Thursday, 9 March 2017

TAMBAHAN ZIKIR DALAM SOLAT DAN ADAKAH ZIKIR BOLEH MENYEBABKAN PANAS BADAN?






Assalamualaikum.








🔴 SOALAN 1 : 






Mohon penjelasan ustazah, benarkah kita boleh menambah zikir dalam solat yang tidak diajarkan oleh Rasulullah saw berdasarkan hadith dan terjemahan ini :















🔴 JAWAPAN 1 :








1. Terlebih dahulu, adalah penting kita mengetahui dari mana asal tulisan dan terjemahan ini.









Dalam dunia ilmu, tulisan mesti dinyatakan sumber ambilan. Melainkan jika kita memang tulis sendiri dan terjemahkan sendiri.









Semua pelajar agama yang mengikuti disiplin pengajian yang sistematik dikehendaki menyatakan sumber ambilan. 









Selain kita menghormati hak cipta penulis asal, kita juga boleh menjejaki punca dari mana sesuatu kefahaman ataupun salah faham itu datang. 









2. Terjemahan yang dinyatakan dalam tulisan ini, pada kita, adalah kurang tepat. 





Adalah lebih tepat jika kita  terjemahkan seperti berikut :







"Dan ia (hadith ini) 'dijadikan dalil' bahawa..."







Bukan 'menjadi dalil.'







Terjemahan yang kita pilih ini lebih menepati berdasarkan baris yang digunakan dalam teks asal.









Terjemahan ini juga lebih adil buat Ibn Hajar al-'Asqalani. Beliau  ingin menyatakan ada pihak yang menjadikan hadith ini sebagai dalil bolehnya menambah zikir lain salam solat, bukan beliau sendiri yang menjadikan hadith ini sebagai dalil dalam parkara itu.









3. Bagi mereka yang mengaji pengajian hadith secara khusus, mereka maklum bahawa suasana yang ada dalam hadith ini TIDAK membenarkan terjemahan dan tafsiran bahawa ia menjadi dalil kepada bolehnya menambah zikir dalam solat, sebab :









Pertama - Para sahabat, dalam hadith-hadith lain, adalah dimaklumi sangat menjaga lafaz yang diajarkan oleh Nabi Muhammad saw. Mereka tidak sama sekali menambah apa yang pernah diajarkan oleh Nabi Muhammad saw semasa hayat baginda.









KeduaPenambahan zikir ini terang berlaku di hadapan nabi saw. Lafaz tambahan itu TIDAK dikira sebagai sahabat memandai-mandai menambah, sebaliknya ia dikira hadith ataupun sunnah sebab wujudnya taqrir, pengakuan ataupun keizinan daripada Nabi Muhammad saw. 








Banyak hadith-hadith begini, tetapi ia bukan dalil bolehnya merekacipta ataupun menambah sesuatu yang sedia lengkap diajarkan oleh Nabi Muhammad saw.





Para sahabat Nabi Muhammad saw adalah generasi yang terlibat secara langsung dalam proses perkembangan hukum pada zaman wahyu masih diturunkan. Apa yang mereka sebut, mereka alami, mereka musykil dan tanyakan, akan mendapat maklumbalas terus daripada wahyu ketika itu, sama ada menerusi al-Quran mahupun hadith Nabi Muhammad saw.





Adapun kita, kita bukan sahabat Nabi Muhammad saw yang berada pada zaman baginda. Tugas kita ialah ittiba', mengikut tinggalan Nabi Muhammad saw dan para sahabatnya.











4. Amalan dan bacaan zikir dalam solat tidak boleh ditambah dan diubah, kerana solat adalah amalan yang diperintahkan agar dilaksanakan mengikut cara Nabi Muhammad saw.





Sabda nabi Muhammad saw :


صلوا كما رأيتموني أصلي





Maksudnya : "Solatlah sebagaimana kalian lihat aku tunaikan solat."



Sahih Bukhari, Kitab Akhbar al-Ahad.




Melainkan apabila ada hadith lain yang membenarkannya, seperti doa berbahasa Arab dalam sujud, ataupun selepas tasyahhud, ia boleh ditambah selepas zikir sujud  dan selepas bacadan tasyahhud kerana ada hadith yang menyebut tentangnya.




والله أعلم





*******************************************************************




🔴 SOALAN 2 : 








Saya mendapati amalan orang-orang yang terlibat dalam perniagaan mengamalkan zikir-zikir untuk melariskan perniagaan mereka seperti Ya Razzaq 1000 kali, Ya Wahhab 1000 kali dan lain-lain lagi. 



Bagaimana pula dengan zikir Allah, Allah, Allah, dengan jumlah tertentu pula.





Saya juga pernah dengar, kalau zikir tidak seimbang dengan ibadat, ia mengundang bahaya, seperti akan panas badan, panas kepala dan lain-lain. 





Mohon dijelaskan.















🔴 JAWAPAN 2 : 





🔸Mengulangi nama Allah tertentu 1000 kali dan sebagainya bukanlah zikir ataupun doa yang ma'thur, malah ia tidak menepati ayat 180 Surah al-A'raf. 





Kerana itu, kita tidak pernah mendapati sebarang hadith nabi saw yang thabit dalam hal ini. Dengan kata lain, Nabi Muhammad saw tidak mengajarkan umatnya supaya mengulangi Ya Razzaq sebanyak seribu kali supaya murah rezeki, ataupun mengulangi nama-nama Allah yang lain seratus kali dengan lain-lain tujuan.





Firman Allah swt : 














🔸Cara yang betul, jika hendak berdoa dengan nama Allah al-Razzaq ialah dengan buat permohonan penuh seperti :





"Ya Allah Ya Razzaq, Engkaulah Yang Maha Memberi Rezeki. Kurniakanlah rezeki dan limpahan keberkatan kepadaku."





"Ya Allah, Ya Wahhab, Engkaulah Yang Maha Pemberi, limpahan kurniaanMu tidak bertepi. Kurniakan daku rezeki yang paling baik untukku."





Bukan dengan mengulangi Ya Razzaq seratus ataupun seribu kali semata-mata.






🔸Begitu juga dengan zikir Allah, Allah, ataupun kata nama khasnya ism al-mufrad. Tidak ada hadith yang menunjukkan Nabi Muhammad saw menganjurkan zikir dengan menyebut ism al-mufrad ini. Zikir yang dianjurkan dalam hadith ialah lafaz penuh mengandungi makna seperti :





لا اله إلا الله


 الحمد لله


 سبحان الله


الله أكبر 









🔸Paling baik ialah amalkan zikir dan doa ma'thur, yang diajarkan sendiri secara khusus oleh Nabi Muhammad saw. Banyak terdapat dalam hadith-hadith yang sahih. Khasiatnya lebih jauh dan berganda daripada yang disusun dan dikarang oleh kita sendiri. 





Doa yang diamal dan diajarkan oleh Nabi Muhammad saw di antaranya ada yang mengandungi seruan Asmaul Husna. Namun selepas seruan itu, akan dinyatakan hajat yang diingini. 



Hadith fungsinya ialah menjelaskan al-Quran. Maka doa dalam dua hadith berikut contohnya, menjelaskan bagaimanakah caranya jika kita ingin berdoa dengan Asmaul Husna yang dianjurkan dalam ayat 180 Surah al-A'raf tersebut.







Maksudnya, seru nama Allah, nama-nama Asmaul Husna, kemudian nyatakan hajat kita.




🔸Antara kecelaruan yang berlaku dalam kalangan umat Islam ialah meninggalkan zikir-zikir yang diajar khusus oleh Nabi Muhammad saw dalam hadith-hadith yang sahih, dan mengutamakan zikir-zikir yang direka kaifiyyatnya. Mereka merasakan zikir-zikir itu lebih bermanfaat daripada zikir-zikir yang diajarkan oleh Nabi Muhammad saw.





Walhal, Nabi Muhammad saw diutuskan untuk mengajar kita bagaimana beribadat kepada Allah swt dengan cara yang terbaik, termasuklah cara berzikir dan berdoa yang terbaik.













Doa dan zikir yang diajarkan oleh Nabi Muhammad saw cukup banyak, tetapi masih ramai yang belum mengetahuinya kerana tidak mempelajarinya secara khusus. Biasanya tidak terlalu panjang, tetapi maknanya luas dan mendalam. Ada banyak falsafah kehidupan yang dapat kita kesan dan fahami daripada bait-bait doa yang diajarkan oleh baginda saw.





Apabila kita menghayati hadith-hadith yang sahih, kita akan dapati bahawa doa Nabi Muhammad saw sendiri ada yang cepat dikabulkan (on the spot), ada yang ditangguhkan ke suatu masa terbaik yang Allah tetapkan,  malah ada juga yang tidak dikabulkan langsung, sesuai dengan ilmu, ketentuan dan ketetapan Allah swt. 






Maka kita pun begitu juga. 





Keghairahan kita ingin cepat mencapai hajat yang diidamkan tidak patut menyebabkan kita merasa doa yang diajarkan oleh nabi saw sendiri itu 'tawar' dan kurang berkesan. Walhal doa dan zikir bagindalah yang paling baik dan paling berkesan. Paling baik dan paling berkesan bukan diukur semata-mata dari sudut cepat ataupun tidak doa itu dipenuhi Tuhan.







🔸Apabila kita mengamalkan doa dan zikir yang diajarkan oleh Nabi Muhammad saw, kita paling kurang mendapat 3 manfaat :





1. Berdoa dan berzikir dengan cara yang terbaik


2. Pahala mengikut sunnah nabi saw


3. Beribadah dengan cara yang ditunjukkan oleh nabi saw. 





Utamakan zikir yang diajarkan oleh rasul yang mulia dalam hadith-hadith yang sahih kerana khasiatnya terjamin. 





Dan yang pasti, cara dan sukatannya tepat, tidak timbul isu panas badan ataupun lain-lain masalah. 





والله أعلم





0 comments:

Post a Comment

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Powerade Coupons