Masih teringat ketika masih kanak-kanak di kampung dahulu. Apabila hujan lebat, kita begitu seronok bermain air. Tidak kira di tepi sungai atau berhampiran tali air. Kita ketawa, gembira dan terjerit-jerit dengan kawan-kawan.
Tetapi tidak lama… ibu akan datang dengan  ranting kayu menyuruh kita pulang. Kalau tetap berdegil, kita akan  menerima habuan. Apalagi, kita pun menangis. Sewaktu itu kita  tertanya-tanya, mengapa ibu menghalang kita berseronok-seronok?
Kini kita telah dewasa, kenangan itu  masih basah dalam ingatan. Kita tersenyum. Kenangan itu adalah bukti  kasih sayang ibu. Sekarang kita faham, ibu melarang kerana kasih. Ibu  merotan kerana sayang. Bukan kerana ibu cemburu, jauh sekali benci  apatah lagi untuk mendera. Ibu nampak apa yang kita tidak Nampak. Kita  hanya memikirkan suka, ibu memikirkan bahaya. Ya, kerana keprihatinan  ibu menjaga kita sewaktu kecil itulah menyebabkan kita masih di sini.
Begitulah dengan ujian-ujian Allah. Ia  begitu perit, pahit dan menyakitkan. Kita inginkan kejayaan, Allah  berikan kegagalan. Kita inginkan pertemuan, Allah takdirkan perpisahan.  Manis yang kita impikan, pahit yang menjadi kenyataan. Mengapa?  Jawabnya, itu adalah yang terbaik untuk kita. Ujian Allah umpama ‘rotan  ibu’ kepada anaknya yang degil. Ibu merotan kesah kasih sayang, Allah  lebih-lebih lagi…kerana kasih sayang Allah jauh lebih tinggi, lebih  murni daripada kasih seorang ibu terhadap anaknya.
Sayangnya, kita hamba yang ‘buta’. Kita  tidak nampak di sebalik segala keperitan dan kesakitan ujian Allah itu  adalah kasih sayang jua. Dahulu kita adalah anak kecil yang tidak  memahami di sebalik larangan dan kemarahan ibu. Kini kita adalah hamba  yang jahil kerana gagal memahami dan merasai kasih-sayang Allah di  sebalik segala ujianNya. Dahulu kita menangis, apabila dipukul ibu. Kini  kita ‘memberontak’ dan bertanya, mengapa Tuhan takdirkan kesusahan dan  kepedihan ini ke atas diriku?
Mengapa kita belum dewasa menghadapi  ujian Allah? Kenapa kita belum mampu tersenyum seperti seorang anak yang  telah dewasa sewaktu mengenang kembali memori silam sewaktu dia dipukul  ibunya? Kita seharusnya mampu ‘tersenyum’ ketika dipukul oleh  takdirNya. Atau sekurang-kurangnya tunduk akur, menyerah dan pasrah pada  ketentuan-Nya. Katakan pada hati, “Ya Allah, aku layak diuji. Aku hanya  hambaMu. Di sebalik ujian ini aku yakin ada kebaikannya. Cuma kerana  kelemahan dan kejahilanku… aku belum nampak wahai Tuhan. Namun aku tetap  yakin di sebalik semua ini tetap ada kasih sayangMu.”
Marilah kita teladani Nabi Muhammad saw  apabila ditimpa ujian, baginda sering berkata, “aku hamba Allah, Allah  tidak akan mengecewakanku.” Ini kerana baginda yakin bahawa pada setiap  ujian Allah terselit hikmah yang pasti memberi kebaikan, lambat atau  cepat, tersurat atau tersirat. Justeru, orang yang ‘arifbilllah’  (mengenal Allah) seperti Ibnu Ataillah pernah berkata, “Barang siapa  yang menyangka sifat kasih sayang Allah terpisah dalam takdir-Nya, maka  itu adalah kerana pendeknya penglihatan akal dan mata hati seseorang.”   Maksudnya, seberat mana pun ujian yang Allah timpakan, pasti ada kasih  sayang yang mendasari dan mengiringi  ujian tersebut. Namun, akal yang  matang berfikir dan hati yang tenang berzikir sahaja dapat merasai  hikmah di sebalik setiap mehnah.
Telitilah firman Allah ini, Al-Baqarah  Ayat 216 : 
“Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.”
Ilmu kita  yang terbatas, tidak akan dapat menjangkau ilmu Allah yang Maha luas.  Kita hanya nampak yang dekat, Allah nampak yang dekat dan yang jauh.  Kita hanya nampak guruh dan hujan, rupanya Allah hendak menghadiahkan  pelangi!
Alangkah indahnya kehidupan ini apabila  kita sentiasa berbaik sangka dengan Allah dengan menerima segala  ujiannya dengan sabar. Pahit, tidak cepat diluah. Pedih, tidak segera  disanggah. Anak yang dewasa akan tersenyum dan berterima kasih dengan  ketegasan ibu terhadapnya sewaktu dia masih kecil. Mujur ibuku memarahi  ku dahulu, jika tidak… kini aku tidak berjaya. Syukur, ibuku telah  merotanku sewaktu aku kecil dahulu, itulah yang menyebabkan aku menjadi  ‘manusia.’
Syukur kepada Allah yang mengurniakan ibu  untuk kita. Semakin tinggi rasa terima kasih kita kepada ibu,  sewajarnya semakin tinggi pula syukur kita kepada Allah. Tanpa ibu,  siapalah kita… namun tanpa kasih sayang Allah, tiada ibu, tiada kita.  Antara nikmat Allah yang tidak boleh kita dustakan ialah nikmat ibu.  Namun, lebih tinggi sepatutnya kesyukuran kita kepada Allah… yang telah  mendidik kita dengan ujian-ujianNya.  Yang sering menjentik kita dengan  kasihNya.
Dengan jentikan (ujian) itulah iman dan  Islam kita dewasa. Dengan mehnah itulah kita mendapat hikmah. Dan dengan  hikmah itulah kita menagih syurga!
Sumber : Gentarasa 
21:31

 Posted in:  
0 comments:
Post a Comment