"Apa nak buat. Terimalah. Ini takdir Tuhan. Tuhan hendak saya jadi begini. Kamu jangan menolak takdir."
Itu antara alasan orang bersalah supaya memaksa orang lain menerima segala kesalahannya tanpa kecuali.
Allah memberikan kemampuan kepada manusia untuk menggunakan lidah, tangan, mata, kaki dan sebagainya. Asalnya, Allah-lah yang mencipta semua manusia dan perbuatan mereka.Namun dalam masa yang sama, Allah berikan kemampuan berikhtiar dan berusaha kepada manusia.
Kita boleh memilih, hendak makan ataupun tidak. Kita boleh membuat keputusan hendak bercakap ataupun tidak. Dalam keadaan biasa, kita tidak akan bercakap jikalau kita tidak hendak. 'Kehendak itulah ikhtiar ataupun pilihan daripada manusia. Hendak bercakap perkara baik ataupun tidak hendak. Mahu menghubungi seseorang ataupun tidak mahu.
Perbuatan hamba adalah hak makhluk. Allah menjadikan perbuatan manusia, sama ada dprbuatan tersebut dilakukan oleh manusia melalui pergerakan anggota badan , penglihatan, percakapan dan sebagainya. Namun dalam satu ayat, Allah mengatakan, 'Wa asirruu qaulakum' (dan perlahankanlah suara percakapanmu.) Maknanya, Allah menisbahkan perbuatan manusia kepada manusia, kerana memperlahankan dan menguatkan suara itu adalah ikhtiar dan usaha daripada manusia sendiri.
Manusia bukan 'majbur,' maksudnya bukan terpaksa secara total. Manusia bukan seperti bulu ayam ataupun kapas yang tidak dapat mengawal dirinya sendiri, hanya mengikut arah yang bertiup. Dalam banyak ayat al-Quran, Tuhan menisbahkan perbuatan manusia kepada manusia sendiri.
Meskipun manusia dan segala perbuatan manusia itu asalnya Tuhan-lah yang menciptanya namun perbuatan itu masih melibatkan ikhtiar dan usaha manusia sendiri. Kerana adanya ikhtiar dan usaha inilah Tuhan mempertanggungjawabkan perbuatan manusia di alam barzakh dan di alam akhirat nanti.
Tuhan adil, jangan kita salahkan Tuhan.
Ikhtiar dan usaha kita sendiri yang hendak buat salah.
اللهم أعني على ذكرك وشكرك وحسن عبادتك.
0 comments:
Post a Comment