Saturday, 6 February 2010

TUHAN YANG MENCIPTA JIN DAN MANUSIA


Semua orang senyap membisu.
Beberapa orang 'sakit' dan juga beberapa orang yang mengiringi. Perawat menumpukan perhatian kepada pesakit yang sedang dirawatnya itu.
















Suami
pesakit sendiri yang datang membawa isterinya berubat dengan ustaz itu.
Sakit yang agak luarbiasa, yang perlu kepada perawat istimewa.




"Maghi mmano?" Perawat bertanya dalam suara herdikan.



"Aku ado duk atah pagar." (Aku ada di atas pagar)



"Baliklah! Bakpo maghi?" (Baliklah. Kenapa kamu datang?)



"Dio huduh. Aku comey. Bakpo tok kkene kakku." (Dia hodoh. Aku cantik. Kenapa si dia tidak berkenan kepadaku?)



Perawat membaca ayat-ayat al-Quran. Antaranya beberapa ayat dalam surah al-Jin.



Di akhir sesi, perawat bertanya kepada si suami. "Ado oghe kkene ko demo?" (Ada orang lain jatuh hati kepada encik?)



Si suami tampak malu alah apabila ditanya begitu. Perlahan dia menjawab, "Ya, ada."



Begitu rahsia terbongkar.



Kisah-kisah
begini ada kalanya sukar hendak kita terima dalam dunia moden dan serba
ilmiah ini. Tetapi ia masih berlaku, baru sahaja berlaku, di mana ada
faktor-faktor yang memungkinkan ia berlaku.




Ada manusia yang dengki kerana orang lain mendapat anugerah Tuhan.



Ada manusia yang inginkan kelebihan dan pengaruh melalui jalan singkat dan tidak diredai Tuhan.



Ada manusia yang menyeru dan memohon pertolongan daripada makhluk ciptaan Tuhan.



Dan
Tuhanlah juga yang mengajarkan kita memohon kepadaNya, agar melindungi
kita daripada bisikan jahat sama ada daripada jin ataupun manusia, dan
daripada perbuatan jahat manusia sang pendengki.

















Katakanlah (wahai Muhammad): (Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa. (1) Allah Yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat. (2) Dia tiada beranak dan Dia pula tidak diperanakkan (3) Dan tidak ada sesiapapun yang serupa denganNya. (4)













Katakanlah (wahai Muhammad): Aku berlindung kepada (Allah) Tuhan yang menciptakan sekalian makhluk. (1) Dari bencana makhluk-makhluk yang Dia ciptakan. (2) Dari bahaya gelap apabila ia masuk. (3) Dari kejahatan makhluk-makhluk yang menghembus-hembus pada simpulan-simpulan (dan ikatan-ikatan). (4) Serta dari kejahatan orang yang dengki apabila dia melakukan dengkinya. (5)











Katakanlah (wahai Muhammad): Aku berlindung kepada (Allah) Pemelihara sekalian manusia. (1) Yang Menguasai sekalian manusia. (2) Tuhan yang berhak disembah oleh sekalian manusia. (3) Dari kejahatan pembisik penghasut yang timbul tenggelam. (4) Yang melemparkan bisikan dan hasutannya ke dalam hati manusia. (5) (Iaitu pembisik dan penghasut) dari kalangan jin dan manusia. (6)








Syeikh
Mustafa al-Adawiy semasa mentafsirkan surah al-Nas dalam Tafsir
al-Rabbaniyyin li 'Umum al-Mu'minin, menyenaraikan 26 perkara yang
boleh menjadi perisai menghadapi gangguan syaitan.





Perisai ke-3 :


Membaca
al-Mu'awwizaat setiap pagi dan petang. Muawwizat itu maknanya ayat-ayat
pelindung, antaranya ialah ketiga-tiga surah di atas, yang kita sebut
'3 Qul.'





Perisai ke-4 :


Selalu membaca al-Muawwizaat (3 Qul) ataupun setiapkali kita perlu membacanya.




Perisai ke-11:


Membaca al-Muawwizaat (3 Qul) sebagai perisai ketika hendak tidur. Nabi Muhammad, selawat dan salam kepadanya, membaca ketiga-tiga surah ini dan ditiupkan ke tapak tangan, lalu disapu ke seluruh badan.





Semasa mentafsirkan surah al-Falaq pula, beliau menyenaraikan 10 cara mengelak daripada kejahatan si pendengki.





Cara ke-3 :


Membaca al-Mu'awwizaat.





Cara ke-4 :


Jangan beritahu kepada pendengki itu tentang nikmat kurniaan Allah kepada kita. Seperti yang dipesan oleh Nabi Ya'qub kepada anaknya Nabi Yusuf, supaya tidak bercerita kepada abang-abangnya yang beliau bermimpikan 11 bintang, bulan dan matahari sujud kepadanya.





Cara ke-5 :


Sabar menghadapi pendengki dan berbuat baik kepadanya.






Sekian daripada Syeikh al-Adawi.





Namun perlu diingat bahawa bukan semua sakit yang luarbiasa itu datangnya daripada kejahatan si
pendengki. Barangkali sakit  itu adalah sakit fizikal biasa-biasa
sahaja, yang belum diketahui puncanya oleh doktor, ataupun belum
dirujuk kepada doktor pakar. Berubatlah secara biasa dahulu, jangan
cepat berburuk sangka kepada orang lain.





Dalam
pergaulan kita sehari-hari, kita memang ketemu dengan segolongan orang
yang selesa dan selalu merujuk kepada bomoh. Sakit biasa-biasa pun
disangka 'luarbiasa', lalu dirujuk kepada bomoh. Lantas yang sering
terjadi, sang bomoh yang kononnya tahu hal-hal ghaib itu 'menunjukkan'
siapa yang dengki kepadanya. Akibatnya berlaku buruk sangka sesama
sendiri, tuduh menuduh, bermasam muka, malah ada yang sampai berpindah
rumah!





Hanya kerana percaya kepada si bomoh yang tidak diketahui akan asal usulnya.





Dalam kelas mengaji, soalan-soalan tentang bomoh selalu diutarakan.





"Bisnes dia tidak laku. Dia beritahu kepada saya, dia jumpa bomoh. Bomoh itu sudah menunjukkan siapa dalangnya."





"Bolehkah kita guna pelaris perniagaan?"





"Bolehkah kita jumpa bomoh untuk cari barang hilang? Ada orang sudah cuba, memang jumpa barangnya!"








Syaitan memang sentiasa
mengintai peluang hendak memperdayakan manusia. Lantaran itulah, Nabi
Muhammad meletakkan benteng pemisah antara orang Islam dengan bomoh
sang peneka perkara ghaib menerusi hadis :





(من أتى كاهناً فصدقه فقد كفر بما أنزل
على محمد)





"Sesiapa
yang datang berjumpa dengan tukang tilik ataupun bomoh, kemudian
percaya kepadanya, dia sudah menentang apa yang diturunkan kepada
Muhammad." (Al-Bazzar)





(من أتى عرافاً فسأله عن شيء لم تقبل له صلاة أربعين ليلة)




"Sesiapa
yang datang berjumpa dengan tukang tilik dan bertanyakan pendapatnya
tentang sesuatu, sembahyang orang itu tidak diterima selama 40 hari."
(Muslim)





Kata Imam Nawawi, tukang tilik itu pun
masuk dalam kategori bomoh juga. Kata  Imam Khattabi, tukang tilik
itu ialah orang yang mendakwa dapat menunjukkan tempat barang yang
dicuri dan barang yang hilang.





"Tetapi, barang yang hilang itu memang dijumpai di tempat yang bomoh itu tunjukkan!"




Para sahabat nabi pun pernah bertanya tentang kebenaran bomoh.





عَنْ عَائِشَةَ ـ رضى الله
عنها ـ قَالَتْ سَأَلَ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم نَاسٌ عَنِ
الْكُهَّانِ‏.‏ فَقَالَ ‏"‏ لَيْسَ بِشَىْءٍ ‏"‏‏.‏ فَقَالُوا يَا رَسُولَ
اللَّهِ إِنَّهُمْ يُحَدِّثُونَا أَحْيَانًا بِشَىْءٍ فَيَكُونُ حَقًّا‏.‏
فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم ‏"‏ تِلْكَ الْكَلِمَةُ مِنَ
الْحَقِّ، يَخْطَفُهَا مِنَ الْجِنِّيِّ، فَيَقُرُّهَا فِي أُذُنِ
وَلِيِّهِ، فَيَخْلِطُونَ مَعَهَا مِائَةَ كَذْبَةٍ ‏"‏‏.‏





Aisyah
isteri Nabi Muhammad melaporkan, katanya, "Para sahabat pernah bertanya
kepada Rasulullah s.a.w. tentang bomoh. Beliau menjawab, 'Mereka tidak mampu
berbuat apa-apa pun.'





Para sahabat berkata,
'Wahai utusan Allah, tetapi kadang-kadang mereka memberitahu sesuatu
kepada kami, dan ia benar-benar berlaku!'





Rasulullah
s.a.w. pun berkata, 'Itulah perkataan benar yang dicuri oleh jin, dibisikkan
ke telinga bomoh, kemudian para bomoh itu tambah lagi dengan 100 dusta." (Muslim)





Malang sekali akhir-akhir ini istilah bomoh sudah ditinggalkan, namun amalan yang sama disembunyikan di sebalik nama 'rawatan Islam.'




Justeru,
dalam memahami, menghayati dan mengajarkan ketiga-tiga surah ini
sebagai ayat pendinding, kita tidak boleh memisahkan sekurang-kurangnya 4 perkara :





1. Makhluk-makhluk yang Tuhan ciptakan,
yang hidup mahupun yang jumud, yang nampak di mata ataupun tidak, jin
ataupun manusia, dengan izin Tuhan, boleh membawa mudarat kepada kita.
Antara makhluk-makhluk itu ialah manusia yang dengki kepada orang lain.
Tuhan mengajar kita memohon berlindung denganNya daripada gangguan mereka.
Tuhan mengajar kita supaya yakin kepada diri sendiri, berdoa sendiri
memohon perlindungan Allah, supaya Allah melindungi kita.





2.
Tidak bolehlah pula kita berburuk sangka kepada orang lain. Sekiranya
kita berniaga tidak laku, jangan fikir pesaing kita dengki dan berbuat
jahat kepada kita, tetapi baikilah strategi perniagaan kita, dan rajin
berdoa kepada Tuhan yang maha memberi rezeki.




3. Begitu juga apabila terdapat ahli keluarga yang sakit, jangan mudah terfikir tentang 'buatan orang'. Jin jahat itu syaitan, maka jin berpotensi menganggu dan hadir walaupun 'tidak dihantar' oleh orang yang dengki. Gannguan jin mungkin disebabkan rumah tidak hidup dengan solat dan bacaan al-Quran, banyak patung dan sebagainya.






4. Jangan jumpa sebarang perawat yanag menggunakan pertolongan jin, sama ada namanya bomoh ataupun 'perawat perubatan Islam.' Dapatkan khidmat mereka yang benar-benar mengamalkan bacaan al-Quran dan ruqyah yang menepati disiplin ilmu bagi merawat pesakit.




5. Banyak penipuan berlaku dalam dunia yang didakwa sebagai ‘perubatan Islam’.



Ramai pengamal perubatan yang menggunakan nama perubatan Islam tidak menyedari mereka sebenarnya menggunakan khidmat jin dan ditipu oleh jin.



Antara tanda yang diberikan oleh para ulama’ untuk mengenali tanda bomoh yang menggunakan jin dalam rawatan mereka ialah mereka meminta barang pesakit apabila ingin berubat, seperti kain, baju, sikat ataupun rambut pesakit.



Adalah menjadi tanggungjawab pengguna, masyarakat dan ahli keluarga pesakit mendapatkan tenaga perawat yang benar-benar menepati disiplin agama yang menepati ajaran al-Quran dan al-Sunnah dalam mengubati pesakit.



Perawat yang benar-benar menepati displin tidak akan meletakkan pantang larang yang menjauhkan pesakit dengan syariat Islam, tidak  menggunakan khidmat jin/syaitan, tidak mendakwa boleh scan saka daripada gambar, dan tidak menyembunyikan jampi yang dibaca (terdapat perawat yang mencampur adukkan bacaan al-Quran dengan jampi lain dalam bahasa dan makna yang sangat diragui.)



Paling penting, pesakit yang ‘diganggu’ tidak boleh melazimi sembarangan zikir yang tidak diketahui asal usul dan puncanya, sebaliknya mestilah sentiasa melazimi zikir yang diajar oleh Nabi Muhammad saw dalam hadith-hadith yang sahih. 



Antaranya ialah hendaklah sentiasa mengulangi Ayat Kursi, Surah al-Ikhlas, al-Falaq dan al-Naas 3 kali pada setiap pagi dan petang (malah setiap kali ada gangguan) serta bacaan 100 kali setiap  sehari bacaan dan penghayatan lafaz zikir berikut :



لا اله الا الله وحده لا شريك له 

له الملك وله الحمد

 وهو على كل شيء قدير



Ini berdasarkan hadith sahih, iaitu sabda Nabi Muhammad saw, maksudnya : 



“Sesiapa yang membaca : 



 ‘لا اله الا الله وحده لا شرييك له، له الملك وله الحمد وهو على كل شيء قدير' 



sebanyak 100 kali sehari, dia mendapat pahala seperti membebaskan 10 orang hamba, dituliskan kepadanya seratus kebaikan, dihapuskan daripadanya 100 dosa kejahatan, dan (zikir itu) akan menjadi perisai baginya daripada gangguan syaitan sepanjang hari itu, sehingga malam."



(Sahih Bukhari dan Muslim)










والله أعلم








أعوذ بكلمات الله التامات من شر ما خلق











1 comments:

Aqmar Albi said...

Salam,... saya amat setuju. Jangan jumpa bomoh.Berusaha mengubati diri sendiri dan yakin dengan pertolongan Allah. Itulah yang terbaik. Mulakan dengan solat hajat dan amalan-amalan ibadah dan zikir. Termasuklah zikir-zikir dan ayat pelindung. Andai kita diuji dengan perkara sihir sekalipun anggaplah ia ujian keimanan dan ketaqwaan yang sekaligus menghapuskan dosa, meningkatkan keimanan dan darjat ketaqwaan. Ujian ini juga adalah tanda sayangnya Allah pada hambaNya.

Post a Comment

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Powerade Coupons