Wednesday, 11 July 2018

CATATAN PENGALAMAN : MAJLIS ILMU







🔴 Majlis ilmu biasanya kurang diminati, sekiranya tidak disampaikan oleh selebriti, ataupun jika tidak ada isu-isu sensasi, seperti isu perbalahan politik. 





Majlis ilmu juga seringkali disaingi oleh majlis dan acara lain di sana sini. Dirasakan kurang penting kerana ramai yang mendakwa bahawa ‘maklumat’ dan 'rakaman' boleh didapati di mana-mana sahaja!






Siapa Hadir, Dia Dapat -  مَن حَضَرَ وَجَد





Namun kelebihan majlis ilmu, dalam kekurangan kehadirannya, ialah kita sentiasa bertemu dengan orang yang benar-benar meminati ilmu. 





Oleh yang demikian, perkembangan kefahaman mereka yang rajin hadir dan benar-benar berminat ini, kita dapat saksikan, sedikit demi sedikit. 





Airmata tertumpah tanpa sengaja jika ada yang berkata, walaupun selepas 10 tahun lamanya :





“Barulah saya faham pentingnya ilmu al-Quran dan al-Sunnah.”





Terasa cair penat lelah mentelaah, menunggu kehadiran  ataupun memasang peralatan pelbagai. Mendapat seorang dua yang memahami adalah berbaloi, meskipun dalam jangkamasa yang panjang. Maklumlah, majlis ilmu bagi mereka mendaftar dan terpilih di universiti, menepati pra syarat dan kelayakan, jauh bezanya dengan majlis ilmu umum di mana sesiapa sahaja boleh hadir, datang dan pergi dengan bebas tanpa sebarang disiplin dan syarat!





Disedari bahawa ada yang hadir untuk memastikan pendirian penyampai dalam soal sesuatu isu, agar benar-benar sama dengan pendirian mereka. Kehadiran begini tidak mengundang masalah kerana pendirian kita sama seperti dahulu,  yang benar itu jelas dari Allah dan Rasul. Namun, dimaklumi bahawa kehadiran begini agak sukar meraih faham kerana ilmu itu cahaya, mesti diawali dengan niat yang ikhlas, diikuti dengan minat dan kesungguhan, seterusnya bersabar di atas disiplinnya.





 Majlis Ilmu Dan Disiplin Ilmu





🔴 Sejak dari dahulu,  zaman berzaman, sentiasa ada yang istiqamah dalam majlis ilmu, bersabar mengikuti satu tajuk ke satu tajuk dan bersungguh mencari dan memahami yang sahih. 





Allah swt memelihara agama ini dengan disiplin ilmu,  bukan sekadar majlis ilmu. 





Disiplin ilmu dan majlis ilmu itu, sama-sama penting. Tidak boleh diabaikan salah satu di antara keduanya.





Majlis Ilmu





- Mereka yang hanya menekankan disiplin ilmu tetapi tidak hadir ke majlis ilmu akan kehilangan suasana dan keberkatan dalam majlis ilmu. 





Dalam majlis ilmu kita mendisiplinkan diri membahagikan masa, beradab dalam majlis, memiliki teks, menulis nota dan mengemukakan persoalan. (Keberkatan semasa menuntut majlis ilmu suatu ketika dahulu terasa dengan jelas apabila persoalan yang dibincangkan dan dihuraikan benar-benar kita temui dalam kehidupan kita, 20 tahun kemudiannya.)





Kita juga berpeluang mengenali di antara satu sama lain dalam majlis ilmu, bertanyakan khabar, memberikan senyuman, menghulurkan salam dan berjabat tangan. Insan mempunyai unsur terpenting dalam diri iaitu al-nafs, dan unsur al-nafs memerlukan kita berinteraksi di antara satu sama lain. 





Bukan online, tetapi offline. 





Kerana itu kajian kita mendapati solat berjemaah, solat jenazah dan lain-lain aktiviti ibadah yang dibuat secara berjamaah (tentunya dengan panduan al-sunnah) boleh meningkatkan self-esteem seseorang.





Disiplin Ilmu





- Disiplin ilmu ada banyak peringkat. 





Umpamanya disiplin ilmu  al-Quran, asasnya ialah mengenal huruf, kemudian belajar baca, belajar tajwid, menghafal, dan seterusnya. Kesemua peringkat awal ini belum cukup untuk memahami disiplin ilmu al-Quran, kerana ia belum sampai kepada tahap memahami dan tadabbur makna al-Quran dengan disiplin yang betul. 





- Mereka yang hanya mementingkan majlis ilmu tetapi mengabaikan kepentingan disiplin ilmu  akan mengalami kekeliruan dalam memahami agama. Berapa banyak majlis ilmu  dicatatkan dalam sejarah yang mendapat sambutan orang awam, namun para ulama’ menamakan penyampai dengan istilah qussas dan wu’adh yang banyak menyebarkan cerita palsu, disandarkan pula kepada Rasulullah saw.





Oleh yang demikian, dalam proses menuntut ilmu, penting kita melazimi doa-doa ma’thur yang berkaitan dengan ilmu dan hidayah. Umpamanya, 3 doa ma’thur berikut :























Meramaikan Audiens : Pro Dan Kontra





🔴 Pada pandangan kita, ada banyak bahaya juga sekiranya dakwah, khususnya majlis ilmu, difokuskan kepada ‘ramaikan audiens.’ 





Antaranya :





1. Penceramah/guru agama akan fokus supaya asal 'orang ramai' walaupun ilmu yang disampaikannya kurang kualiti. Ada kemungkinan penyampai akan mengabaikan sisi al-nahy ‘an al-munkar dalam bentuk peringatan seperti bahaya bid'ah, syirik, hadith palsu, maksiat tertentu yang sedang berleluasa dan lain-lain, demi untuk menjaga 'audiens'.





2. Ilmu agama akan dituntut dengan tujuan mendapat pengaruh dan tempat dalam masyarakat. Ada bahaya besar lain di belakangnya yang sedang menunggu.





3. Organisasi yang terlibat akan fokus kepada menjemput penyampai selebriti, bukan penyampai yang berautoriti.





4. Masyarakat pula akan rasa penceramah begitu 'hebat' apabila audiens begitu ramai mengerumuni, dan menganggap lekeh penceramah yang tidak menarik ramai audiens.





5. Guru-guru dalam kelompok kecil berkala berasa kurang penting, padahal merekalah yang sangat penting seperti guru dalam kelas, pensyarah dan sebagainya. Merekalah du’at, merekalah guru.





🔴 Dalam sejarah perkembangan hadith palsu, jelas digambarkan peranan qussas dan wu'adh. Mereka ramai audiens. Meramaikan audiens itu baik  tetapi jangan dijadikan sebagai keutamaan dalam dakwah, kerana dibimbangi tersasar daripada tujuan majlis ilmu iaitu menyampaikan kebenaran.













🔴Cara teks al-Quran dan al-Hadith menceritakan dakwah para nabi (dan da'i) itu pelbagai. Umumnya tidak banyak menunjukkan fokus keutamaan kepada meramaikan audiens, melainkan beberapa hadith, seperti hadith kisah ghulam yang dititahkan raja agar belajar ilmu sihir, namun ditakdirkan berguru dengan orang alim di pertengahan jalan, sehingga akhirnya mencetuskan peristiwa ashabul ukhudud





Tema audiens ini menarik jika dikaji secara khusus dan terperinci.





Ada nabi tidak memiliki pengikut langsung. Kepada pendakwah, lebih ramai menerima dakwah, tentulah lebih besar ganjaran Allah yang diperolehi, dan lebih besar manfaat buat agama. Namun kepada pendakwah, Allah swt tidak bertanya berapa ramai mad’u yang sudah menerima dakwah mereka. Sebaliknya Allah swt akan bertanya apa yang disampaikan dan kerana apa mereka sampaikan.





Faham Dalam Menuntut Ilmu - الفهم في العلم





🔴 Ilmu tidak didapati dengan ingatan dan hafalan semata. Tujuan ilmu bukan untuk hafal, tetapi untuk difahami (agar mudah diamalkan sebagaimana yang diperintahkan), seperti kata Imam Bukhari dalam salah satu judul babnya, dalam Kitab al-‘Ilm. Proses itu pula melibatkan banyak perkara, seperti kata Imam Syafi’i dalam sya’irnya.





Ramai yang gagal mendapat ilmu kerana sebenarnya tidak memiliki minat yang mendalam, tidak sabar dan tidak gigih. Berhenti separuh jalan, ataupun terlalu banyak ‘skip.’ 





Niat Dan Keberkatan





Ada banyak perkara yang dirasai dalam majlis ilmu sukar dicatatkan semula dalam tulisan. 





Keberkatan majlis ilmu itu sebenarnya kita tumpang pada banyak perkara. Pada dispilin ilmu yang kemas, pada tempat yang berkat, pada niat hadirat yang ikhlas, pada sumber rujukan yang mu’tabar (tentunya tanpa hadith palsu ataupun perkara khurafat), para malaikat yang menaungi, serta malaikat pencatat amalan.





Dan kita semua, baik penyampai dan juga penerima, tentunya diawasi oleh Allah swt yang sifatnya العليم، المحصي dan الخبير





Di akhirat kelak Dia-lah yang memutuskan sama ada amalan dalam majlis ilmu tersebut diterima di sisiNya ataupun sebaliknya.





Dia tidak suka kita mensyirikkanNya, tidak suka kita melakukan sesuatu suruhanNya kerana selain daripadaNya.





اللهم إنا نسألك علما نافعا


ورزقا طيبا


وعملا متقبلا.






0 comments:

Post a Comment

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Powerade Coupons