SEKUMPULAN bekas pelajar sebuah universiti berkumpul menziarahi bekas  pensyarah mereka.. Pensyarah itu amat gembira menerima kedatangan bekas  pelajar yang berjaya dalam jurusan dan kehidupan masing-masing. Mereka  bertanya khabar dengan penuh mesra dan terus terang. Perbincangan  berlanjutan sehingga menyangkut kepada permasalahan berbentuk peribadi.  Ada yang mengeluh, mengadu dan meluahkan perasaan yang tertekan dengan  pelbagai permasalahan, tekanan hidup berkeluarga, dengan rakan di tempat  kerja serta masyarakat sekeliling.
Pensyarah itu hanya tersenyum  dan terus menuju ke dapur untuk mengambil cawan pelbagai bentuk dan  warna. Ada yang dibuat daripada tembikar, kaca dan plastik. Ada yang  cantik, penuh hiasan, kelihatan mahal dan ada yang biasa saja dan murah.  Pensyarah itu menjemput semua bekas anak murid itu minum menggunakan  cawan pilihan mereka.
Apabila semua bekas pelajar itu mengambil  cawan yang terisi air, dia pun berkata: "Jika kamu perhatikan, semua  cawan yang cantik dan mahal itu diambil, yang tinggal hanya cawan yang  biasa-biasa dan murah! "Begitulah lumrahnya kita hanya akan memilih yang  terbaik (menurut pandangan luaran), sebenarnya itulah punca masalah dan  tekanan hidup yang kita semua hadapi!"
Apa yang kita perlukan  sebenarnya adalah air, bukan cawan itu, tetapi kita secara tidak sedar  memilih cawan yang cantik saja! Demikianlah kehidupan ini ibarat air.  Kerjaya, wang ringgit dan kedudukan dalam masyarakat semuanya umpama  cawan yang beraneka warna itu. Semua itu adalah alat atau pemudah cara  untuk meneruskan hidup tetapi kualiti hidup tidak berubah. Jika kita  hanya menumpukan perhatian kepada cawan, kita tidak ada masa untuk  menghargai, merasakan dan menikmati air itu!
Apa yang pensyarah  itu katakan bertepatan dengan apa yang al- Quran bentangkan mengenai  jiwa manusia yang selalu berkeluh kesah dan tidak pernah rasa cukup.  Pelbagai permasalahan kita berpunca daripada empat perkara:
# Kita hanya memandang dan  menginginkan apa yang ada pada tangan orang lain.. Kita tidak nampak  atau lupakan nikmat di dalam genggaman kita. Walhal, Allah telah berikan  kepada kita. Oleh itu kita tidak rasakan 'keseronokan' atau terasa  nikmat dengan pemberian itu.
# Kita terlalu banyak 'komplen' dan komen (mengadu) dan  mengeluh serta menyalahkan keadaan sehingga kepada permasalahan  sekecil-kecilnya dalam kehidupan dunia ini. Tetapi, kita sering lupa  kesusahan dan penderitaan sebenar yang bakal kita hadapi di akhirat  kelak.
# Kita  terlalu mengejar kemewahan, kemegahan dan glamor kehidupan sehingga  melupakan tujuan hidup kita sebenarnya. Inilah sebenar ujian hidup yang  kadang kala kita rasakan amat memeritkan untuk dihindari, pada hal kita  tahu ganjarannya adalah syurga daripada Allah.
# Kita selalu menganggap kehidupan di  dunia ini untuk hidup selama-lamanya. Oleh itu, kita menghabiskan  seluruh sumber dalam diri semata-mata untuk membina pengaruh, mengumpul  harta dan kemasyhuran diri seolah-olah 'kematian' itu untuk orang lain,  bukan untuk kita. Kita lupa semua kejadian akan mati dan walhal akhirat  adalah kehidupan abadi.
Oleh itu, dari sekarang kita  hentikan perangai suka komplen, komen dan berkeluh kesah. Kita hargailah  kehidupan ini. Kita jalani kehidupan sebagai khalifah Allah, melakukan  yang makruf, melarang perkara yang mungkar. Kita syukuri nikmat yang ada  dan panjangkan nikmat ini kepada orang lain dengan memberikan khidmat  menolong dan memudahkan kehidupan orang lain.
21:32
 Posted in:  
0 comments:
Post a Comment