Friday, 25 February 2011

HARGAI PERJALANAN ANDA

























Orang yang benar-benar berjaya jarang ditimpa  apa yang disebut dalam pepatah, ‘Yang dikejar
tidak dapat, yang dikendong berciciran.’









Orang beruntung ada dua golongan.





Golongan pertama mendapat apa yang dikejar dan sangat menghargai apa
yang dikendongnya. Golongan ini memang beruntung lagi bertuah.





Golongan kedua pula tidak sempat meraih apa yang dikejar. Namun mereka
tetap berbahagia sebab mereka menghargai dan memaksimumkan perkara yang sedia mereka miliki
dalam kehidupan mereka sehari-hari.





Orang yang benar-benar berjaya sebenarnya tidak terlalu fokus kepada
pencapaian. Mereka melalui perjalanan yang senang dan sukar dengan penuh sedar.
Mereka menikmati dan menghargai apa-apa yang mereka temui sepanjang perjalanan
itu. Tidak kira sejauh mana lagi mereka akan sampai, mereka tetap tahu, setiap
langkah diganjari pahala, dan setiap susah menghapuskan dosa.





Yang penting bagi mereka ialah lakukan sesuatu perkara dengan sebaiknya,
sebab Tuhan suka kepada orang yang tekun dan berbuat sehabis baik.





Apabila anda naik keretapi, baca dan hayatilah doa naik kenderaan,
kemudian duduklah dengan tenang. 




Credit: Free images from acobox.com


Nikmati pemandangan di luar sana yang penuh dengan keindahan. 




Bukit
bukau dan hutan yang sejuk menghijau, tasik yang tenang, sungai yang mengalir,
dan rumput-lalang yang meliuk  lintuk ditiup angin lalu.





Beramah mesralah dengan penumpang di sekeliling anda.  Sebarkan salam dan
senyuman. Berilah pertolongan dan jangan lupa menghargai sebarang bentuk bantuan yang dihulurkan. 




Barangkali juga anda boleh belajar sesuatu daripada seseorang yang anda
temui.





Nikmati sembahyang yang khusyu’ ketika bermusafir. Berdoalah dengan
tekun dan penuh harapan, sebab doa seorang musafir itu mudah dikabulkan.





Sekiranya anda terlalu fokus pada destinasi, asyik melihat jam, dan
rimas resah di tempat duduk, tidak mahu tulus bertegur sapa dan berkenalan, pasti anda kehilangan banyak perkara indah dan penting di sepanjang
perjalanan.





Anda sendiri pun tidak tahu, barangkali itulah perjalanan terakhir anda.





Dan anda mungkin tidak sempat sampai pun ke destinasi.







اللهم أعني على ذكرك وشكرك وحسن عبادتك

0 comments:

Post a Comment

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Powerade Coupons