Soalan :
Seorang Kristian di negara Barat telah memeluk Islam dalam satu majlis. Beliau mengucapkan dua kalimah syahadah, tetapi selepas itu menambah (diajarkan kepadanya agar menambah sebutan) iaitu 'Dan 'Isa itu hamba-Nya serta pesuruhNya.'
Persoalannya, bolehkah dua kalimah syahadah ditambah begitu?
Jawapan :
Alhamdulillah.
Islam berkembang baik, di Timur, mahupun di Barat. Dalam banyak keadaan, umat Islam di sana berdakwah lebih baik daripada kita, dengan persediaan ilmu dan peralatan yang cukup, antara lain kerana mereka memahami tingginya nilai akidah yang benar, masyarakat mereka rencam dan mereka telah terbiasa dengan budaya ilmu.
DUA KALIMAH SYAHADAH, TIDAK BOLEH KURANG, TIDAK BOLEH LEBIH
Syahadah memang ada dua komponen, dua kalimah, sepertimana yang dimaklumi. Orang yang hendak memeluk Islam, mesti meyakini dan mengucapkan dua kalimah syahadah itu. Mesti berikrar bahawa tiada Tuhan yang layak disembah melainkan Allah, dan berikrar bahawa Nabi Muhammad saw itu pesuruh Allah.
Kata Ibn Rajab al-Hanbali, maksud mengucap dua kalimah syahadah itu ialah beriman kepada Allah dan rasulNya. (Jami' al'Ulum wa al-Hikam, syarah hadith ke-3)
Demikian asalnya. Tidak boleh dikurangi menjadi satu kalimah sahaja, dan tidak boleh lebih daripada dua.
Namun, tambahan yang (diajarkan) diucapkan oleh saudara baru itu :
1. Bukan tambahan menjadi 3 kalimah syahadah, tetapi ia lebih kepada sebagai pengukuhan kepada kalimah syahadah yang pertama, iaitu beriman kepada Allah.
2. Bukan ditambah sendiri sewenangnya. Ia dibuat berdasarkan al-Quran dan hadith sahih.
3. Bukan kemestian semua orang yang hendak masuk Islam perlu mengucap seperti itu.
Tambahan 'Dan 'Isa itu hamba-Nya serta pesuruhNya' dibuat berdasarkan al-Quran (Surah al-Nisa' ayat 171) dan hadith sahih.
Firman Allah swt :
Sabda Nabi saw :
( مَنْ شَهِدَ أَنْ لا إِلَهَ إِلا اللَّهُ وَحْدَهُ لا شَرِيكَ لَهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ وَأَنَّ عِيسَى عَبْدُ اللَّهِ وَرَسُولُهُ وَكَلِمَتُهُ أَلْقَاهَا إِلَى مَرْيَمَ وَرُوحٌ مِنْهُ وَالْجَنَّةُ حَقٌّ وَالنَّارُ حَقٌّ أَدْخَلَهُ اللَّهُ الْجَنَّةَ عَلَى مَا كَانَ مِنْ الْعَمَلِ )
Maksudnya :
"Sesiapa yang mengaku/bersyahadah bahawa tiada Tuhan yang layak disembah melainkan Allah, tiada sekutu bagiNya, dan bahawa Muhammad itu hambaNya dan utusanNya, dan bahawa 'Isa itu hamba Allah, utusanNya, dan (yang diciptakan dengan) kalimahNya yang disampaikan kepada Maryam, dan (dengan tiupan) roh daripadaNya, dan bahawa syurga itu benar, neraka itu benar, Allah akan masukkan dia ke dalam syurga, biar bagaimanapun amalannya." (Masuk syurga mengikut darjat amalan masing-masing)
-Sahih Bukhari, Kitab Ahadith al-Anbiya'-
Kata Syeikh Muhammad Saleh al-Munajjid :
"ولما كان هذا الاعتقاد الباطل موجوداً عند النصارى كان من الواجب على من دخل منهم الإسلام أن يتخلى عن اعتقاداته الباطلة التي تناقض الإسلام والتي منها هذا الاعتقاد كما ثبت عَنْ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم انه قال ....."
"Oleh kerana i'tiqad yang salah ini (percaya bahawa 'Isa itu anak Tuhan) wujud di kalangan orang Kristian, maka menjadi kewajipan bagi sesiapa di kalangan mereka yang masuk Islam agar membersihkan kepercayaannya yang salah itu, yang bertentangan dengan Islam. Sebagaimana telah thabit daripada Nabi saw bahawa baginda bersabda..."(seperti hadith di atas).
Kata al-Qurtubi, sebagaimana disebutkan oleh Ibn Hajar dalam Fath al-Bari dalam penerangan/syarah hadith tersebut :
"Dan digunakan (kalimah وَأَنَّ عِيسَى عَبْدُ اللَّهِ وَرَسُولُهُ ) semasa mengajarkan (syahadah) orang Kristian apabila dia hendak masuk Islam.)"
Maka kita fahami bahawa, mereka menyebutnya dalam syahadah bagi memastikan akidah mereka benar-benar bersih daripada kepercayaan sebelumnya yang telah lama berakar umbi dalam diri, dan tambahan itu tidak bertentangan dengan prinsip dan kaedah dalam ajaran Islam, malah ada asasnya daripada al-Quran dan hadith nabi saw yang sahih.
Tambahan penting :
Adapun golongan syiah, mereka menambah syahadah tanpa dalil daripada al-Quran mahupun hadith. Mereka menambah "Dan aku percaya bhw 'Ali adalah wali Allah.' Syahadah begini batil, tidak sah Islam dengan syahadah begini, antaranya kerana mereka telah menambah komponen syahadah, menjadi 3 kalimah.
والله اعلم
Rujukan tambahan :
1. http://www.dorar.net/enc/adyan/377
2. http://islamqa.info/ar/26301
3. http://islamqa.info/ar/10683
4. http://library.islamweb.net/newlibrary/display_book.php?bk_no=52&ID=&idfrom=6052&idto=6348&bookid=52&startno=112
5. http://www.ahlalhdeeth.com/vb/forum/المنتدى-الشرعي-العام/120769-وأشهد-أن-عيسى-رسول-الله-هل-تجوز-هذه-الزيادة-عند-النطق-بالشهادة-من-نصراني
6. http://islamqa.info/ar/82857
7. http://www.dorar.net/enc/firq/1507
8. Ibn Rajab al-Hanbali, Jami' al-Ulum wa al-Hikam, (Tahqiq oleh Dr. Mahir Yasin al-Fahl).
0 comments:
Post a Comment