🔴 SOALAN
- Bolehkah kita berpuasa ganti (untuk bulan Ramadhan) sambil kita niatkan untuk puasa 6 hari di bulan Syawwal sekaligus? Maknanya, malamnya kita niat bahawa esok kita hendak puasa ganti dan puasa sunat dalam bulan Syawwal sekaligus?
- Bolehkah kita berpuasa sunat 6 hari di bulan Syawwal terlebih dahulu, kemudian apabila habis puasa sunat 6 hari di bulan Syawwal, barulah kita berpuasa ganti yang masih belum disempurnakan. (Ketika itu mungkin Syawwal sudah pun berlalu).
🔴 JAWAPAN RINGKAS
🔶1. NIAT QADHA’ SAHAJA ADALAH LEBIH TEPAT
Bagi soalan pertama, pendapat yang lebih tepat ialah pendapat yang mengatakan kita niat qadha’ untuk Ramadhan sahaja. Ini kerana puasa qadha’ dengan puasa sunat 6 hari Syawwal tidak cukup syarat untuk diniatkan sekali dalam satu amalan.
Apabila kita niat puasa qadha’ sekali dengan puasa sunat Syawwal, samalah seperti kita niat solat Subuh dengan sunat Subuh sekaligus. Sedangkan kedua-dua amalan ini tidak cukup syarat untuk diniatkan sekaligus. Solat fardhu Subuh dan solat sunat Subuh mesti dikerjakan secara berasingan.
Berbeza dengan solat sunat tahiyyatul masjid dengan solat Subuh ataupun sunat Subuh misalnya, ia boleh dikerjakan sekaligus. Apabila kita masuk masjid, kemudian kerana kesuntukan masa kita hanya solat sunat Subuh, tidak solat tahiyyatul masjid secara khusus, kita juga sudah dikira menunaikan solat sunat tahiyyatul masjid.
Apabila kita berpuasa qadha’ Ramadhan dalam bulan Syawwal, dari sudut fiqh dan adabnya kita niat qadha’ sahaja.
Namun oleh kerana Allah swt Maha Mengetahui bahawa kita wanita meninggalkan puasa kerana mematuhi larangan Allah, mudah-mudahan Allah swt kurniakan pahala lebih untuk kita, mudah-mudahan dikurniakan pahala berpuasa 6 hari di bulan Syawwal itu.
🔶2. UTAMAKAN AMALAN WAJIB, DIIKUTI DENGAN AMALAN SUNAT
Bagi soalan kedua, keadaannya sama juga.
Amalan qadha’ adalah amalan hutang yang wajib kita tunaikan. Manakala amalan sunat adalah amalan tambahan yang diharapkan dapat lebih mendekatkan diri kita kepada Allah, serta menampung kekurangan yang ada pada amalan wajib.
Disarankan agar kita tunaikan puasa qadha’ terlebih dahulu, kerana yang wajib lebih utama didahulukan berbanding yang sunat.
Puasa 6 hari di bulan Syawwal adalah pelengkap kepada puasa wajib yang telah disempurnakan dalam bulan Ramadhan, sebagaimana disebutkan dalam hadith yang sahih :
مَنْ صَامَ رَمَضَانَ ثُمَّ أَتْبَعَهُ سِتًّا مِنْ شَوَّالٍ كَانَ كَصِيَامِ الدَّهْرِ
Maksudnya : “Sesiapa yang berpuasa bulan Ramadhan, kemudian diikuti dengan 6 hari (puasa) di bulan Syawwal, dia seolah-olah berpuasa sepanjang tahun.”
(Sahih Muslim, Kitab Puasa)
Dimaklumi bahawa sesiapa yang masih belum melunaskan puasa qadha’, dia belum dikira menyempurnakan puasa Ramadhan, sehinggalah dia menggantikannya.
Oleh kerana itu, sebahagian ulama’ mengatakan bahawa bagi mereka yang belum sempurnakan puasa qadha’ Ramadhan, adalah tidak mencukupi syarat untuk mendapatkan kelebihan puasa sepanjang tahun tersebut.
📌Meskipun 6 hari di bulan Syawwal mungkin hanya mampu kita penuhi dengan puasa qadha’ sahaja, dan kita niatkan untuk qadha' sahaja, namun kita tetap menaruh harapan agar Allah swt memberikan pahala puasa 6 Syawwal itu kerana kita mengerjakan kewajipan qadha’ itu demi mematuhi perintahNya.
Sebanyak mana Allah hendak kurniakan, hanya Allah yang Maha Mengetahui.
والله أعلم
اللهم إني أعوذ بك من شر ما عملت،
وشر ما لم أعمل.
Syawwal 1439 H
0 comments:
Post a Comment