Wednesday, 16 November 2022

NOTA BAB SEDERHANA DALAM KETAATAN

عن ابن مسعود رضي الله عنه أن النبي صلى الله عليه وسلم قال :

هلك المتنطعون، هلك المتنطعون، هلك المتنطعون.


Abdullah bin Mas’ud ra melaporkan bahawa Nabi Muhammad saw bersabda, maksudnya :


“Rosaklah orang-orang yang melampau. Rosaklah orang-orang yang melampau. Rosaklah orang-orang yang melampau.”


Sahih Muslim.



📌Antara golongan melampau ialah mengada-adakan ibadah yang tidak diajarkan oleh Nabi Muhammad saw. (Hadith-hadith palsu yang disandarkan atas nama Nabi Muhammad saw turut berperanan dalam hal ini.)


📌Antara golongan melampau ialah terlalu berfikir tentang Allah, sehingga menolak ayat-ayat al-Quran yang mwmberitahu kita tentang sifat-sifat Allah.


📌Antara golongan melampau ialah berlebihan dalam berwudhu’ dan mandi wajib, sehingga membazirkan banyak air dan menyusahkan diri sendiri.


📌Kesederhanaan dituntut dalam agama Islam. Inilah makna bab yang sedang kita pelajari. Sederhana bukan mengikut piawaian dan kehendak kita, tetapi sederhana mestilah mengikut piawaian al-Quran dan al-Hadith yang sahih.


📌Sederhana umumnya bermakna pertengahan antara melampau dengan mengabaikan. Antara الغلوdan التفريط. Maka ada 3 bahagian amalan insan dalam bab ini :


  1. Mengabaikan
  2. Sederhana
  3. Melampau


📌Melaksanakan solat sunat rawatib muakkadah 12 rakaat setiap hari adalah ‘sederhana.’


Tidak solat sunat langsung masuk dalam kategori ‘mengabaikan.’


Melaksanakan solat jenazah adalah ‘sederhana.’ 


Melaksanakan solat yang dinamakan sebagai solat hadiah/solat wahsyah/solat teman adalah ‘melampau.’ (Ada yang melaksanakan untuk semua jenazah dari timur sampai ke barat. Solat ini tidak disyariatkan, bahkan ia datang daripada hadith palsu.)


📌Zikir harian cara Nabi Muhammad saw dalam hadith2 yang sahih adalah SEDERHANA. Zikir rekaan biasanya melampau sama ada dari sudut lafaz mahupun bilangannya.


📌Orang yang sakit terlantar solat dalam keadaan berbaring dan memberi isyarat dengan mata kerana tidak mampu bergerak adalah SEDERHANA.


Orang yang sakit terlantar dan masih sedar tetapi tidak menunaikan solat atas alasan ‘sakit’ masuk dalam kategori MENGABAIKAN.


Orang yang sakit terlantar mahu solat berdiri juga sehingga terpaksa dipapah oleh orang lain untuk qiyam, ruku’ dan sebagainya adalah masuk dalam kategori MELAMPAU.


📌Sesiapa yang mengikut al-sunnah pasti dia akan sederhana, kerana al-sunnah adalah jalan yang ditelusuri oleh utusan Allah - tinggi kedudukannya tetapi tetap seorang manusia seperti kita, dan al-sunnah itu pastinya meraikan kemanusiaan.

Wednesday, 2 November 2022

HAID DAN NIAT UMRAH DI MIQAT

🔴 SOALAN


Assalamualaikum, ustazah


Erra hendak menunaikan umrah. Erra mengikuti satu pakej dan kami pergi ke Madinah terlebih dahulu.


Sampai di Madinah, Erra didatangi haid. Sehari selepas itu kami bertolak ke Makkah. Kumpulan dalam pakej kami itu dibawa dari Madinah dan sampai ke satu tempat, mereka turun solat sunat dan niat ihram umrah di situ.


Erra tidak turun dan tidak niat ihram kerana Erra didatangi haid.


Kemudian ada orang beritahu bahawa berdosa apabila tidak niat ihram dan wajib bayar dam.


Ada juga yang beritahu, doa orang yang haid terhijab, tidak terus naik kepada Allah.


Apakah yang perlu Erra lakukan?


🔴 Waalaikumussalam.


Kita simpulkan bahawa soalan Erra ialah :


  1. Adakah orang haid boleh niat ihram umrah?
  2. Di manakah patut kita niat ihram umrah?
  3. Jika tidak niat ihram di miqat sebab tidak tahu dan tidak sedar, apakah hukumnya dan apakah yang perlu dilakukan seterusnya?
  4. Apakah perkara yang boleh dilakukan dan tidak boleh dilakukan semasa umrah, oleh orang yang didatangi haid?
  5. Benarkah doa orang haid terhijab?


✳️ Pertama : Orang haid boleh dan wajib niat ihram umrah.


Wanita haid yang mahu mengerjakan umrah boleh melakukan semua perkara rukun dan perkara wajib dalam ibadat umrah, melainkan tawaf.


Oleh yang demikian, puan wajib niat ihram umrah bersama mereka yang tidak haid apabila sampai di miqat yang ditentukan.


✳️ Kedua : Niat ihram umrah wajib dilakukan di miqat, iaitu sempadan tempat yang telah ditentukan bagi niat ihram haji ataupun umrah.


Ihram maksudnya niat permulaan hendak mengerjakan umrah ataupun haji. 


Apabila puan sudah ihram, bermulalah larangan-larangan semasa mengerjakan umrah, sehinggalah puan bertahallul (keluar dari ihram) iaitu dengan bergunting ataupun bercukur.


Ihram umrah wajib dilakukan di miqat. Maksudnya, niat hendak mengerjakan umrah itu mesti dilakukan pada tempat yang telah ditentukan dalam hadith. Jika puan bertolak dari Madinah misalnya, miqat ataupun tempat puan niat ihram umrah itu adalah di Bir Ali/Zulhulaifah.


✳️ Ketiga : Jika tidak niat ihram di miqat sebab tidak tahu dan tidak sedar, ini tindakan yang perlu dilakukan, bergantung kepada keadaan puan :


📌 Jika puan tidak niat ihram umrah di miqat yang ditetapkan, sama ada kerana terlupa, tersilap, ataupun tidak tahu, maka puan boleh kembali semula ke tempat Miqat itu dan niat ihram di sana.


📌 Jika puan sudah niat ihram di tempat lain selepas melepasi miqat, contohnya puan niat ihram setelah sampai di Mekah, puan dikenakan dam (denda) mengorbankan seekor kambing, kerana puan meninggalkan perkara wajib haji, iaitu ihram di miqat. Puan tidak berdosa kerana puan tidak tahu, bukan sengaja. Namun puan tetap diwajibkan membayar dam/denda seperti di atas.



✳️ Keempat : Orang yang didatangi haid boleh niat ihram di miqat, dan  boleh mengerjakan semua amalan rukun dan amalan wajib semasa umrah, melainkan tawaf.


✳️ Kelima : Doa orang haid dan nifas tidak terhijab. 


Orang yang haid boleh mengerjakan semua amalan semasa haji dan umrah, kecuali tawaf.  


Doa adalah ibadah, dan doa perlu diteruskan oleh wanita semasa haid dan nifas. 


Banyakkanlah berdoa kepada Allah, Allah Maha Mendengar setiap doa dan keluhan kita. Walaupun wanita haid tidak boleh solat, mereka tetap boleh berdoa kepada Allah. 




والله الموفق

Rabu

2/11/2022

7 Rabi’ al-Akhir 1443H


-

Friday, 14 October 2022

ADAKAH KITA PERLU MENGAMBIL ILMU DARIPADA HABIB, SAYYID ATAUPUN MAWLA YANG DIKATAKAN BERKETURUNAN NABI?

Habib, sayyid، mawla dan sebagainya adalah gelaran, yang belum tentu benarnya mereka itu keturunan nabi saw. Kita perlu semak banyak perkara sebelum membuat keputusan. 


Ringkasnya, sepanjang sejarah, atas nama yang pelbagai, terlalu ramai orang yang mengaku sebagai ahli keluarga nabi saw. Kita boleh bahagikan mereka yang ada gelaran sebegini kepada 3 golongan :

1. Gelaran palsu. Setelah disemak,  salasilah keluarga mereka sebenarnya tidak sampai pun kepada nabi saw. 

2. Mereka memang keturunan Rasulullah saw, tetapi banyak menyelewengkan ajaran nabi saw, sama ada dengan sengaja ataupun tidak. 

3. Mereka memang berketurunan nabi saw, dan mereka memperjuangkan ketulenan ajaran nabi saw. 

Golongan yang perlu kita ikuti dan sayangi ialah golongan ketiga. 

Golongan ketiga mengajak umat supaya kembali kepada ajaran al-Quran dan al-Hadith mengikut disiplin yang betul. Bahkan mereka menasihati golongan pertama dan kedua agar jujur dan kembali kepada ajaran nabi saw.

Golongan ketiga ini TIDAK mengajar orang ramai supaya berTAWASSUL DENGAN ROH ORANG YG SUDAH MENINGGAL DUNIA, baik roh nabi sekalipun. Mereka meneruskan ajaran Nabi saw, iaitu berdoa dan meminta hanya kepada Allah, kerana doa itu ibadah. Mereka melazimi doa-doa yang nabi saw sendiri amalkan, yg baginda wariskan kepada kita dalam kitab-kitab hadith spt Sahih Bukhari dan Sahih Muslim. 

Mereka juga tidak mendakwa bermimpi mendapat selawat yang berbeza daripada nabi dari tahun ke tahun, sebab mimpi tidak boleh dijadikan sumber syariat. 

Sebaliknya, golongan ketiga ini melazimi selawat yg diajarkan sendiri oleh Nabi Muhammad saw, selawat yang paling utama, lafaznya seperti yang kita ucapkan dalam tahiyyat semasa solat.

اللهم اهدنا وسددنا


Tuesday, 13 September 2022

HADITH PALSU - KONONNYA SIAL RABU TERAKHIR BULAN SAFAR

Assalamualaikum.


Soalan :


Adakah benar hari Rabu terakhir dalam bulan Safar membawa malang dan waba’? Benarkah perlu beramal dengan amalan yang tertentu untuk mengelakkannya? Dikatakan amalan-amalan tersebut adalah amalan awliya’ ataupun wali-wali.



Jawapan : 



Cara termudah menyebarkan kepercayaan dan amalan yang tiada asal dan karut marut ialah dengan menyandarkannya kepada wali-wali, setelah gagal menyandarkannya kepada ‘nabi.’ Padahal wali tertinggi ialah Nabi Muhammad saw.


Kepercayaan bahawa hari Rabu terakhir bulan Safar membawa sial adalah gabungan saki baki kepercayaan orang Arab jahiliyyah, kepercayaan para penyembah api (Majusi) idi Parsi dan juga hadith-hadith palsu tentang hari Rabu dan bulan Safar.


Kita umat Islam telah diajarkan oleh Nabi Muhammad saw ajaran akidah yang murni, dilarang mempercayai sebarang sial pada tempat, orang mahupun masa, sama ada dalam bentuk hari ataupun bulan.


Larangan ini jelas terdapat dalam hadith :


لَا هَامَةَ وَلَا صَفَرَ


Maksudnya : Tiada sial pada burung dan tiada sial pada bulan Safar.


Situasi menjadi parah apabila golongan sufi, para penceramah dan penulis yang menempelkan nas-nas agama pada kepercayaan jahiliyyah ini. Disebarkan hadith-hadith daif dan palsu, dihuraikan ayat al-Quran secara salah, malah direka amalan tertentu dan dibaca ayat-ayat tertentu kononnya untuk menolak sial Safar ataupun Rabu terakhir bulan Safar itu.


Mereka percaya kononnya Rabu terakhir dalam bulan Safar itu membawa 1001 bala dan waba’ tanpa ada dalil daripada al-Quran dan hadith yang thabit, tetapi berdalilkan hadith palsu, antaranya konon disabdakan :


آخر  أربعاء في الشهر يوم نحس مستمر


Inilah hikmah mengapa berdusta di atas nama Nabi Muhammad saw adalah dosa besar diancam neraka, kerana kehadiran hadith palsu boleh merosakkan akidah, syariat dan akhlak umat Islam.



Cukuplah kita mematuhi perintah dan larangan dalam al-Quran dan hadith-hadith sahih setiap hari, seperti melarang anak bermain pada waktu senja, menutup bekas makanan dan minuman setiap malam, termasuklah menghayati zikir pagi dan petang seperti koleksi di bawah ini, yang terlalu banyak faedahnya dan begitu mendalam maknanya. Amalan-amalan ini disarankan kepada kita tanpa dikaitkan dengan mana-mana hari ataupun mana-mana bulan.




والله الموفق


DNH

Rabu

17 Safar 1444H

Tuesday, 19 July 2022

RUKUN ISLAM KE-5 : CATATAN 4

 Assalamualaikum.


Antara persediaan yang perlu sebelum menunaikan haji ialah persediaan niat yang betul dan ilmu yang sahih.


  1. Haji adalah amalan yang memerlukan pergerakan besar-besaran dari tempat ke tempat, menuntut mujahadah dan berpanas lelah. Segala titik peluh, wang ringgit, sengkang mata dan mengah nafas akan sia-sia seperti debu yang berterbangan sahaja jika niat bukan ikhlas kerana Allah. 
  2. Selawat dan salam yang kita ucapkan kepada Nabi Muhammad saw akan disampaikan terus oleh malaikat, tanpa perlu kita kirimkan kepada orang yang akan menziarahi kubur Nabi Muhammad saw di Madinah.
  3. Salah faham tentang wahabi boleh menjejaskan ibadah. Bagaimana mungkin orang yang menuduh para imam Masjidil Haram sebagai wahabi boleh menunaikan solat dengan khusyu’ dan tenang dalam setiap solat fardhu di Masjidil Haram?
  4. Syaitan tetap wujud di bumi haramain, sebagaimana fahaman salah. Mereka akan sentiasa masuk mengganggu semua insan mengikut pintu kelemahan masing-masing. Maka antara doa yang perlu diulangi ialah memohon perlindungan Allah daripada gangguan syaitan.
  5. Ibadah dalam musim haji itu melibatkan hubungan dengan Allah, hubungan sesama insan dan hubungan dengan makhluk lain. Menjaga hubungan sesama manusia kerana hendak mematuhi perintah Allah boleh menjadi asbab dimudahkan urusan ibadah yang seterusnya. Lapangkan tempat, tunaikan janji, beri salam dan beri bantuan, adalah antara nilai yang disebut secara khusus dalam al-Quran dan al-Hadith.
  6. Pintu-pintu untuk beramal sama seperti pintu rezeki, adakalanya dibuka pada saat-saat yang tidak pernah kita fikirkan. Kuncinya ialah sabar, usaha dan tawakkal penuh kepada Allah.  
  7. Tiada sesiapa boleh menjamin amalannya telah diterima di sisi Allah. Ikutlah resam Nabi Ibrahim as dan Nabi Ismail as yang berdoa selepas melakukan amalan soleh : 


Catatan 4

20 Zulhijjah 1443H

MM 11.27 pagi

Thursday, 7 April 2022

MEMBACA DAN TADABBUR AL-QURAN DENGAN DISIPLIN YANG BETUL

 Assalamualaikum.

Bolehkah saya  dapatkan pencerahan ustazah tentang ayat ini dan fadilat yg diberitahu dalam audio?



Fadhilat  yang dikatakan ialah sekiranya berlaku kesilapan dalam bacaan al-quran, maka bacaan yang silap itu akan diperbetulkan oleh malaikat. Hanya bacaan yang betul sahaja di hantar kepada Allah.


JAWAPAN


وعليكم السلام ورحمة الله


🔴 Ayat ini menegaskan bahawa Allah s.w.t.  yang menurunkan al-Quran dan Allah-lah yang memelihara al-Quran itu daripada sebarang kesilapan. Maka al-Quran tidak boleh diubah, ditambah ataupun dikurangkan oleh sesiapa. Malah Allah s.w.t. Juga memelihara penjelas kepada al-Quran itu iaitu al-Hadith, dengan cara memelihara disiplin ilmu al-Hadith itu. 


Oleh yang demikian, yang salah itu bukanlah al-Quran dan bukan juga al-Hadith sebagai penjelas kepada al-Quran, tetapi yang silap itu ialah antaranya orang yang tidak mempelajari al-Quran dengan disiplin yang betul, orang yang membaca al-Quran dengan mengikut hawa nafsu, orang yang salah faham ayat al-Quran, orang yang salah guna ayat al-Quran, orang yang menggunakan hadith palsu untuk memahami al-Quran, orang yang tidak mahu menggunakan al-Hadith sebagai penjelas kepada al-Quran dan orang yang tidak tahu kaedah yang betul untuk memahami ayat al-Quran. 


🔴 Tidak dijumpai riwayat yang thabit tentang perkara yang disebutkan dalam audio. Malahan kita merasakan ia bertentangan dengan hadith sahih yang bakal disebutkan di hujung nanti.


🔴 Apa-apa kenyataan yang dikeluarkan tentang perkara ghaib seperti pahala sekian, dosa sekian, apa yang dilakukan oleh malaikat, hendaklah berasaskan dalil yang jelas. TIdak ada sumber yang berautoriti bagi menjelaskan perkara ini melainkan sumber wahyu. Bermakna, kita mesti bawakan dalil al-Quran dan hadith Nabi Muhammad saw kerana hadith adalah penjelas al-Quran. Hadith yang dijadikan dalil itu pula hendaklah hadith yang thabit.


🔴 Oleh yang demikian,  memadailah kita dengan beberapa perkara ini :


A. Memohon perlindungan Allah daripada gangguan syaitan setiapkali mahu membaca al-Quran. Inilah yang dianjurkan dalam ayat 98 Surah al-Nahl.


B. Jangan sengaja membaca al-Quran dengan kesilapan, kerana ia adalah suatu dosa, malah mengundang gangguan syaitan. 


C. Menyedari bahawa tersilap dalam membaca al-Quran, seperti makhraj huruf, mad, dengung dan sebagainya kerana masih dalam proses pembelajaran adalah suatu bentuk kesilapan yang dimaafkan, selagi mana kita memang berniat untuk memperbaiki kesilapan kita. 


D. Berdoa sentiasa agar ditunjukkan jalan yang lurus dan mendapat ilmu yang bermanfaat. Petunjuk dan ilmu yang bermanfaat sangat tinggi nilainya sehingga Nabi Muhammad s.a.w. menyuruh kita berdoa meminta keduanya daripada Allah s.w.t.



E. Berusaha tadabbur makna al-Quran dengan betul dan mempraktikkannya dengan disiplin yang betul. 


Ada banyak hadith palsu yang menyebabkan seseorang itu lari daripada intipati sebenar yang sepatutnya dihayati dalam sesuatu ayat ataupun surah.


Ada pula orang yang enggan menerima hadith Nabi Muhammad s.a.w. yang sahih dalam usaha memahami al-Quran, padahal baginda s.a.w. ditugaskan untuk menerangkan makna al-Quran, sama ada dengan perkataan, perbuatan ataupun pengakuan baginda. Keengganannya menerima hadith mengingkari tuntutan al-Quran sendiri, antaranya  ayat 2 Surah al-Jumu’ah :



F. Meningkatkan kualiti bacaan dan tadabbur al-Quran dengan disiplin yang betul, selari dengan hadith Nabi Muhammad saw :




والله الموفق


Dr. Nabilah Hasan

Jumaat

6 Ramadhan 1443 H

8 April 2022


Tuesday, 22 February 2022

TERPERANGKAP

 Assalamualaikum.


Menerangkan konsep tazkiyah al-nafs itu berbeza dengan tasawwuf sudah memadai untuk selamatkan ummat daripada segala bentuk penyelewengan dalam tasawwuf. 


Juga memadai untuk meletakkan zikir ajaran Nabi Muhammad saw sebagai juara dalam amalan harian, berbanding zikir rekaan tiada asal. 


Mengapa masih mahu jalan yang jauh berliku, penuh onak, sedangkan ada jalan yang lurus, cepat sampai dan terang?


Ada banyak keadaan, kita terperangkap dengan istilah-istilah yang samar dan sukar, sedangkan istilah yang jelas dan mudah kita tinggalkan atas pelbagai alasan.  


اللهم اهدنا وسددنا

Wednesday, 9 February 2022

Assalamualaikum.

Adakah benar waktu solat berkait dengan aura warna seperti yang tular?


Jawapan Ringkas :


Perkara pokok dalam isu ini ialah SUMBER AGAMA.


Sumber agama Islam ialah wahyu. Ajaran wahyu terpelihara  dalam al-Quran dan al-Hadith yang thabit. Agama menjadi kacau bilau apabila amalan dan huraian agama diambil daripada sumber yang salah, ataupun dengan cara yang salah.


Inilah sebab mengapa syaitan gemar menjelma dalam bentuk mimpi ataupun secara jaga - ‘yaqazah’, lalu mendakwa dirinya sebagai nabi ataupun tokoh penting. Tujuannya ialah mengaburi dan menyaingi ajaran wahyu, dan mencipta sangkaan bahawa kononnya ada jalan ‘wahyu’ lain selain al-Quran dan al-Hadith yang menjadi suluhan hidup muslim.


Chakra memang dimaklumi datang daripada kepercayaan Hindu, sama seperti fahaman Wahdatul Wujud. Tidak boleh mengambil kepalsuan terma dalam agama Hindu sebagai penerangan bagi sesuatu ajaran dalam agama Islam.


Aliran yang menerima kepercayaan dan amalan tiada asal seperti wahdatul wujud, yaqazah, menghadiahkan al-Fatihah kepada Rasulullah, selawat rekaan dengan dakwaan pelbagai khasiat dan konsep martabat 7, didapati sangat mudah menerima idea-idea seperti aura, reiki, kuasa tenaga dalaman ajaran agama lain, dan didapati sukar pula kembali kepada ajaran al-sunnah. 


Syariatullah dan sunnatullah tidak bercanggah. Apa yang menyaingi syariat tidak menepati sunnatullah. Dakwaan palsu yang menyalahi sunnatullah tidak akan selari dengan syariat Allah. 


https://drive.google.com/file/d/1Dwl0wUunyYS3bA9Mq1bObjnXTFdS9QJB/view?usp=sharing


اللهم اهدنا وسددنا

Dr. Nabilah Hasan  

7 Rajab 1443H


 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Powerade Coupons