Kalau ditanyakan kepada orang tua,  bilakah masanya dalam takah kehidupan ini mereka rasakan terlalu banyak  melakukan kesalahan dan kesilapan? Nescaya mereka menjawab, “semasa kami  masih muda.” Ya, bila seorang tua menoleh ke belakang, terasa begitu  banyak perkara yang sepatutnya dibuat semasa muda, tidak dibuat.  Sebaliknya banyak pula perkara yang tidak sepatut dibuat, telah dibuat.
Sayangnya, kebanyakan orang muda tidak  menyedari hakikat ini sehinggalah mereka  sendiri meningkat tua. Lalu  atas kealpaan itu mereka akan mengulangi kesalahan yang pernah dilakukan  oleh bapa, datuk dan moyang mereka pada zaman mudanya. Pendek kata,  ramai manusia lambat belajar di ‘universiti kehidupan’ ini. ‘Kurikulum’  pelajaran yang sepatutnya telah difahami di peringkat muda baru  difahaminya hanya apabila kita meningkat tua.
Alam adalah sebuah ‘universiti’ yang  luas dan besar. Setiap manusia adalah para pelajarnya. Dan manusia  terpaksa belajar berterusan. Hidup adalah satu siri pelajaran yang  tersusun rapi untuk difahami dan dihayati sepanjang hayat. Mungkin ini  juga termasuk dalam maksud “tuntutlah ilmu dari buaian hingga ke liang  lahad.”
Jika difahami, pelajaran-pelajaran ini  akan memberi panduan dan suluh kehidupan untuk hidup yang lebih tenang  dan bahagia. Tetapi sekiranya pelajaran ini gagal difahami, maka hidup  akan huru-hara dan kita akan selalu menghadapi keadaan yang tidak  menentu.
Kurikulum pelajaran ini pula tersusun  mengikut tahap usia dan tempoh kedewasaan seseorang. Justeru, di  peringkat muda ada ‘pelajaran-pelajaran’ tertentu yang perlu difahami  benar-benar sebelum menghadapi usia dewasa yang jauh lebih mencabar.  Apakah ‘pelajaran-pelajaran’ itu dan apakah cara sebaik-baiknya  mempelajarinya?
Itulah salah satu persoalan penting yang  mesti dijawab oleh setiap kita. Jangan sampai pelajaran yang sepatutnya  ‘selesai’ pada usia muda terpaksa dibawa ke peringkat tua. Kalau begitu  keadaannya maka rugilah. Samalah seperti pelajar universiti yang  terpaksa ‘refer’  atau ‘repeat’ akibat gagal dalam peperiksaan semester  atau tahunan mereka.
Para remaja adalah kelompok manusia yang  sedang melalui satu proses transisi. Mereka telah meninggalkan alam  kanak-kanak tetapi belum mencapai alam dewasa. Tahap transisi ini tidak  stabil. Umpama air (cecair) yang hendak bertukar menjadi wap (gas), maka  molekul-molekulnya terlebih dahulu bergerak dengan cepat dan tidak  menentu.
Keadaan itu samalah dengan remaja, pada  tahap itu jiwa, akal, nafsu, emosi dan lain-lain elemen-elemen dalaman  mereka sedang bergolak. Takah usia ini paling tidak stabil –  tercari-cari identiti diri, krisis pemikiran, ingin mencuba, perubahan  biologi dan macam-macam lagi.
Dan di tahap ini juga para remaja akan  menemui pelbagai situasi dan kondisi – suka dan duka, kejayaan dan  kegagalan, permusuhan dan kasih-sayang, sempadan dan teladan. Muncul  pelbagai individu dalam hidup mereka dengan pelbagai kelakuan dan sikap.  Terjadi bermacam-macam peristiwa dengan membawa pelbagai kesan.
Sesungguhnya semua itu tidak berlaku  sia-sia melainkan ada ‘pelajaran’ yang dibawanya untuk difahami dan  dihayati. Para remaja (malah orang tua sekalipun) mesti dapat membaca  ‘mesej’ yang dibawa oleh setiap peristiwa, individu dan keadaan yang  berlaku ke atas kita. Jika tidak, kita terpaksa mengulangi pelajaran itu  berkali-kali.
Sebab itulah dalam pengalaman kita,  sering  kita temui orang tertentu yang sentiasa berdepan dengan masalah  yang sama. Abu misalnya, akan sentiasa ‘pokai’ setiap pertengahan bulan  dan sentiasa merungut duitnya tidak cukup. Minah, sudah lima kali  ditinggalkan kekasih dan mengeluh tidak ada lelaki yang benar-benar  memahami perasaannya.  Joe pula, telah tujuh kali jatuh motor dan  marah-marah tentang nasib malang yang sedang menimpanya.
Anehnya mengapa Mat tidak mengalami  masalah ‘pokai’ seperti yang selalui dialami Abu. Bedah tidak seperti  Minah, dia telah pun bertunang dengan lelaki yang pertama dikenalinya?  Manakala Samad, cuma sekali sahaja jatuh motor dalam hidupnya dan  sekarang sedang selesa memandu Perodua yang baru dibelinya… Apakah yang  menyebabkan keadaan atau nasib mereka berbeza?
Bezanya ialah ada diantara para kita  yang cepat belajar dengan hidup sebaliknya ada di antara mereka yang  tidak pernah atau lambat belajar. Yang belajar, akan ‘naik kelas’ dan  layak untuk mengambil mata pelajaran baru yang lebih tingkat dan  martabatnya. Yang tidak belajar, terpaksa mengambil mata pelajaran yang  sama berkali-kali.
Abu, contoh kita tadi, tidak pernah  belajar bagaimana mengurangkan perbelanjaan berbanding pendapatan… dan  dia akan mengalami masalah yang sama walaupun kiranya nanti ia menjawat  jawatan yang tinggi dan bergaji besar. Manakala Minah, tidak cuba  mengenali kelemahan dirinya sendiri sebagai seorang wanita justeru dia  sering menemui lelaki yang tidak sepatutnya dia temui.
Jadi langkah pertama supaya kita ‘lulus’  dalam pelajaran hidup ialah  kita perlu akur bahawa setiap yang berlaku  di dalam kehidupan ada unsur pengajaran dan didikan buat kita. Setiap  peristiwa, pahit atau manis, setiap individu, baik atau buruk –  hakikatnya adalah ‘guru’ yang mengajar kita. Dan setiap guru itu  mengajar sesuatu yang baik, walaupun kadangkala kelihatan pahit, pedih  dan sakit kita menerimanya.
Untuk itu, apabila ditimpa sesuatu  musibah atau menerima sesuatu nikmat, hendaklah ditanyakan pada diri  sendiri, “apakah pelajaran yang di sebalik semua ini?” Pandanglah semua  yang berlaku ke atas kita ada tujuan yang tertentu, maka barulah hidup  kita sentiasa bertujuan. Kata ahli-ahli sufi, setiap yang berlaku dalam  hidup ialah ‘mehnah’ – maksudnya didikan terus dari Allah.
Mereka berpendapat bahawa apa sahaja  yang berlaku dalam hidup adalah ujian dan ujian itu hakikatnya adalah  didikan terus daripada Allah. Ahli sufi menambah lagi bahawa jika  manusia tidak mampu dididik melalui didikan terus dari Allah (mehnah)  maka manusia tersebut tidak akan dapat dididik lagi oleh sesiapaun.  Inilah yang ditegaskan oleh Ibnu Attoillah, seorang sufi yang terkenal  dalam buku-buku karangannya.
Jika seorang datang membuat kita marah,  maka dia adalah ‘guru’ yang hendak mengajar kita erti sabar. Jika kita  selalu ‘kesempitan’ wang maka itu tandanya kita harus bersedia belajar  erti berjimat cermat. Jika kita rasa kita sedang dikecewakan, itu  menunjukkan kita sedang belajar untuk membina sikap tidak terlalu  mengharap.
Begitulah seterusnya dalam apa jua  situasi dan masa, kita hakikatnya sedang belajar dan dididik. Memang  pada lahirnya, manusia, peristiwa dan kejadian yang sedang bertindak ke  atas kita tetapi sedarilah hakikatnya semua itu adalah datang dari  Allah. Semuanya berlaku dengan izin Allah, yang dengan itu DIA hendak  mendidik kita. Maka terimalah didikan itu dengan baik kerana tujuanNya  mendidik pun pasti baik.
Apakah sebenarnya yang menjadi ‘tujuan’  di sebalik ‘pelajaran-pelajaran’ yang datang  dan pergi dalam hidup  kita? Tujuan utama pelajaran dalam hidup ini adalah untuk mengubah kita  ke arah yang lebih. Perubahan tidak dapat dielakkan justeru   hidup ini  sendiri adalah satu proses perubahan yang berterusan.
Sudah menjadi sunatullah (peraturan  Allah) yang tidak berubah dalam hidup ini adalah perubahan itu sendiri.  Perubahan sentiasa berlaku dan ia diluar kawalan manusia. Kita akan  kalah jika kita tidak berubah. Jadi, berubahlah mengikut haluan dan  kawalan kita sendiri. Jika tidak, kita juga terpaksa berbuah, mengikut  kawalan orang lain atau keadaan sekeliling.
Manusia umpama nakhoda yang belayar di  lautan. Sebagai nakhoda kita punya arah dan destinasi tersendiri. Tetapi  tiupan angin, pukulan gelombang dan cuaca tidak selalunya menyebelahi  kita. Kekadang arah pelayaran kita ke utara tetapi angin bertiup ke  selatan. Kita akan tersasar dari destinasi jika menurut sahaja tiupan  angin.
Sebaliknya kita akan patah, jika  terus  berkeras menentang tiupannya. Jadi, apakah kita menjadi ‘Pak Turut’ yang  terpesong tanpa prinsip dan haluan? Atau bersikap keras, rigid dan  akhirnya patah kerana kedegilan melawan gelombang?
Sehubungan itu, bijak pandai pernah berkata,  “we can’t direct the wind but we can adjust our sail.”  Ertinya, walaupun kita tidak boleh menentukan takdir  yang menimpa  tetapi kita diberi kuasa oleh-Nya untuk mentadbir diri kita. Inilah  kelebihan manusia, sebagai khalifah.
Kita diamanahkan untuk mentadbir  pendengaran, sentuhan, penglihatan, penciuman, penglihatan, fikiran,  emosi, hati dan tindakan kita dalam lingkungan takdir-Nya. Oleh itu,  dengan segala kuasa dan kelebihan yang ada, kita perlu berubah mengikut  arah dan bentuk yang kita pilih dengan izin Allah jua.
Malangnya, ramai manusia yang tidak suka  berubah. Ada kita bersikap ‘selamba’ dan ‘relaks’ dengan apa sahaja  yang berlaku termasuk perubahan yang berlaku pada diri dan sekeliling  mereka. Mengapa? Sebab perubahan ertinya hijrah atau berpindah. Setiap  hijrah dan berpindah itu menagih kesusahan. Maksudnya, orang yang  berhijrah terpaksa meninggalkan zon keselesaan (comfort zone) untuk menuju zon cabaran (courage zone).
Misalnya, anak kecil yang hendak  berpindah dari tahap merangkak ke tahap berjalan, tentu terpaksa  bertatih-tatih, jatuh bangun, jatuh dan terpaksa mengalami calar-calar  dan sebagainya. Namun segala-galanya terpaksa dihadapi demi membolehkan  dia berjalan. Apa akan jadi kalau ada anak kecil yang terus selesa  merangkak dan tidak mahu belajar berjalan kerana takut cabaran? Tentulah  tidak ada perkembangan dalam hidup. Maka begitulah para kita, dengan  ujian mereka dituntut supaya berubah, jika tidak mereka tidak akan  mencapai tahap kematangan untuk berjaya dalam hidup!
Rengkasnya, pelajaran dalam hidup datang  bersama tuntutan perubahan. Jika sudah berkali-kali pelajaran  disampaikan, tetapi masih tidak ada perubahan, maka itu bermakna kita  gagal dalam peperikasaan di universiti kehidupan kita. Apa yang  menghalang kita berubah?
Salah satunya ialah keinginan untuk  melihat orang lain, keadaan atau peristiwa di luar diri kita terlebih  dahulu berubah. “Aku boleh jadi baik, jika guru dan ibu-bapaku melayanku  dengan baik,” begitu selalu yang kita dengar. “Kedudukan kewanganku  boleh stabil, jika pendapatanku bertambah,” kata sesetengah yang lain.  “Jikalau aku mengenali seorang lelaki yang beriman, aku akan menjadi  isteri yang solehah.” “Kalau motorku dari jenis yang mahal, tentu aku  tidak terlibat dengan accident lagi!”
Begitulah suara-suara kelohan dan  harapan yang selalu diluahkan oleh hati kita. Semuanya, mengharapkan  keadaan, individu lain dan peristiwa berubah – barulah kita mahu dan  mampu berubah. Sedangkan hukum perubahan tidaklah begitu. Kita mesti  berubah dulu, barulah keadaan, peristiwa dan individu lain berubah  akibat perubahan kita.
Guru dan ibu-bapa akan melayan kita  dengan baik, jika kita terlebih dahulu berusaha menjadi anak atau murid  yang baik. Anda berjimat cermat dahulu, barulah kedudukan kewangan anda  akan stabil. Anda jadi wanita solehah dahulu, barulah akan ada lelaki  beriman yang akan melamar anda. Dan anda perlu baiki dan memandu motor  ‘buruk’ anda dengan baik barulah anda tidak terlibat dengan ‘accident’  dan akhirnya layak untuk mendapat motor baru yang mahal harganya!
Ingat, setiap kali sesuatu menimpa kita,  sama ada baik atau buruk… itu adalah pelajaran yang menuntut perubahan.  Maka ubahlah diri kita selalu, ke arah yang baik, lebih baik dan  cemerlang. Setiap detik, setiap ketika, ada sahaja peristiwa yang akan  kita hadapi… maka belajarlah secara berterusan, dan berubahlah secara  berterusan… Nanti kita akan mencapai kebaikan secara berterusan pula.
Jangan sekali-kali menangguhkan  pelajaran, nanti anda akan menangguhkan perubahan dan akhirnya  menangguhkan datangnya kebaikan. Belajarlah di universiti kehidupan  semasa masih ada masa lagi, supaya kita tidak diburu penyesalan apabila  tempoh pengajian tamat (mati).
Kata pepatah, “belajar sewaktu muda  bagai melukis di atas batu, belajar sewaktu tua bagai melukis di atas  air.” Teringat kata Dale Carnargie, “jangan gergaji abuk kayu!” Dan  itulah nasib orang tua yang tidak belajar semasa mudanya!
Buat diri ku dan diri mu, kuaklah tirai  hari ini dan ingatkan diri… aku adalah pelajar di universiti kehidupan  ini. Hari ini Allah pasti mengajar ku melalui perlakuan-perlakuan  manusia lain kepada ku.  Dan aku mesti belajar dengan orang lain,  kejadian, peristiwa itu – pahit atau manis.
Jika manis, Allah mengajarku erti  syukur. Jika pahit, Allah mengajar ku erti sabar. Jika dikecewakan, aku  sedang belajar hakikat tawakal. Bila cemas, Allah mengajar ku erti raja’  (mengharap). Jika sedikit, Allah mengajar ku erti qanaah  (berpada-pada). Ya Allah, lepaskan hati kami dari asbab-asbab ini, agar  kami bebas dan tenang berpaut pada ‘musabbabil asbab’ (Penyebab segala  sebab) – wajah MU ya Allah.
Pujuklah hati, katakan, didikan ini demi cinta-Nya jua.
p/s Nota Hati:
Sahabat-sahabat ku, maafkan kerana  kekadang malah sering, aku gagal mengemudi arus perubahan dalam  kehidupan ku. Bertugas di dua tempat dan dalam dua bidang berbeza ada  kalanya sangat menguji aku. Begitu juga dengan anak-anak yang sudah  dewasa – persahabatan dengan mereka menyebabkan aku sering tergelincir  dalam mengendalikan masa. Betapa pemikiran dan perlakuan mereka yang  perlu dipantau, diperbetulkan dan diluruskan dengan berhati-hati…  selalu! 
 
Semua itu memaksa aku ‘meninggalkan’  seketika tugas ku dengan masyarakat. Ayat Quran, “selamatkanlah diri  dan ahli keluarga mu daripada api neraka,” sering mengingatkan aku (dan  kita semua) betapa keluarga adalah benteng terakhir untuk menghadapi  arus jahiliah kali kedua ini. Aku sering mengingatkan diri sendiri, aku  akan ditanya Allah tentang ‘ini’ lebih daripada tentang ‘itu’. 
 
Juga kesihatan yang sering menguji,  memaksa aku cuba bersantai-santai dengan hidup. Mengatur jadual makan  dan berjalan kaki pada awal pagi seolah-olah tidak ada kerja yang  menggamit dan menanti. Sering kali aku mengendurkan keghairahan menulis  walaupun digoda oleh tujahan idea yang mencurah-curah, agar aku tidak  lelah menatap skrin lap top berjam-jam seperti yang selalu aku lazimi  sejak dulu.
 
Namun, membaca respons pembaca di  Gentarasa.com menyebabkan aku terbangun kembali. Malah ada kalanya aku  menangis. Ya Allah, begitu lemahnya aku, masih Kau izinkan beberapa  kerat manusia untuk terus setia berkongsi resah, masalah dan suka duka  hidup mereka dengan aku yang kerdil dan berdosa ini. Lalu genta rasa ku,  terus berbisik, bangunlah… menulislah, walau terpaksa jatuh bertongkat  dagu. Kata azimatnya, patah sayap terbanglah jua!
 
Kiranya, ada sisa ingatan dan masa,  hulurkanlah doa kalian. Nafas tulisanku berada di pinggir bibir dan hati  doa kalian. Aku sedang mendidik dan terus mendidik hati dan nafsu yang  masih liar ini. Marilah kita lalui titian mehnah Ilahi ini… kalah tetapi  tidak mengalah.
 
Antara aku dan kalian, ada talian  yang menyambung hayat iman kita kepadaNya. Semoga gentarasa ini akan  terus bergema selagi talian itu terus teguh dan kukuh disepuh doa-doa  sesama kita! Sumber