Saturday, 23 October 2010

Fahami tahap DARURAT untuk dapatkan zuriat BERKAT..

Mendapat zuriat merupakan suatu proses yang sangat mengembirakan bagi setiap ibubapa, terutamanya bagi mereka yang pertama kali melaluinya. Namun begitu, sejauh manakah di kalangan kita yang memahami batas aurat yang perlu di jaga oleh si isteri sewaktu proses menyambut kelahiran yang suci itu?.

Adakah kita tergolong di kalangan ibubapa yang masih tidak 'kisah' dengan aurat yang terdedah pada mereka yang bukan muhrim, lantaran kesilapan memahami konsep darurat itu sendiri?.

Ingin ummi kongsikan dengan semua, bagaimana kah konsep Darurat yang sebenarnya, dan apa yang perlu kita lakukan, lebih - lebih lagi sewaktu ingin menerima kelahiran cahayamata yang suci bersih itu. Moga perkongsian yang ummi dapat dari blog kak As ini dapat di manfaatkan oleh semua.


 --------------------------------------

DARURAT YANG SEBENAR
Saya maklum bahawa di dalam keadaan darurat seseorang itu diharuskan melakukan sesuatu yang dilarang, sesuai dengan kaedah fiqhiyyah, ad-dharurat tubiihul mahdzurat. Contohnya, di dalam perubatan, bila berlaku hal-hal mendesak dan kecemasan, lebih-lebih lagi yang bersangkut nyawa dan kesakitan yang boleh melarat tanpa rawatan segera, dan keadaan tersebut tidak mungkin dihindari, juga tiada alternatif lain ketika itu, maka dibolehkan seorang doktor lelaki merawat pesakit perempuan, dan begitu juga sebaliknya.

Syeikh Abdul Aziz bin Baaz rahimahullah, bekas Mufti Besar Arab Saudi, juga pernah menegaskan :

"Doktor wanita hanya merawat wanita sahaja, dan doktor lelaki hanya merawat lelaki sahaja, melainkan di dalam kes yang darurat, jika seseorang lelaki yang menghidapi penyakit di mana pada masa itu tidak kedapatan doktor lelaki, maka di dalam kes ini adalah dibenarkan.” ( Fataawa 'Aajilah li Mansuubii al-Sihhah, m.s. 29 )

Situasi darurat yang membolehkan keadaan rawatan sedemikian juga berlaku di zaman Rasulullah SAW sendiri di mana para wanita Islam memainkan peranan sebagai jururawat di medan peperangan. Mereka ditempatkan di bahagian logistik dan juga perawatan. Mereka merawat dan mengubati anggota tentera yang luka dan parah.

Dalam kondisi sebegini, tidak dapat tidak, pasti berlaku sentuhan kulit dan anggota lainnya, namun hal ini dibolehkan ketika itu, untuk sementara waktu, kerana sifat peperangan yang darurat dan mencemaskan.

Selain itu, di dalam kitab Fathul Qadir jilid 8 halaman 98 ada menyatakan bahawa seorang sahabat Nabi SAW bernama Abdullah ibnu Az-Zubair pernah mengupah dan membayar khidmat seorang wanita tua yang merawat dirinya.

HILANG
Wajar difahami, bahawa kondisi darurat bukanlah sesuatu yang rutin dan berlaku setiap hari. Justeru, ia hanya bersifat sementara dan perlu diisi sekadarnya sahaja. Tatkala sebab yang menjadikan sesuatu itu darurat, telah luput dan hilang, maka hukum pengharamannya kembali semula.

Ini bersesuaian dengan satu lagi kaedah fiqhiyyah: ad-dharurat tuqaddar bi qadariha, iaitu sesuatu yang darurat itu harus diukur sesuai kadarnya.



Lantaran itu, bagi seorang perempuan yang mengandung, dalam situasi biasa tanpa apa-apa komplikasi, keadaan itu bukanlah sesuatu yang ‘darurat’ yang membolehkannya mendapatkan khidmat rawatan dan pemeriksaan bulanan dari seorang doktor lelaki.

Apa yang amat perlu difahami, tidak ada seorang pun yang dihalalkan untuk melihat aurat seorang wanita, kecuali suaminya. Apatah lagi, aurat ‘besar’nya. Maruah, kehormatan dan harga dirinya, semua itu terhimpun di ‘situ’.

Siapa lagi yang lebih layak dan dapat melindungi, kalau bukan seorang lelaki bernama suami?

Tambahan pula dewasa kini, sudah ramai doktor dan pakar sakit puan Muslimah, termasuk doktor wanita bukan Islam di Malaysia. Justeru, apa lagi alasan untuk tetap bermudah-mudah dalam hukum dan terus tegar menerima rawatan dari doktor berlainan jantina ?

Pada saya, hanya satu : Tepuk dada, tanyalah iman di dalamnya!

ZURIAT BERKAT
Akhirnya, marilah kita sama-sama merenungi, bahawa Rasulullah SAW telah mengajarkan kepada umatnya untuk selalu berdoa, memohon kepada Allah SWT agar diberi rezeki yang barakah.

“Ya Allah, anugerahkanlah keberkatan kepada rezeki kami, dan peliharalah diri kami dari api neraka.”

Anugerah anak dan zuriat adalah salah satu dari sekian banyak rezeki yang diberikan ILAHI. Justeru, tidak dapat dinafi, bahawa jiwa yang insaf dan sedar untuk memelihara hukum dan menjaga kadar keperluan terhadap keringanan yang ada padanya, InsyaAllah akan menjamin hadirnya keberkatan seiring dengan anugerah yang dikurniakan ini.

Moga-moga, dengan keberkatan yang dilimpahkan oleh Allah SWT sewaktu kelahiran seorang anak, akan memudahkan pula segala usaha ibu dan bapa untuk melahirkan zuriat yang soleh dan solehah. Seterusnya, berjaya pula menjelmakan generasi Rabbani yang tetap teguh berpegang kepada ajaran dan panduan ILAHI.

---------------------------
Moga anda dapat ambil panduan dari segala yang di perincikan oleh kak As ini. Sebagai isteri, kita berhak menjaga 'hak' kita dengan menyatakan TIDAK sekiranya si suami mengajak kita untuk berjumpa dengan doktor lelaki.
Manakala si suami pula, seharusnya anda bertindak lah sebagai benteng utama kepada isteri anda, kerana isteri anda adalah maruah anda. Jagalah mereka sebaik mungkin kerana HAK anda, tidak seharusnya di kongsi - kongsikan dengan orang lain.
InsyaAllah kita mencuba yang sebaik mungkin. Yang selebihnya, kita serahkan kepada Allah..

Moga Allah berkati zuriat yang ummi sedang kandungkan ini, di doakan moga besarnya akan menjadi seorang yang soleh/solehah dan menjadi salah seorang pejuang Agama Allah nanti.. jauh dari bala dan bencana dan di jauhkan dari fitnah dunia. Patuh kepada Allah, dan taat kepada kedua ibubapa nya. Selamat dunia dan akhirat.. Aminn.. Ya Rabbal Alamin..

Moga bermanfaat buat semua. Wallahua'lam.

0 comments:

Post a Comment

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Powerade Coupons