Sketsa ini terbayang kembali dalam minda saya semasa saya menulis buku ‘Ibu, Benarkah Tuhan Itu Ada.’
Ketika itu saya tidak merakamkannya dalam bentuk tulisan, tetapi ia menjadi pembakar semangat saya untuk menyiapkan buku kecil tersebut, dengan harapan, anak-anak saya dan anak-anak kita semua belajar agama kerana rasa bertuhan dan rasa kehambaan yang tulus terbit dalam diri mereka sendiri.
Pada tahun 2005, saya mengajar subjek Pendidikan Islam tingkatan 2 dan 3 di daerah saya tinggal. Antara tajuk yang menarik perhatian pelajar-pelajar ialah soal kepercayaan tentang hari Akhirat dan segala sub-bab yang ada di dalamnya. Mereka nampaknya memberi perhatian dan lebih khusyuk berbanding dengan tajuk-tajuk lain yang dipelajari. Ada di antara mereka yang sampaikan membawa kerusi ke hadapan, menenggek di tempat kawan kerana hendak mendengar ‘cerita’ tentang hari akhirat.
Ketika itu, terkenang pula kepada Ustazah Normah di MMP, guru yang mengajar kami ‘al-Sam’iyyat’ semasa di tingkatan 4 dalam tahun 1992, salah satu tajuk besar dalam subjek Akidah. Pada saya, kelas itu antara kelas dan pengajaran yang berkesan. Kelas beliau selalunya senyap sunyi, hanya kedengaran suara beliau yang perlahan membacakan dan dan menghuraikan maknanya. Sunyi bukan kerana pelajarnya tidur, tetapi kerana menumpu sepenuh perhatian, hinggakan tiba waktu rehat pun tidak terasa. Al-jannah, al-naar, al-sirat, al-mizan, khulud al-jannah wa al-naar...huruf-huruf di dalam buku teks ketika itu masih terbayang di mata.
Sekian selingan cerita dulu-dulu.
Pada suatu hari, sebaik sahaja tamat pembelajaran, saya keluar dari kelas. Semasa hendak turun tangga, saya nampak kelibas dua orang pelajar perempuan kelas saya tadi, kedua-dua mereka adalah pengawas sekolah, cepat-cepat mengekori saya.
“Ustazah!”
“Ya, saya. Ada apa?”
“Maaf, saya hendak bertanya sedikit. Ustazah ada masa?” kata salah seorang daripada mereka.
“Ya. Boleh sahaja. Tanya tentang apa?”
“Begini,” katanya. Dia nampak serba salah. “Saya hendak tanya kepada ustazah apa yang harus saya lakukan kepada seorang kenalan saya.”
Saya menunggu sahaja cerita seterusnya. Nampaknya pelajar yang seorang lagi keluar hanya sebagai teman.
“Kami berkenalan di sebuah hotel, kebetulan keluarga kami dan keluarga kenalan saya itu sedang bercuti dan menginap di hotel yang sama. Dia anak orang ternama. Banyak perkara yang kami kongsikan bersama, tetapi ada sesuatu yang mengejutkan saya.”
Dia menyambung, “Kata kenalan saya, kita tidak perlu belajar tentang agama. Kita tidak perlukan agama!”
Saya merenung maksud kata-katanya.
“Sebagai seorang Islam, dia sanggup berkata begitu. Apa yang harus saya buat, ustazah?”
Maklumat yang saya dapati sangat terhad, begitu juga dengan masa yang ada. Saya kagum dengan kepekaan dan kesedaran pelajar tersebut untuk menyelamatkan kenalannya.
Saya hanya sempat mengesyorkan kepadanya beberapa perkara yang terlintas di fikiran ketika itu. Tetapi apabila pulang dan sampai sekarang, saya terus memikirkannya.
Remaja yang hampir sebaya, pada hemat saya lebih kurang sama taraf hidupnya, dan sama pula kurikulum sekolahnya, mengapa kesedaran agama mereka sedalam itu jurangnya?
يا مقلب القلوب, ثبت قلوبنا على دينك
0 comments:
Post a Comment