Moga Suamiku adalah yang terbaik buatku juga.. InsyaAllah..
( Terima kasih kepada kak ina yang telah sentiasa memberikan semangat kepada ummi setiap kali membaca artikel yang di tulisnya.. moga jodoh mereka akan berkekalan hingga ke Syurga.. Ameen.. )
Dari tadi kak long asyik tersenyum-senyum memandang saya. Entah apa yang di fikirkannya saat itu, hanya dia dan ALLAH yang tahu.
“Kenapa kak long, nak cubit?” soal saya dalam nada bergurau. Senyumannya kian melebar.
“Tak ada apa-apa…” Kak long menjawab ringkas, tapi lirikan manis yang menguntum di bibirnya masih terlihat jelas.
Saya  membiarkan kak long dengan senyuman misterinya dan meneruskan  kerja-kerja rutin di dapur. Periuk belanga, pinggan dan cawan yang  digunakan untuk memasak hidangan tengahari tadi masih belum di cuci.  Kain baju yang memenuhi bakul biru dan kuning di hadapan bilik air juga  belum terusik sedikitpun.
“Ummi  dan ayahkan….macam orang bercinta…” Tiba-tiba kak long meluah bicara,  malu-malu sahaja lontaran nada yang masuk ke telinga. Terpempan seketika  saya mendengarnya. Mujur pinggan di tangan tidak terlepas ke sinki  kaca. 
“Kenapa  kak long cakap macam tu?” saya bertanya. Aliran darah bagai deras  menerjah ke wajah. Panasnya terasa. Paras rupa merah merona. Sejurus,  saya menguntum senyum ceria.
Segan sebenarnya !
“Hari  tu, masa kita jalan-jalan, kak long dan kak ngah tengok ummi ayah  pegang-pegang tangan, senyum-senyum pulak tu,” ucap kak long  berterusterang. Kata-katanya itu saya sambut dengan ketawa panjang.
Tiada  jawapan balas yang dapat saya berikan. Hanya bibir melafaz takbir dan  tahmid. Cukuplah itu menjadi pengukuh terhadap pandangan luhur seorang  anak, yang lahirnya ke dunia ini menjadi bukti ikatan kasih yang  terpatri. Sayang seorang suami, cinta seorang isteri.
BERBEZABukan mudah menelusuri kehidupan bersama individu yang berbeza segalanya. Dalam hal ini, situasi dan persepsi perkahwinan antara pasangan yang belum dan sudah berumahtangga pasti tidak sama.
Bagi  pasangan yang sedang dilamun gelora cinta, mereka melihat alam  perkahwinan sebagai tapak menyemai harapan nan indah, menambah erat  kasih dan cinta yang sedang membara. Namun bagi sekian ramai pasangan  suami isteri yang telah, sedang dan masih dalam perjuangan melakar  tadbir harmoni dan bahagia, cinta yang mengikat dua jiwa pada awalnya  bukan penentu kelansungan ikatan yang didamba.
Bahkan,  irama permulaan yang gembira dan mendamaikan, tidak akan pasti  berkesudahan dalam rentak yang sama. Mungkin saja, keriangan bertukar  duka, cinta berganti benci, kasih berubah simpati. 
Andai  tiada usaha dan ikhtiar untuk menyubur rasa kasih mesra, ikatan yang  tersemat ampuh pada awalnya pasti mudah terlerai; binaan cinta yang utuh  pada permulaannya, boleh sahaja berpenghujung sirna, runtuh seterusnya  hancur berkecai.
Seumpama  pasangan sejoli menyaksikan panorama pergunungan dari kejauhan. Hijau  pepohonan yang melitupi kaki pergunungan, sungguh menyegarkan. Kicau  sang burung memecah keheningan. Gumpalan awan putih menyapa puncak nan  tinggi, amat mempesona pandangan. Bersama tamparan lembut angin  sepoi-sepoi bahasa pada batuan kukuh dan pejal, segalanya terlihat  begitu indah dan mengasyikkan.
Akan  tetapi, bagi mereka yang bergerak mendekat, pasti banyak cabaran  terpaksa didepani. Hutan di sekitarnya sahaja sudah cukup meletihkan  untuk diharungi sebelum sampai ke kaki gunung. 
Ketika  pendakian dimulai, diri perlu lebih berhati-hati. Mata mesti tajam  memerhati, telinga pula perlu sentiasa peka mengawasi. Jika salah kaki  berpijak dan mendaki, tubuh boleh jatuh ke batuan yang pejal dan  menyakitkan. Andai tidak berwaspada dengan persekitaran yang asing dan  penuh kejutan, bahaya dari binatang buas dan berbisa boleh sahaja  menyebabkan kecederaan dan kemalangan yang tidak terjangkakan. 
BERMULA DI SINIItulah alam perkahwinan. Penuh mehnah dan tribulasi di sepanjang perjalanannya menuju bahagia abadi. Suka duka bersilih ganti. Tawa dan tangis hiba bergiliran mengisi hari. Saya dan suami juga tidak terkecuali dari pengalaman ini, sementelah kami bermula ketika masih bergelar penuntut universiti.
Dalam kondisi kewangan yang minima, suami datang melamar. Tanpa ragu dan tangguh, ayah memberikan persetujuan. Kenduri perkahwinan kami raikan dengan berkongsi kemeriahan majlis resepsi adik kembar saya dan pasangannya.
Warna  hijau pucuk pisang menjadi tema pakaian kami di hari bahagia. Suami  berbaju melayu dan bersongkok sementara saya mengenakan jubah dan tudung  labuh yang dijahit sendiri oleh teman sekuliah. Kad jemputan juga  begitu santai dan mudah. Tidak perlu ditempah. Semuanya hasil cetusan  idea suami dan sentuhan kreatifnya.
Biarpun segala persiapan penuh sederhana, kami tetap bahagia.
Bermula  detik itu, laluan panjang di hadapan kami selusuri bersama. Ada  ketikanya, kami melewati jalan yang indah berbunga dengan senyum dan  tawa ceria. Di ketika lain pula, kami meniti jambatan ‘perasaan’ yang  sempit lagi menyesakkan dada. Dan banyak juga masanya, kami lelah  mendaki bukit ‘cabaran’ dalam laluan perkahwinan. 
Namun,  dengan keyakinan dan usaha untuk melakar sakinah, mawaddah dan rahmah  di sepanjang perjalanan, pegangan tangan tidak sesekali kami lepaskan.  Malahan, dengan rahmat dan kasih sayang-NYA, ia menjadikan pautan jari  jemari kami kian kejab dan saling erat menggenggam.
KENANGAN SEMUSIM LALU“Abang  ingat tak masa kita baru kahwin dulu. Bila balik kampung je, motor  mesti rosak.” Suatu ketika saya bercerita mengenang kisah lama. 
Saat-saat manis tetapi penuh ‘adventure’  bermotor berdua. Untuk memiliki kereta sendiri ketika itu, kemampuan  belum ada. Dengan kenderaan dua tayar itulah, kami ke sini dan sana.
Suami  tersenyum. Mungkin sedang membayangkan kekalutan kami saat berdepan  ujian kecil itu. Saban kali pulang ke kampung halaman saya di Felda  Gedangsa, motor yang kami naiki pasti mengalami masalah yang tidak  terduga.
“Satu  hari, tayar motor pancit kat lebuhraya. Mujur di tepi lebuhraya tu ada  penempatan masyarakat India. Tanpa pilihan, kita turun ke kampung tu.  Abang terpaksa tinggalkan As sorang-sorang kat satu pondok, sementara  abang pergi ke bengkel berhampiran dengan bantuan seorang penduduk di  situ. Bimbang sungguh As…Rasanya lama juga menunggu abang. Dah lah sunyi  tempat tu...yang As dengar hanya bunyi anjing menyalak. ALLAH jelah  tempat As berlindung. DIA lah yang menjaga.” Saya terus berkisah  mengingatkan detik-detik cemas dan mendebarkan. 
“Tu  belum lagi kita berpanas menunggu kat tepi lebuhraya tu sebab enjin  motor mati tiba-tiba…” Suami pula menambah disambut ketawa kecil kami  berdua.
POTENSI DAN UPAYASememangnya kenangan itu amat mencuit hati bila diimbas kembali. Sebutir pengalaman bermakna dari rantaian pengalaman dalam rumahtangga saya dan suami yang telah mencecah usia 12 tahun kini.
Hanya kepada ALLAH saya memanjatkan kesyukuran atas limpahan inayah-NYA yang tidak putus sepanjang saya bergelar isteri.
Pada  saya, sungguhpun alam perkahwinan itu diibaratkan mendaki gunung yang  tinggi, dengan langkah demi langkah penuh waspada untuk menawan puncak  menggapai awan, namun, potensi dan upaya untuk mencapai matlamat  tersebut hakikatnya dimiliki oleh semua pasangan suami isteri.
Tinggal  lagi, keyakinan pertama yang mesti dipasak iaitu ALLAH SWT tidak akan  mengubah nasib sesiapa, kecuali mereka sendiri perlu berusaha  mencoraknya. Firman-NYA : 
Maksudnya :  “Bagi manusia ada malaikat-malaikat yang selalu mengikutinya  bergiliran, di muka dan di belakangnya, mereka menjaganya atas perintah  Allah. Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga  mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila  Allah menghendaki keburukan terhadap sesuatu kaum, maka tak ada yang  dapat menolaknya; dan sekali-kali tak ada pelindung bagi mereka selain  DIA.” (Surah ar Ra’du ayat 11 )
Ingatlah,  bahagia itu tidak hanya ditemui di penghujung jalan, akan tetapi ia ada  di sepanjang perjalanan kehidupan. Kesediaan untuk saling menyokong,  bantu membantu dan bahu membahu perlu sentiasa disuburkan, bermula dari  meredah belukar dan belantara sebelum sampai ke kaki pergunungan,  memulakan pendakian sehingga sampai ke puncak impian.
ENGKAU TERBAIK UNTUKKUAkhirnya, sekalung cinta buatmu suami kerana terus mengakar sabar dalam mendidik, mengajar dan menunjuki isterimu ini jalan kebahagiaan berpaksikan kasih ILAHI.
Pada  tanggal bahagia ini, apa lagi yang dapat diucapkan selain kesyukuranku  yang tidak berpenghujung ke hadrat Yang Maha Kuasa atas kurniaan seorang  suami, sahabat dan teman sejati di dalam hidup ini.
Tiada  bicara seindah doa yang dapat dilafazkan. Munajatku pada Yang Maha Esa,  agar keutuhan ikatan ini tetap erat mengikat hati-hati kita untuk  seiring sejalan melakar bahagia hingga ke syurga-NYA.
Terima kasih atas segala pengertianmu…sungguh, engkau terbaik untukku!
Jumpa lagi, InsyaALLAH.
18:00

 Posted in:  
0 comments:
Post a Comment