SOALAN
Assalamualaikum. Mohon pencerahan ustazah tentang sebaran ini. Bolehkah kita amalkan dan bolehkah kita sebarkan?
JAWAPAN
Waalaikumussalam wrt. wbt.
🔴 Apabila kita tidak memahami makna al-sunnah, tidak meletakkan sunnah Nabi Muhammad saw sebagai panduan, tidak kenal amalan daripada sumber yang sahih dan tidak berpeluang belajar secara berdisiplin, maka kita ada potensi menjadi keliru dengan pelbagai tatacara amalan yang direka-reka yang disebarkan di sekeliling kita.
Dari sudut cara berzikir misalnya, ada yang berzikir menari, ada yang berzikir berpusing dan ada yang melompat-lompat. Dari sudut ucapan pula, ada yang melafazkan zikir ‘short-cut’ dan ada yang menghadiahkan al-Fatihah kepada Nabi Muhammad s.a.w dan juga kepada diri sendiri!
Semuanya direkacipta, tiada asalnya dalam petunjuk sunnah Nabi Muhammad saw.
🔴 Sebenarnya, amalan menghadiahkan bacaan al-Quran, termasuk al-Fatihah, tidak pernah dinukilkan datang daripada baginda saw.
🔴 Nabi Muhammad saw tidak pernah menyarankan ataupun mengamalkan ‘hadiahkan bacaan al-Quran’ kepada orang lain, apatah lagi kepada ‘diri sendiri.’
Sesiapa yang belajar hadith-hadith yang sahih, tidak pernah merasa kerugian jika tiada sesiapapun hadiahkan al-Fatihah kepadanya, kerana Nabi Muhammad saw sendiri tidak pernah menyarankannya.
Cukup kita membaca dan mentadabbur surah-surah al-Quran dengan ikhlas kerana Allah. Kita akan diberikan pahala yang berlipatganda kerana setiap huruf al-Quran paling kurang diganjari 10 pahala. Malah orang yang tergagap-gagap membaca al-Quran juga mendapat 2 jenis pahala, pertama pahala membaca dan kedua pahala kerana bersusah payah membacanya. Hal ini jelas dalam hadith yang sahih.
Jadi, apa perlunya lagi amalan 'menghadiahkan al-Fatihah' kepada diri sendiri?
Al-Quran diturunkan agar isi ajarannya menjadi panduan, renungan dan amalan setiap muslim dan muslimah. Bacaannya kita ulang-ulangi atas tujuan ini, supaya jiwa kita dibersihkan dengan mesej dan ajaran al-Quran itu.
Jiwa akan lembut dan bersih apabila kita membaca al-Fatihah dan surah-surah lain dengan menghayati maknanya. Beriman dengan apa yang disuruh kita beriman, patuh kepada perintah dan jauhi larangan. Jiwa akan bersih apabila kita mengikut tunjuk ajar Nabi Muhammad s.a.w. dalam beramal. Jiwa tidak akan bersih dengan cara yang direka-reka, kerana soal pembersihan jiwa telah ditugaskan kepada para rasul untuk mengajar dan membimbing insan bagaimana melakukannya.
Hal ini menjelaskan mengapa pentingnya hadith-hadith yang disandarkan kepada Nabi Muhammad s.a.w. mestilah dipastikan dahulu akan kesahihannya. Ini kerana ada banyak pula amalan yang didakwa ajaran Rasul rupanya datang daripada hadith palsu, bukan datang daripada baginda s.a.w.
🔴 Malang sekali bersama sebaran ini dilampirkan pula ‘hadith' agar disebarkan amalan tersebut, dan ditempel pula nama dan kitab Imam Bukhari.
🔴 Maklumat salah yang disandarkan kepada Nabi Muhammad saw termasuk dalam kategori berdusta atas nama baginda saw.
🔴 Kesimpulannya :
Adalah jauh lebih baik dan lebih utama kita beristighfar sebanyak-banyaknya daripada beramal dengan amalan yang tiada asal-usulnya ini. Terdapat banyak zikir bangun pagi dan zikir pagi yang tersedia dalam ajaran sunnah baginda s.a.w. untuk kita amalkan setiap hari. Kita tidak memerlukan amalan yang tiada usal usul begini.
Adalah jauh lebih baik kita sebarkan hadith-hadith sahih yang telah kita pelajari dengan disiplin yang betul daripada turut menyebarkan tulisan yang tidak bertanggungjawab seumpama sebaran di atas.
Bersabar dan ikhlas dalam menuntut ilmu yang sahih, buahnya manis dikecap sepanjang hayat. Pada petunjuk dan jalan yang telah ditelusuri oleh Nabi Muhammad s.a.w. itu ada rahmat dan nikmat yang sangat bererti.
اللهم اهدنا وسددنا
0 comments:
Post a Comment