Assalamualaikum.
1. QIYAS
Qiyas, ada qiyas sahih dan ada qiyas fasid.
Qiyas fasid adalah qiyas rosak yang tidak boleh digunakan, kerana ia dibuat dengan tidak menepati syarat. Tidak boleh menggunakan qiyas sembarangan. Ada syarat-syarat yang mesti dipatuhi.
Ada golongan yang menggunakan hujah qiyas untuk zikir menari. Mereka berhujah bahwa al-Quran menyebut boleh berzikir sambil berdiri, duduk dan berbaring, maka dibolehkan zikir menari.
Tiada seorang pun ulama' mu'tabar yang membenarkan zikir menari. Kerana mereka tidak menggunakan qiyas seperti itu.
Para ulama' memberi amaran terhadap penggunaan qiyas fasid, sebab agama boleh menjadi rosak, berpunca daripada masalah istidlal, sama ada salah guna ayat al-Quran ataupun hadith, ataupun menggunakan qiyas fasid.
Menggunakan qiyas untuk membenarkan :
- amalan membaca doa awal tahun dan akhir tahun yang dilakukan dengan kaifiyyat yang dimaklumi,
- berpunca daripada kepercayaan bahawa syaitan tidak akan berjaya menggodanya pada tahun tersebut,
- diambil daripada riwayat yang tiada asalnya'
adalah tidak menepati syarat qiyas yang sahih.
2. DOA
Doa yang dibaca pada awal tahun dan akhir tahun bukan doa biasa dan umum yang dianjurkan dalam agama. Didapati ramai yang membaca doa itu berasaskan harapan syaitan tidak berjaya menggoda pada tahun itu, berdasarkan satu 'riwayat' palsu.
Ada yang sampai menangis jikalau tidak sempat membacanya.
Ia berpunca daripada masalah percaya kepada janji palsu, yang tidak thabit daripada nabi saw. Dengan kata lain, percaya kepada hadith palsu.
Inilah sebab mengapa para ulama' menegur amalan tersebut.
Tiada siapa pun mengatakan tidak boleh berdoa apabila tiba awal tahun, kerana berdoa diketahui umum boleh dilakukan pada bila-bila masa.
3. KHASIAT AYAT AL-QURAN, DOA DAN ZIKIR
Semua orang beriman yakin akan khasiat ayat al-Quran, yakin akan doa itu ibadah dan yakin zikir perlu dibanyakkan dalam kehidupan harian.
Nabi saw telah mengajar zikir dan doa yang khusus, dan kita dibenarkan berdoa dengan doa yang umum.
Namun, adalah salah jikalau kita berhujah 'kerana al-Quran, doa dan zikir ada khasiat, maka bolehlah kita buat upacara doa awal tahun dan akhir tahun.'
Sebab :
a. Kita telah menetapkan satu upacara baru dalam agama yang akhirnya akan disangka sebagai amalan sunat yang digalakkan, sepertimana yang telah pun disangka oleh kebanyakan orang awam sebelum ini.
b. Doa itu dibaca bukan kerana umumnya kelebihan doa, tetapi yakin kepada janji yang tidak thabit. Telah dinyatakan di atas.
c. Kata Imam Malik : الاصل سنة والكيفية بدعة
4. TIADA ULAMA' MU'TABAR MENGANJURKAN AMALAN INI
Tiada seorang pun ulama mu'tabar di kalangan ahlu sunnah wal jamaah menganjurkan amalan baca doa awal tahun dan akhir tahun yang dibincangkan ini.
Kitab-kitab yang dinyatakan bukan kitab rujukan muktabar dalam perkara ini.
5. ILHAM PARA AULIYA' TIDAK BOLEH DIJADIKAN SEBAGAI SUMBER SYARIAT
Jika dikatakan doa awal tahun dan akhir tahun adalah ilham para auliya', ia tetap tidak boleh dijadikan hujah, kerana ilham para auliya' bukan hujah untuk mewujudkan suatu amalan ibadat yang khusus, sehingga disangka tidak boleh ditinggalkan.
6. HADITH-HADITH YANG DIKEMUKAKAN BUKAN HUJAH DAN DALIL DALAM SOAL INI
Ketiga-tiga hadith yang disebutkan itu tidak menjadi hujah dalam perkara yang sedang dibincangkan. Sebenarnya ia adalah doa apabila melihat anak bulan pada setiap awal bulan.
Oleh yang demikian, adalah elok kita amalkan doa ini setiap kali melihat anak bulan pada setiap awal bulan, bagi menggantikan amalan doa awal tahun dan akhir tahun tersebut yang berpunca daripada riwayat palsu.
Ketiga-tiga hadith tersebut juga dinukilkan oleh Ibn al-Qayyim dalam Zaadul Ma'ad di bawah judul :
هديه صلى الله عليه وسلم عند رؤية الهلال
PENUTUP
Kita telah laksanakan amanah menyampaikan sekadar yang kita mampu. Alhamdulillah, setelah ramai para asatizah menjelaskan dengan cara yang baik, rata-rata masyarakat di tempat kita sudah mula meninggalkan amalan ini.
Kita akhiri jawapan ringkas ini dengan firman Allah swt, ayat 18 Surah al-Zumar, dengan harapan kita berusaha agar termasuk ke dalam golongan yang disebutkan.
والله أعلم
Jumaat
3 Muharram 1437H
0 comments:
Post a Comment