Menulis boleh jadi menyeronokkan. Mungkin lebih sukar daripada bercakap, sebab menulis bukan dengan lidah, namun bagi orang yang kurang bercakap tetapi pandai menulis, adakalanya menulis itu dirasakan jauh lebih mudah.
Apa sahaja yang kita hasilkan daripada usaha kita, hasil daripada pilihan kita sendiri, termasuklah tulisan, dikira sebagai amalan yang akan dipertanggungjawabkan dan dinilai. Jikalau dinilai di dunia sahaja, tidak perlulah kita bersusah hati dan bersusah payah sebelum menulis. Cabarannya ialah, tulisan kita akan dinilai pada hari terakhir, hari yang tidak ada lagi hari lain selepasnya - hari akhirat.
Bagi seorang pelajar ataupun murid, tulisan guru amat berharga. Dibaca, dinilai, diamalkan dan dijadikan panduan, sama seperti pengajarannya dalam kelas ataupun kuliah. Walaupun guru mungkin tidak dapat diketemui kerana faktor jarak dan masa, ataupun sudah meninggalkan alam fana ini, membaca karya guru dirasakan bagai sedang berhadapan dengannya, bagaikan dia sedang menyampaikan ilmunya kepada kita.
Dalam Tafsir Pedoman Muttaqin, juzu' 29 Surah al-Qalam, tafsiran ayat pertama, Dr. Abdul Hayei Abdul Sukor menyebut mengenai pena dan tulisan. Saya salinkan di sini, mudah-mudahan kita berusaha bagi mendapatkan naskhah Tafsir Pedoman Muttaqin ini, yang pada pandangan saya amat penting kita memilikinya, walaupun di kalangan pembaca yang tahu dan boleh membaca kitab-kitab tafsir utama dalam bahasa Arab.
Pena Boleh Membina Dan Meruntuh
Pena bagaikan pisau yang boleh diguna untuk menyelamat dan juga memusnah. Pena juga begitu bahkan adakalanya lebih tajam daripada pisau yang diguna untuk menyembelih. Pena atau kebolehan menulis dan menyampaikan maklumat adalah anugerah Allah yang sangat tinggi nilainya selama ia menulis dan menyampaikan maklumat dengan baik, tidak melampaui batas-batas kebenaran dan juga dengan penuh keikhlasan. Apabila penulis tidak mampu lagi mengawal tulisannya,maka kebolehan menulis yang merupakan nikmat itu tiba-tiba bertukar menjadi bala, anugerah yang menjadi alat membina bertukar menjadi alat memfitnah dan meruntuh yang sangat dikutuk Allah dan manusia.
Penulis yang bertanggungjawab dengan dunia dan akhiratnya hendaklah mengawal penanya melampaui sempadan, supaya tulisannya sentiasa membina dan berkekalan faedahnya biarpun dia sudah pergi meninggalkan dunia ini. Benar apa yang diungkap oleh seorang penyair,
وما من كاتب إلا سيفنى * ويبقى الدهر ما كتبت يداه
فلا تكتب بكفك غير شيء * يسرك يوم القيامة أن تراه
Maksud :
Penulis tiada yang kekal, semuanya pergi. Hasil penanya jua yang abadi. Hati-hatilah anda dengan tulisan, dialah teman anda di akhirat nanti.
Penulis perlu mengambil perhatian kepada beberapa perkara, antaranya, :
1. Bertanggungjawab dengan apa yang ditulis. Sehubungan ini Allah berfirman :
وَلَا
تَقۡفُ مَا لَيۡسَ لَكَ بِهِۦ عِلۡمٌۚ إِنَّ ٱلسَّمۡعَ وَٱلۡبَصَرَ
وَٱلۡفُؤَادَ كُلُّ أُوْلَـٰٓٮِٕكَ كَانَ عَنۡهُ مَسۡـُٔولاً۬ -٣٦
Maksud :
Dan janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tiada pengetahuan tentangnya. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati, semuanya itu akan bertanggungjawab tentangnya. (Surah al-Isra' ayat 36)
Ayat ini menunjukkan manusia hendaklah bertanggungjawab dengan kegiatannya yang berkaitan dengan maklumat dan sumber maklumat kerana semuanya akan ditanya dan dihukum.
2. Setiap penulis harus sedar bahawa kerjayanya sebagai penulis sama ada di akhbar, majalah atau buku bahkan di mana-mana jua bukanlah pemutus kata dalam sesuatu isu yang ditulis atau dibincang. Ini kerana tulisan dalam semua bidang, sama juga dengan ucapan, di samping kebenaran yang dicari pasti ada kesilapan yang terjadi. Mampukah sebiji kepala yang berisi maklumat menyampaikan semua yang diketahuinya, tanpa kemungkinan benar atau salah, baik atau buruk, terutama tentang isu yang membabitkan hak-hak manusia yang perlu dilaporkan dengan adil dan tidak berat sebelah.
Tidak penting bagi seorang penulis terus berkarya dan terus berkarya, tetapi yang lebih penting ialah menimbang apa yang harus ditulis dan bilakah dia harus berkarya. Ini kerana setiap patah perkataan yang ditulis akan dihisab di sisi Allah dan dibalas dengan sama ada dosa atau pahala.
مَّا
يَلۡفِظُ مِن قَوۡلٍ إِلَّا لَدَيۡهِ رَقِيبٌ عَتِيدٌ۬ -١٨
Maksud :
Tiada sepatah perkataan yang diucapkan melain ada di sisinya malaikat yang mengawas dan yang selalu hadir. (Surah Qaf ayat 18)
Firman-Nya lagi,
وَإِنَّ
عَلَيۡكُمۡ لَحَـٰفِظِينَ (١٠) كِرَامً۬ا كَـٰتِبِينَ (١١) ١١
Maksud :
Dan sesungguhnya bagi kamu ada malaikat yang mengawas kamu, yang mulia di sisi Allah dan yang mencatat kegiatan kamu. (Surah al-Infitar ayat 10-11)
3. Ilmu hendaklah diperoleh daripada sumbernya yang sahih, sama ada al-Quran, hadith atau guru yang boleh dipercayai serta jujur dan beramanah atau melalui pembacaan yang matang. Nabi s.a.w. bersabda :
إنما العلم بالتعلم
Maksud :
Sesungguhnya ilmu itu didapati dengan belajar.
Ilmu tidak diperoleh tanpa guru dan pembimbing yang jujur, ilmu hendaklah diambil daripada sumbernya yang sahih dan betul.
Sekian petikan daripada Tafsir Pedoman Muttaqin.
Suka saya ulangi 5 perkara penting :
1. Bertanggungjawab dengan apa yang ditulis. Perlu ada ilmu tentang perkara yang ditulis.
2. Tulisan seorang penulis bukan pemutus kata dalam sesuatu isu ataupun bidang.
3. Ilmu hendaklah diambil daripada sumber yang sahih.
4. Pertimbangkan sebaik-baiknya apa yang perlu ditulis.
5. Pilih masa menulis yang betul dan sesuai.
Dan suka juga saya ulangi penutup tafsiran ayat pertama, iaitu :
Ilmu tidak diperoleh tanpa guru dan pembimbing yang jujur, ilmu hendaklah diambil daripada sumbernya yang sahih dan betul.
0 comments:
Post a Comment