delete'. Maka itulah sebabnya, meminta ampun itu, perlu dibuat selalu-selalu dan bersungguh-sungguh. Bolehlah dibayangkan kompleksnya keadaan apabila dosa itu melibatkan perbuatan menzalimi hak orang lain. Jika jumlah orang yang dizalimi itu mencapai ratusan, sempatkah hendak berjumpa seorang demi seorang meminta maaf daripada mereka?




Sejarah buruk dengan manusia di dunia, akan menjadi kisah muflis pula di akhirat.




CERITA SEJARAH MENURUT ORANG YANG LEBIH DEWASA










Setelah usia meningkat, menjelang 40 tahun tidak berapa tahun sahaja lagi, saya seperti berminat hendak belajar semula menghayati sejarah Malaysia. Tiba-tiba sahaja berjiwa patriotik, entah mengapa.






Sumber Foto




Semasa kecil, saya suka mendengar cerita orang tua-tua. Selepas pulang dari masjid, ataupun selepas mengerjakan sembahyang Isya', orang-orang tua kita dahulu menjadi jernih. Jernih wajah, jernih kata-kata dan jernih cerita nasihatnya.



Saya mendengar kisah tentera Jepun daripada arwah datuk, nenek dan moyang yang sempat bercerita semasa hayat mereka.









Semasa sudah dewasa inipun, saya masih suka mendengar cerita dan mengambil nasihat daripada orang-orang yang berpengalaman. Mungkin mereka tidak mengaji di universiti, tetapi mereka telah lama mengaji di universiti kehidupan yang luas terbuka. 



Yang penting orang itu jujur, takut kepada Tuhan, hendak ikut nabi dan sayang kepada semua sahabat-sahabat nabi tanpa kecuali.




Yang menjadi saksi di lokasi. Yang bercerita benar kerana semata-mata untuk memberikan panduan dan nasihat kepada pewaris generasi. 



Cerita akan semakin tinggi nilainya apabila disampaikan oleh orang yang tahu bahawa ajaran Islam itu skopnya luas, seluas alamraya, kerana Islam diturunkan oleh Tuhan yang mencipta alamraya dan segala isinya. 




Dialah yang memulakan, dan Dia akan mengakhiri segalanya.








Cerita-cerita orang yang lebih dewasa mengandungi ilmu dan sejarah. Apabila mereka bercerita tentang sejarah kuih 'apam orang mati', ataupun pendapat orang dahulu yang mengatakan 'kiraman' itu malaikat sebelah kanan, manakala 'katibin' pula malaikat di sebelah kiri, maka dapatlah kita mengukur gigihnya para pendakwah di tempat kita, dan mengagak berapa banyak lagi usaha yang perlu dilakukan





Saya rakyat Malaysia. Yang dahulu namanya Tanah Melayu. Yang bersatu dengan pulau-pulau lain, yang besar-besar dan yang kecil-kecil, dinamakan Kepulauan Alam Melayu. Selepas kedatangan penjajah, ia tidak lagi seperti dahulu. Tanah air saya menjadi rencam dan menerima pelbagai perubahan. Perkembangan-perkembangan itulah yang ingin saya fahami semula daripada sumber yang jujur.



Lagipun, saya, kita semua, bukan mesin. Yang menelan fakta demi fakta semata. Tarikh demi tarikh. Yang jumud dan kaku sentiasa itu mesin, bukan manusia. Kita ada unsur roh yang perlu diisi dan dipelihara, selain jasmani yang perlu disuap dan dibina. Kita adalah manusia yang perlukan suntikan yang menyegarkan kemanusiaan. Lihat bahasa wahyu, meskipun serius dan benar lagi haq, bahasanya indah-indah selalu.




MENGHAYATI MAKNA




Ketika berbicara tentang manusia yang curang, menjalankan aktiviti sulap dan songlap hak orang lain sesedap rasa, bahasa al-Quran, dalam Surah al-Mutaffifin, tetap teratur dan indah dibaca. 



Tetapi sayang jikalau dilagukan sebaik mungkin, tanpa pemahaman dan penghayatan. Apabila begitu, jadilah kita seperti kisah yang disebut oleh Muhammad al-Ghazali dalam bukunya "Bagaimana Berinteraksi Dengan al-Quran." 




Satu kali saya mendengar bacaan ayat-ayat al-Quran mengenai huru-hara hari kiamat dari sebuah masjid, yang menyebabkan bulu roma saya berdiri kerana mendengarnya. Tiba-tiba salah seorang daripada para jemaah berteriak dengan kuatnya, "Allah, ya sayyid al-syeikh, ulang lagi!" Tanpa sedikit pun terlintas di dalam hatinya gambaran huru-hara dan kesengsaraan hari kiamat yang disifatkan oleh ayat-ayat al-Quran yang dibaca itu. Beginikah cara kita berurusan dengan al-Quran? Sungguh menyedihkan. Inilah dia iklim budaya yang lumrah yang kita wariskan kepada generasi muda kita."




Bagus benar jika kita suka mendengar lagu al-Quran. Lebih bagus lagi apabila diringi dengan usaha memahami maknanya. 




SEJARAH DALAM KARYA MEMOIR






Apabila melihat sebuah karya memoir di Pesta Buku di PWTC beberapa bulan yang lalu, saya tertarik kepada judulnya. Dalam kesesakan orang ramai, saya berpaling membilang jumlah anak lelaki saya. 




Ada 3 orang semuanya. 




Saya pun terus membayar harganya.

















 Saya sudah pun selesai membacanya. 







"...Waktu berjalan walaupun jarum jam tidak berjalan dan walaupun Tunku tersekat di tengah jalan. Sebaik saja Tunku masuk ke kawasan itu, jam pun berbunyi tetapi planet di langit tidak menunggu Tunku tiba, jarum jam saja yang menunggunya. Pada saat Tunku tiba dan jam itu berbunyi, semua planet tadi sudah tidak sebaris lagi. Planet yang berbaris sekejap tadi, tidak sempat menunggu kemerdekaan Tanah Melayu diisytiharkan.









Saya adalah antara ribuan manusia di Padang Kelab Selangor yang menunggu jam berbunyi dan ketibaan Tunku." 








(halaman 264)






Buku itu pada hemat saya, akan menjadi antara bahan sejarah pada masa akan datang, bersama bahan-bahan lain.





Adapun kisah orang seperti saya yang membaca buku itu tentulah sama sekali tidak akan menjadi sejarah penting. 





Cuma, ia tetap ditulis oleh malaikat pencatat amalan saya. 





Lalu termaktub dalam Kitab Marqum.














Dan
bagi Allah jualah kuasa pemerintahan langit dan bumi dan ketika
berlakunya hari kiamat, pada saat itulah ruginya orang-orang yang
berpegang kepada perkara yang salah. (27) 


Dan
(pada hari kiamat) engkau akan melihat tiap-tiap umat berlutut (dalam
keadaan cemas dan menunggu panggilan); tiap-tiap umat diseru untuk
menerima kitab suratan amalnya (serta dikatakan kepada mereka): Pada
hari ini kamu akan dibalas menurut apa yang kamu telah kerjakan! (28) 


Inilah
surat (tulisan malaikat) Kami, ia memberi keterangan terhadap kamu
dengan yang benar, kerana sesungguhnya Kami telah (perintahkan malaikat)
menulis segala yang kamu telah lakukan (di dunia dahulu)! (29)





Surah al-Jathiyah (Berlutut) : 27-29

0 comments:

Post a Comment

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Powerade Coupons