Thursday, 14 April 2011

MENGAJI SURAH AL-GHASYIYAH


ANTARA PENGAJARAN  SURAH AL-GHASYIYAH













Gambar Hiasan. Credit: Free photos from acobox.com




 



   - Kiamat adalah hari yang ditakuti oleh semua orang. Para nabi dan rasul, orang
yang yakin kepada Allah dan patuh kepada perintahNya, apatah lagi orang melanggar perintahNya.




   - Nama surah ini ialah al-Ghaasyiyah,
yang bermaksud hari kiamat yang menyelubungi manusia dengan ketakutan, ataupun hari kiamat yang mengerikan.


   

    -Orang-orang yang yakin kepada Allah dan patuh kepada perintahNya dijanjikan mendapat syurga dan nikmat yang ada di dalamnya. Antara nikmat itu ialah, di dalam syurga tiada kata-kata sia-sia yang menyesakkan jiwa.




-Orang-orang yang tidak percaya kepada Allah dijanjikan mendapat balasan neraka dan siksaan yang ada di
dalamnya. Makanan dan minuman tidak menghilangkan lapar dan dahaga, tetapi menambahkan siksa.




-Perkara yang menyebabkan
seorang manusia itu dibakar oleh api neraka ialah amalan yang dia usahakan
sendiri.




-Allah menyuruh kita memerhatikan ciptaannya. Apabila merenung
ciptaan Allah, fikirlah tentang sekurang-kurangnya 3 perkara :





a.       Tentang Pencipta




Siapakah yang mencipta unta, haiwan tahan lasak, tegar meredah
perjalanan jauh merentasi gurun tandus? Begitu juga langit indah yang memayungi di sepanjang perjalanan, bukit tegap yang menjadi tempat berteduh, dan hamparan bumi tetap dan rata, memudahkan kita
berjalan ke mana-mana?








Credit: Free photos from acobox.com








b.      Tentang kita yang dicipta




Bukankah kita di kelilingi oleh ciptaan-ciptaan Tuhan? Bukankah kita adalah salah satu jenis
ciptaanNya, yang Dia izinkan hidup menikmati ciptaan-ciptaanNya yang lain?





c.       Tentang kesudahan ciptaanNya




Di mana berakhirnya sang unta yang tahan lasak itu, sang langit yang memayungi, sang gunung yang tinggi, sang bumi yang menghampari?



Di mana berakhirnya sang 'diri' yang memerhati?



Kita milik Allah, dan kepadanya kita akan kembali. Membawa bekal, jikalau berbekal.




- Kita sudah mempelajari sebuah hadith yang memberi pengajaran, bahawa dunia ini dapat kekal kerana
adanya ilmu dan agama Allah. Hadith ini, Imam Bukhari letakkannya dalam bab
‘Hilangnya Ilmu (Agama) Dan Berleluasanya Kejahilan,' iaitu hadith yang
diriwayatkan daripada  Anas ra.


باب رَفْعِ الْعِلْمِ
وَظُهُورِ الْجَهْلِ


 


وَقَالَ رَبِيعَةُ لاَ يَنْبَغِي
لأَحَدٍ عِنْدَهُ شَىْءٌ مِنَ الْعِلْمِ أَنْ يُضَيِّعَ نَفْسَهُ‏.‏ 





 80 ـ حَدَّثَنَا عِمْرَانُ بْنُ مَيْسَرَةَ، قَالَ حَدَّثَنَا
عَبْدُ الْوَارِثِ، عَنْ أَبِي التَّيَّاحِ، عَنْ أَنَسٍ، قَالَ قَالَ رَسُولُ
اللَّهِ صلى الله عليه وسلم ‏:







"‏ إِنَّ مِنْ أَشْرَاطِ السَّاعَةِ أَنْ
يُرْفَعَ الْعِلْمُ، وَيَثْبُتَ الْجَهْلُ، وَيُشْرَبَ الْخَمْرُ، وَيَظْهَرَ
الزِّنَا ‏"‏‏.‏






Dengan adanya majlis ilmu berterusan, ilmu masih belum 'diangkat', perkara-perkara maksiat
tidak terus berleluasa, dan kerja-kerja mengajak ke arah kebaikan dan
mencegah perbuatan jahat yang merosakkan, akan terus hidup dalam sesebuah
masyarakat.




- Baik menjadi orang yang patuh kepada Allah, ataupun menjadi orang yang melanggar perintah Allah, manusia tetap perlu bersusah payah. Fitrah kehidupan manusia, tahap, demi tahap usia, semuanya mesti dilalui dengan payah. Sejak dari sekecil bayi, menangis kerana lapar dan dahaga. Kemudian susah menghadapi dilema usia remaja. Sehinggalah susah mencari rezeki menyara keluarga, dan susah lagi memilih menantu dan menghadapi usia tua.





Begitu sudah kita ambil pengajaran daripada ayat 4 Surah al-Balad dalam pelajaran yang lalu :











{لَقَدْ خَلَقْنَا الْإِنْسَانَ فِي كَبَدٍ (4)}



Sesungguhnya Kami telah jadikan manusia sentiasa dalam keadaan menghadapi kesulitan dan kesukaran (jasmani dan rohaninya); (4)



Hendak menjadi seorang guru, perlu bersusah payah belajar dan menuntut ilmu. Sesudah menjadi guru, perlu lagi bersusah payah menghadapi pelbagai kerenah murid. Penjenayah lebih bersusah payah merancang rancangan jahat mereka, kemudian bersusah payah lagi mengelakkan diri daripada ditangkap dan dihukum. Bercakap benar ada risikonya, bercakap bohong lagi besar risikonya. Pilihlah jalan kita sendiri, dan bersedialah untuk bertanggungjawab di atas setiap pilihan yang kita lakukan. Sebab Tuhan sudah katakan kepada kita, juga lewat surah al-Balad :



















{وَهَدَيْنَاهُ
النَّجْدَيْنِ (10
)}




Maksudnya : "Dan (bukankah) Kami telah menunjukkan kepadanya dua jalan, 


(jalan kebaikan untuk dijalaninya, dan jalan kejahatan untuk dijauhi)."



- Lebih baik kita bersusah payah menjadi manusia yang taat kepada Allah. Nabi Muhammad memberitahu kita, syurga dikelilingi
ataupun dilitupi oleh perkara-perkara yang tidak disukai nafsu, sedangkan
neraka dikelilingi oleh perkara-perkara yang disukai nafsu. Itu petandanya kita memang perlu bersusah payah hendak mengatasi nafsu, hendak mengotakan kata. Iman itu yakin di dalam hati, disebut dengan lidah, dan dijelmakan dalam bentuk praktikal. Barulah orang beriman boleh menjadi contoh kepada mereka yang tidak beriman.










- Hidup bukan umpama berjalan di tanah rata, diiringi pemandangan indah sepanjang masa.



Hidup, adakalanya perlu mendaki, meredah dan merenangi dengan payah. Yang menjadi ujian itu adakalanya harta benda sendiri, baik kerana sedikit, mahupun kerana banyak. Adakalanya yang menjadi ujian itu rakan sejawat, suami yang disayangi, ataupun isteri yang dicintai, ataupun anak yang ditatang semenjak kecil. Kerana adanya usaha
semasa di dunia, maka dalam ayat ke- 9 surah ini, Allah nyatakan bahawa
orang-orang soleh memiliki wajah yang berseri-seri pada hari kiamat kerana :










{لِسَعْيِهَا رَاضِيَةٌ 9)}






                 Maksudnya
: Merasa senang kerana usahanya (sendiri)






- Nabi Muhammad saw
ditugaskan supaya menyampaikan, bukan memaksa manusia supaya beriman dan beramal
saleh. Namun begitu, orang-orang beriman tertakluk dengan hukum hakam yang
Allah tentukan kepada mereka. Orang yang benar-benar beriman yakin
undang-undang ataupun hukum yang Allah tentukan itu sangat baik buat mereka,
ada faedahnya bagi mereka, di dunia dan di akhirat sana.












{فَذَكِّرْ إِنَّمَا أَنْتَ مُذَكِّرٌ (21)}






Maksudnya : Maka berilah peringatan, kerana sesungguhnya engkau (Muhammad) hanyalah pemberi peringatan.









- Begitulah juga keadaannya mereka yang menyambung tugas Nabi Muhammad saw, mengingatkan manusia dengan peringatan-peringatan yang pasti. Ayat 21 surah al-Ghasyiyah menjadi penawar ketika mencari gagahnya diri seorang da'i.



Kata Hamka, "Berilah peringatan kepada mereka, dan jangan lekas jengkel atau kecil hati jikalau peringatan itu belum segera berhasil.



Ini adalah laksana petani yang mencangkul tanah luas untuk ditanami. Lalu dia mulai mencangkul.



Tiba-tiba tengah mencangkul itu patah semangatnya, setelah dilihatnya tanah yang akan digarapnya itu masih sangat luas, entah bila akan selesai..."





- Antara perkara yang membimbangkan
orang-orang yang beriman ialah hadith nabi yang menceritakan bagaimana perjalanan manusia merentasi lubang neraka yang
sangat luas dan dalam. Ada yang mengikut sembahan mereka semasa di dunia, lalu berjatuhan ke dalamnya. Dari dalam neraka itu ada pula cangkuk-cangkuk yang bersedia mengait manusia yang sedang meniti. Ada manusia yang selamat, ada manusia yang tercangkuk lalu
menjadi hancur lumat dagingnya, dan pelbagai lagi keadaan, semuanya mengikut
kadar dosa yang dilakukan semasa di dunia.




- Orang beriman sentiasa meminta ampun, tidak berasa selamat daripada azab Allah, sebab tiada seorang pun yang terpelihara daripada dosa, melainkan para
rasul. Merekalah yang dapat bersuara ketika manusia meniti jambatan kelak, itupun hanya ucapan, "Ya Allah, selamatkanlah, selamatkanlah."




- Apabila Allah sudah selesai
menghukum dan membalas semua manusia yang bersalah, akan tiba masanya Allah
menyuruh malaikat mengeluarkan orang-orang yang ada iman dalam hati mereka,
keluar daripada neraka. Malaikat dapat mengenali mereka melalui tanda sujud
yang ada pada mereka. Daripada hadith yang telah kita baca, kita dapat memahami bahawa
syarat untuk keluar daripada neraka ialah :





i.                    
Tidak mensyirikkan Allah


ii.                  
Mengerjakan sembahyang dengan betul










- Orang beriman selalu memperbaiki amalan dari hari ke hari. Yang disuruh dipatuhi sebaiknya-baiknya, dan yang dilarang dielakkan sedaya mungkin.  Baik
dari segi sembahyang, menutup aurat,  menjaga hak dan kehormatan orang lain, begitu juga amalan hati dan
amalan mulut. Hindari prasangka, hasad dengki, namimah, mengumpat dan
sebagainya, sebab sebahagian besar amalan itu adalah dosa-dosa besar. Jadilah orang yang baik, dan bantulah orang lain menjadi baik. Adakalanya orang menjadi tidak elok sebab cara dan keputusan kita yang tidak membantu mereka.




- Sementara kita menunggu
hari perhitungan amalan, (jika kita tidak menunggunya, ia tetap menunggu kita) ada baiknya kita menghitung congak amalan hati dan
amalan anggota diri kita sendiri.




- Alat pengukur bagi menghitung diri
tidak dapat lari daripada dua perkara juga, iaitu :




a. Iman



b. Ilmu. 



Bagaimana kita hendak beramal tanpa ilmu. Bagaimana hendak mendahulukan perkara penting, jikalau tidak tahu mana yang penting, mana yang kurang penting. Tanpa ilmu, boleh jadi kita membenarkan perkara yang dilarang, ataupun melarang perkara yang dibenarkan. Tanpa ilmu, kita boleh jadi menghabiskan masa, wang dan tenaga dalam perkara yang sia-sia.




- Sentiasa kita memohon
kepada Allah, moga kita ini dimudahkan untuk taat kepadaNya, sebagaimana doa
yang diajarkan oleh nabi kita Muhammad saw :





"اللَّهُمَّ
أَعِنِّي عَلَى ذِكْرِكَ وَشُكْرِكَ وَحُسْنِ عِبَادَتِكَ"



Maksudnya : Ya
Allah, bantulah daku bagi mengingatiMu, mensyukuri nikmatMu


dan menghambakan
diri kepadaMu dengan sebaik-baiknya.









- Elok dibaca selalu doa dalam sembahyang, iaitu selepas bacaan tahiyyat akhir, sebelum salam, yang juga diajarkan oleh Nabi Muhammad saw iaitu :









اللَّهُمَّ
إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ فِتْنَةِ
الْمَسِيحِ الدَّجَّالِ،


وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ فِتْنَةِ الْمَحْيَا وَفِتْنَةِ
الْمَمَاتِ، اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنَ الْمَأْثَمِ وَالْمَغْرَمِ





Maksudnya :

Ya Allah, aku memohon perlindunganMu daripada siksaan kubur, 


aku mohon perlindunganMu daripada  ujian berat Dajjal yang buta sebelah mata,


aku mohon perlindunganMu daripada ujian berat dalam hidup dan selepas mati, 


Ya Allah, aku mohon perlindunganMu daripada dosa serta hutang.







- Kita tutup pengajian Surah
al-Ghasyiyah, sejak daripada membetulkan bacaannya, memerhatikan tajwidnya, sehinggalah mengambil pengajaran daripada ayat-ayatnya dalam minggu-minggu yang lalu, dengan sama-sama membaca penghulu istighfar, iaitu
doa memohon ampun yang paling utama, yang diajarkan oleh Nabi Muhammad saw
kepada kita, dianjurkan kepada kita membacanya setiap pagi dan setiap petang.











اللَّهُمَّ
أَنْتَ رَبِّي، لَا إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ، خَلَقْتَنِي وَأَنَا عَبْدُكَ،


وَأَنَا
عَلَى عَهْدِكَ وَوَعْدِكَ مَا اسْتَطَعْتُ،


أَعُوذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا
صَنَعْتُ، أَبُوءُ لَكَ بِنِعْمَتِكَ عَلَيَّ،


وَأَبُوءُ لَكَ بِذَنْبِي فَاغْفِرْ
لِي فَإِنَّهُ لَا يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلَّا أَنْتَ






Ya Allah, Engkaulah Tuhanku, tiada
Tuhan yang disembah melainkanMu, 


Engkau menjadikan daku, dan aku ini
hanya hambaMu,


aku, sedaya upayaku cuba mematuhi
titah perintahMu,


kumohon perlindunganMu daripada
keburukan perbuatanku sendiri


kuakui akan banyaknya nikmatMu
untukku,


dan kuakui pula akan banyaknya dosaku,


oleh itu, (wahai Tuhanku), ampunkanlah
dosaku,


sungguh, tiada siapa lagi yang dapat
mengampunkan dosa-dosa,


melainkanMu.

0 comments:

Post a Comment

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Powerade Coupons