Percayalah, orang yang cemerlang ialah orang yang ceria. Dia melaksaanakan apa jua aktiviti hidupnya dengan rasa gembira. Sama ada aktiviti yang berkait dengan Allah (habluminallah), mahupun aktiviti yang berkait dengan manusia (habluminannas), semuanya dibuat dengan gembira .
Ceria yang dimaksudkan di sini bukanlah  terkinja-kinja atau tertawa terbahak-bahak, tetapi rasa senang, tenang,  rasa bebas dan lapang di dalam hati.
Tidak percaya? Cuba imbau kembali hasil  kerja kita yang dirasakan paling berkualiti, sama ada  tulisan, masakan,  lukisan, persembahan atau apa sahaja… Ingat semula bagaimana hati kita  sewaktu menghasilkannya. Insya-Allah, pada waktu itu mesti hati kita  dalam keadaan ceria. Mustahil kita dapat menghasilkan satu kerja yang  baik sewaktu dilanda perasaan sedih, benci ataupun marah.
Aliran kegembiraan akan mengukir mutu  yang tinggi pada hasil pekerjaan kita. Itulah yang dimaksudkan ‘air  tangan’ dalam pekerjaan kita. Air tangan itu hakikatnya adalah aliran  keceriaan yang mengalir daripada diri kepada pekerjaan kita. Bukan  sahaja kerja malah wajah kita juga diukir oleh kegembiraan itu. Kata  bijak pandai, “jika hati baik, wajah akan sentiasa cantik.” Salah satu  ciri hati yang baik, adalah ceria!
Kata pakar-pakar psikologi dan motivasi,  sepuluh minit terawal sebaik sahaja bangun daripada tidur akan  menentukan kecemerlangan kita pada hari tersebut. Jangan hendaknya  fikiran, perasaan dan hati kita dicemari oleh sesuatu yang buruk, jahat  dan kotor. Saranan mereka, senyum, cakap yang baik-baik, rasa yang  indah-indah, sebaik sahaja bangun daripada tidur.
Sebagai seorang Islam, kita seharusnya  tidak ada masalah untuk merasa ceria sebaik sahaja bangun daripada  tidur. Caranya?  Hitung kesyukuran, jangan hitung kesukaran. Islam  hakikatnya sudah lama mendidik umatnya agar melihat sisi yang baik-baik,  indah-indah dan cantik-cantik sebaik sahaja bangun daripada tidur.  Justeru, kita dianjurkan untuk melafazkan doa kesyukuran ini sebaik  sahaja bangun daripada tidur: “Segala puji bagi Allah yang telah menghidupkan kami selepas kematian kami dan kepadaNyalah kami akan dihimpunkan.” 
Ya, pertama dan utama, kita mesti  bersyukur atas nikmat hidup yang masih dikurniakan Allah.  Cuba  kenangkan betapa ramai orang yang pada malam sebelumnya tidur, kemudian  tidak bangun-bangun lagi pada hari esoknya kerana telah ‘dijemput’  kematian. Tidur disifatkan oleh para hukama sebagai separuh daripada  kematian. Jadi apabila kita diizinkan untuk hidup pada pagi hari,  ertinya ‘separuh daripada kematian’ telah diangkat kembali oleh Allah  daripada diri kita… Lalu bersyukurlah kerana kita telah hidup semula  dengan sepenuhnya!
Ukirlah senyuman dan berilah salam kepada  orang yang pertama anda temui pada awal setiap pagi. Mungkin orang itu  ialah ibu, bapa, suami, isteri atau anak-anak kita. Juga fikirkan yang  baik-baik dan bayangkan yang cantik-cantik. Mintalah perlindungan  daripada rasa dukacita, takut, malas dan pengecut seperti doa yang  diajarkan oleh Rasulullah SAW ini: 
“Ya Allah ya Tuhan kami, sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu daripada keluh kesah dan dukacita, aku berlindung kepada-Mu dari lemah kemahuan dan malas, aku berlindung kepada-Mu daripada sifat penakut dan kedekut, aku berlindung kepada-Mu daripada tekanan hutang dan kezaliman manusia
Untuk itu lihat apa yang ada, jangan  dikenang apa yang tiada. Hitung satu persatu ‘kelebihan’ yang sedang  kita miliki dan nikmati, insya-Allah kita akan tersentak kerana pasti  tidak dapat menghitungnya. Firman Allah: 
“Jika kamu menghitung nikmat Allah, nescaya kamu tidak akan terhitungnya.”
Ya, tidak dinafikan kita punya masalah,  kesedihan, kesakitan, kegagalan… namun itu tidak menghalang kita untuk  terus bersyukur. Kelebihan pastinya mengatasi kekurangan. Kesenangan  tentunya melebihi kesukaran. Malah di dalam kesukaran itu pun masih ada  kesenangan. Itu sudah sunahtullah (peraturan Allah). Itulah yang  dijanjikan Allah. Firman Allah:
”Sesungguhnya pada kesukaran itu ada kelapangan.”
Namun, mengapa dalam realitinya,  dirasakan berbeza? Semua ini gara-gara tersalah memandang hidup. Ingat  selalu, yang penting bukan apa yang kita pandang tetapi bagaimana cara  kita memandangnya.  Apa yang berlaku di dalam diri kita lebih penting  daripada apa yang berlaku di luar diri kita.   
Pemikiran dan perasaan  kita yang negatif menyebabkan kita hanya fokus kepada negatif sekalipun  yang negatif itu cuma sekelumit.
Jangan jadi lalat yang mencari dan  hinggap hanya pada tempat-tempat yang kotor dan busuk walaupun masih  banyak tempat yang bersih dan wangi. Tetapi jadilah lebah yang mencari  dan hinggap di tempat yang cantik dan harum. Jadi pandanglah hidup  dengan penuh rahmat, nikmat dan indah sejak awal pagi lagi… Insya-Allah,  apa yang kita lihat, itulah yang akan kita dapat!
20:10

 Posted in:  
0 comments:
Post a Comment