⭕️Assalamualaikum ustazah dan sahabat semua.
Saya ada soalan berkenaan Tauhid Uluhiyyah.
Sebagai muslim kita wajib melaksanakan semua perintah Allah dan meninggalkan larangannya, barulah kita telah ada Tauhid Uluhiyyah, betul begitu, ustazah?
Bagaimana jika kita melakukan perkara yang Allah larang? Adakah rosak iman kita ?
Terima kasih.
⭕️Waalaikumussalam.
🔴 Soalan yang baik sebahagian daripada ilmu.
حسن السؤال نصف العلم
Soalan baik terbit daripada niat yang baik, biasanya akan membuahkan banyak manfaat kepada orang lain.
Sebenarnya ramai orang mempunyai persoalan yang sama namun tidak tahu bagaimana hendak mengungkapkannya.
🔴 Tauhid Uluhiyyah bermakna kita MEYAKINI bahawa Allah adalah Tuhan Ilaah, iaitu Tuhan yang perlu kita sembah, bergantung harap, patuh, cinta, takut dan memperhambakan diri kepadaNya. Hanya kepadaNya kita mohon pertolongan dan memohon perlindungan. Isti’anah, isti’adhah dan istighathah hanya perlu dilakukan kepadaNya.
Kita percaya Allah sebagai Rabb yang mencipta kita makhlukNya. Kita juga percaya Allah sebagai Ilaah yang mesti kita agungkan kerana kita makhluk dan Allah Pencipta kita.
TAUHID RUBUBIYYAH |
Jika seseorang itu percaya Allah sebagai Pencipta tetapi tidak yakin Allah mesti diagungkan sebagai Tuhan, dia dikira tidak beriman, bahkan dinamakan musyrik.
Orang musyrik mengaku dan percaya Allah menciptanya tetapi tidak mengaku Allah sebagai Tuhan yang mesti disembah. Dia sekutukan Allah dengan perkara ataupun makhluk lain, walaupun dia tahu makhluk itu bukan Pencipta dirinya dan alam ini. Dengan kata lain, dia percaya Allah sebagai Rabb tetapi dia tidak percaya Allah sebagai Ilah, dan kepercayaan itu tidak mencukupi syarat untuk menjadi orang yang beriman.
🔴 Keyakinan kita kepada Allah sebagai Tuhan yang mesti kita perhambakan diri kepadaNya dinamakan iman ataupun Tauhid Uluhiyyah. Iman inilah yang mendorong kita mematuhi perintahNya dan meninggalkan laranganNya.
Penghayatan terhadap Tauhid Uluhiyyah itu secara praktikalnya dinamakan sebagai penghayatan Islam, kerana Islam itu antara maknanya ialah menyerahkan diri sepenuhnya kepada Allah dengan melakukan ketaatan dan meninggalkan larangan hanya kepadaNya dan keranaNya.
Oleh yang demikian, orang yang berdoa kepada perantaraan seperti patung, kubur orang saleh, tawassul dengan lakaran capal dan sebagainya adalah dikira tidak menepati Tauhid Uluhiyyah dan tidak menepati konsep ibadah dalam Islam.
🔴Jika dalam keadaan tertentu kita melanggar perintah Allah, apa yang sebenarnya berlaku kepada iman kita ketika itu?
Sekiranya seseorang itu melanggar perintah Allah dengan keyakinan bahawa perintah itu ‘tidak penting’, perintah itu ‘entah apa-apa’, perintah itu ‘tidak patut’, ‘tidak sesuai’ ataupun ‘tidak patut’, ketika itu imannya menjadi rosak.
Namun jika dia melanggar perintah Allah atas sebab kelemahan dirinya sendiri, dalam keadaan tetap berkeyakinan bahawa perintah itu memang patut dan baik, ketika itu imannya lemah.
Oleh kerana itu, hukum fiqh bagi mereka yang meninggalkan solat misalnya, adalah berbeza mengikut iktiqad ataupun keyakinan orang yang sengaja meninggalkan solat itu. Jika dia meninggalkan solat kerana malas dan yakin dirinya berdosa, dia berdosa dengan dosa yang paling besar. Namun jika dia meninggalkan solat dengan keyakinan bahawa solat tidak perlu dan tidak wajib, dia dihukum keluar daripada Islam. Ada juga ulama' yang mengatakan kedua-dua keadaan boleh menyebabkan gugurnya iman orang yang meninggalkan solat, kerana terdapat hadith yang jelas dalam soal ini iaitu sabda Rasulullah saw :
إن بين الرجل وبين الشرك والكفر ترك الصلاة
Maksudnya : "Garis pemisah antara (iman) seseorang dengan syirik dan kufur ialah meninggalkan solat."
(Sahih Muslim, Kitab al-Iman, Bab Bayan Itlāq Ism al-Kufr 'ala man Raraka al-Solah)
Ini bermakna, kedudukan tidak beriman, gugur ataupun rosaknya iman tidak sama dengan kedudukan ketidaksempurnaan iman.
🔴 Persoalan iman lemah, kurang dan tidak sempurna ini dibincangkan oleh para ulama' ahl al-sunnah wa al-jama'ah dalam bab 'Iman Itu Bertambah Dan Berkurang.'
Imam Bukhari misalnya, beliau membuat judul bab :
زيادة الإيمان ونقصانه iaitu Pertambahan Dan Pengurangan Iman, sebagai salah satu bab dalam Kitab al-Iman.
Persoalan tentang ketidaksempurnaan iman ini diterangkan dalam banyak hadith-hadith yang sahih.
Umpamanya hadith :
لا يؤمن أحدكم حتى يحب لأخيه ما يحب لنفسه
Maksudnya : Tidak beriman (tidak sempurna iman) seseorang di kalangan kamu sehingga dia suka bagi saudaranya apa yang dia suka untuk dirinya sendiri.
(Sahih al-Bukhari, Kitab al-Iman, Bab min al-Iman an Yuhibba li Akhihi ma Yuhibbu li Nafsihi)
🔴 Ringkasnya, benar apa yang ditanyakan. Apabila kita melanggar perintah Allah, iman kita ketika itu sedang mengalami sedikit sebanyak kerosakan, ataupun dengan istilah yang lebih tepat digunakan oleh para ulama' - iman kita sedang mengalami kekurangan ataupun kemerosotan, meskipun tidak rosak secara keseluruhannya. (والعياذ بالله)
Iman dalam keadaan sempurna akan membantu kita menghayati setiap titah perintah Allah, Rabb dan Ilāh kita. Iman dalam keadaan sempurna selalu menyebabkan seseorang itu selalu merasakan hubungannya dengan Allah, meraakan selalu diawasi Allah, dan dilindungi Allah. Iman dalam keadaan kurang menyebabkan seseorang itu lupa akan konsep dirinya sebagai hamba dan Allah sebagai Tuhan, malah lupa kepada cabaran-cabaran dekat yang sedang dihadapi seperti nafsu dan syaitan.
Oleh kerana itu, ketika kita merasakan iman kita sedang berkurang, kita perlu menambah nilai iman kita dengan istighfar memohon keampunan dan terus menerus melakukan amal-amal soleh yang lain.
Amalan soleh dan iman itu saling berlaziman. Iman boleh meningkatkan amalan soleh dan amalan soleh itu boleh meningkatkan iman.
Ini antara hikmah penghayatan 2 ayat terakhir Surah al-Insyirah :
Dalam sepanjang kehidupan ini, semua kita mengalami pertambahan dan kekurangan iman dari masa ke masa. Setiapkali mengalami kekurangan, sebaiknya kita cepat menyedarinya agar kita cepat pula berusaha menambah nilai iman kita itu. Semoga kita pulang kepada Allah dalam keadaan iman yang paling sempurna kepadaNya.
Tidak perlu sesiapapun tahu, melainkan Dia.
0 comments:
Post a Comment